Diterbitkan pada 4 Julai 2024, 15:33

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Jurufoto: Zaihiddin Semawi

Sarawak – Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Sarawak, Miri merupakan IPG pertama di Sarawak yang telah dilantik oleh Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak (DBPCSar) untuk menubuhkan Kelab Penulis DBP di IPG tersebut.

Penubuhan Kelab Penulis DBP ini ditubuhkan bertujuan untuk melahirkan penulis yang berwibawa dalam disiplin ilmu masing-masing yang dilihat berupaya untuk merangsang perkembangan pemikiran dan kepengarangan dalam kalangan generasi baharu lebih-lebih lagi yang terlibat secara langsung dengan pendidikan dan sosiobudaya.

Menurut pihak DBPCSar, kerjasama ini akan diperluaskan lagi kepada sekolah-sekolah menengah lain di Sarawak pada tahun 2025 setelah selesai pelaksanaannya di peringkat institut pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS).

Sehubungan dengan itu, DBPCSar akan menyokong sepenuhnya penubuhan kelab penulis ini berdasarkan perancangan dan pelaksanaan yang telah disepakati oleh kedua-dua pihak.

Unit Pengembangan Bahasa, Sastera dan Penerbitan DBPCSar telah mengambil inisiatif untuk menguruskan Kelab Penulis DBP di IPTA dan IPTS Sarawak yang diketuai oleh Encik Ja’afar Haji Hamdan dengan dibantu oleh Puan Siti Nur Atiqah Amirudin.

Antara program lain yang turut dirangka oleh pihak DBPCSar sebagai perancangan jangka pendek kelab ini termasuklah program bimbingan penulisan kreatif dan Minggu Penulis Remaja (MPR) peringkat Sarawak.

Pelantikan ini telah disempurnakan oleh Pengarah DBPCSar, Encik Abang Haliman Haji Abang Julai semasa Majlis Perasmian Bengkel Penulisan Puisi anjuran Jabatan Pengajian Melayu, IPG Kampus Sarawak, Miri pada 24 Jun 2024.

Yang turut hadir dalam majlis perasmian yang tersebut Timbalan Pengarah Jabatan Pengajian Melayu, IPG Kampus,Miri Sarawak, Dr. Tiwi Kamidin; Pensyarah Jabatan Pengajian Melayu, IPG Kampus,Miri Sarawak, Dr. Magdeline Nor dan Penolong Pengarah DBPCSar, Puan Hajijah Mainol.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi