Oleh Firdaus Mul
14 Jun 2024, 11:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Tahi lalat yang bertanda hitam atau coklat dan berbentuk bulat di bahagian tubuh seseorang dikatakan mempunyai maksud tersendiri. Berdasarkan khazanah ilmu yang terkandung dalam manuskrip Melayu, Ilmu Tahi Lalat tergolong dalam ilmu firasat, yakni satu pengetahuan tentang bidang tanda-tanda pada muka, badan dan sebagainya.

Perkara ini dijelaskan secara terperinci oleh Prof. Madya Dr. Salmah Jan Noor Muhammad yang juga merupakan Pensyarah di Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia dalam temu bual rancangan “Yang Lama Dijunjung” anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka baru-baru ini.

Menurut beliau Ilmu Firasat ini terbahagi kepada dua bahagian. Pertama ialah Firasat Hakimi, yang dimiliki oleh manusia biasa. Ilmu firasat (qiafah) berdasarkan tanda pada tubuh manusia, sama ada melalui perbuatan, tingkah laku atau percakapan. Ilmu Tahi Lalat tergolong dalam Firasat Hakimi.

Sementara yang kedua ialah Firasat Shar’i, hanya dapat dimiliki oleh manusia pilihan seperti para anbia, sufi atau aulia. Ilmu firasat ini berdasarkan gerak hati yang diberikan anugerah oleh Allah SWT. Kendatipun, untuk mempelajari ilmu Tahi Lalat yang tergolong dalam ilmu firasat perlulah mematuhi syariat Islam, yakni menjaga hati.

Malah turut dituntut menjaga pandangan daripada melihat sesuatu yang haram, menahan nafsu, memastikan setiap sesuatu yang masuk ke dalam badan adalah daripada sumber yang halal, dan sentiasa berzikir. Ujarnya lagi,

Apabila kita mengikut syarat-syarat ini, Insya-Allah akan diberi keizinan oleh Allah SWT untuk kita melihat watak perwatakan manusia daripada aspek yang pelbagai.

Tujuan kewujudan ilmu Tahi Lalat ini secara umumnya selain untuk mengetahui keperibadian seseorang, adalah untuk mengajar hikmah bertatasusila, beradab dan kaedah mendepani tingkah laku manusia.

Hasil daripada penelitian beberapa naskah Melayu, beliau mendapati pada zaman dahulu, ilmu Tahi Lalat begitu ditekuni oleh golongan Raja-raja Melayu. Hal ini demikian kerana, ilmu Tahi Lalat dapat membantu mengetahui masalah yang dihadapi oleh rakyat dan mengetahui musuh dalam selimut.

Ilmu Tahi Lalat dan ilmu firasat membantu atau menunjukkan cara kepada Raja-raja untuk memilih serta melantik pembesar istana atau menyerahkan sesuatu tugas kepada hambanya.

Sementara itu, beliau turut berkongsi perihal karya Taj al-Salatin dan Bustan al-Salatin. Naskah tersebut merincikan tentang ilmu Tahi Lalat dan ilmu firasat.

Dalam Taj al-Salatin, hal tersebut terdapat dalam fasal ke-18 dan ke-19. Manakala dalam Bustan al-Salatin lebih terperinci dicatatkan oleh Nuruddin al-Raniri tentang pemaknaan ilmu berkenaan.

Ilmu ini walaupun dari manuskrip, berbentuk klasik, tetapi dalam zaman moden sekarang sebenarnya tanpa kita sedar ilmu ini tersebar dalam bidang psikologi yang boleh mengetahui keadaan diri kita.

Pada akhir temu bual beliau sempat menyatakan harapan agar pengkaji tidak berhenti menelaah manuskrip Melayu dan hasilnya dikongsikan kepada masyarakat. Rahsia Tahi Lalat dan ilmu kepustakaan Melayu yang dikongsikan oleh para pengarang lama sebenarnya adalah untuk menyampaikan mesej pendidikan kepada generasi hari ini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.