Diterbitkan pada 11 Julai 2024, 16:11

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kedah – Perbadanan Perpustakaan Awam Kedah (PPAK) buat julung-julung kalinya telah menganjurkan Festival Sastera dan Seni Kanak-kanak Kedah 2024 bertempat di Auditorium PPAK pada 8 hingga 9 Julai lalu.

Festival yang berlangsung selama dua hari tersebut telah dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga & Masyarakat Negeri Kedah, YB Dato’ Hajah Halimaton Shaadiah Saad.

Menurut YB Dato Hajah Halimaton, festival yang berlangsung buat julung-julung kalinya ini diharapkan dapat diteruskan pada masa akan datang kerana penganjuran program seperti ini dilihat sebagai pelantar penting dalam mengembangkan bakat dan minat kanak-kanak dalam bidang seni dan sastera tanah air. Kongsi beliau,

Program  ini dapat menyemai minat membaca, menulis melukis dan berkarya dalam kalangan anak-anak kita sejak usia muda lagi dan ini merupakan langkah yang sangat signifikan dalam membentuk generasi yang kreatif, berilmu dan berwawasan.

Tambah beliau, sebagai sebuah negeri yang kaya dengan warisan dan budaya, Kedah merupakan negeri yang amat bertuah kerana mempunyai bahan sastera dan seni yang begitu berharga. Ini sudah menjadi tanggungjawab semua pihak bagi memastikan warisan negara akan terus subur dan berkembang. Tambahnya lagi,

Anak-anak kita adalah pewaris budaya bangsa dan melalui festival seperti ini kita dapat memperkukuhkan rasa cinta dan bangga mereka terhadap warisan sastera dan seni budaya kita.

Pelbagai acara turut dijalankan sepanjang Festival Sastera dan Seni Kanak-kanak Kedah 2024 ini berlangsung, antaranya termasuklah bengkel penulisan pantun, aktiviti mencanting batik, bengkel penulisan kreatif, persembahan kanak-kanak bersempena penganjuran festival tersebut dan penyampaian Anugerah Rakan Penulis Cilik 2024 yang dirangkul oleh adik Ros Aishah Mohamad Farouhi dari Sekolah Kebangsaan Sultanah Asma.

Majlis Perasmian Festival Sastera dan Seni Kanak-Kanak Kedah 2024 turut disiarkan secara dalam talian melalui laman Facebook rasmi PPAK.

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi