14 Jun 2024, 16:02

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

 Tanjung Malim – Penyertaan empat pelajar Sarjana Muda Pengajian Bahasa Gunaan (Kepujian) Bahasa Melayu Komunikasi Profesional, Akademi Pengajian Bahasa (APB), UiTM Shah Alam dalam Kolokium Lima Minit Bahasa Melayu Antarabangsa 6.0 (KOLIMI 6.0) anjuran Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan Melayu, Fakulti Bahasa dan Komunikasi (FBK), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)  merupakan salah satu inisiatif dalam menyokong usaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) berkaitan Pelan Tindakan Memartabatkan Bahasa Melayu (PTMBM) sebagai bahasa ilmu di Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA).

Penyertaan pelajar APB dalam KOLIMI 6.0 bukan sahaja memenuhi jemputan pihak penganjur malah bertujuan untuk memartabatkan bahasa Melayu dalam kalangan pelajar IPTA sebagaimana empat objektif PTMBM, antaranya termasuklah membudayakan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu.

Dekan APB, Profesor Ts. Dr. Janudin Sardi memberi sokongan penuh terhadap usaha-usaha yang dirancang dan dilaksanakan oleh Jawatankuasa Pemandu PTMBM peringkat UiTM disamping menyediakan pelbagai platform untuk menyerlahkan bakat dan keupayaan pelajar APB dengan menimba pengalaman berharga.

Hal ini termasuklah melalui pembentangan hasil kajian mereka di peringkat luar UiTM serta meningkatkan elemen komunikasi di khalayak. Penyertaan julung-julung kalinya ini diharapkan dapat memberikan manfaat kepada pelajar khususnya dalam meningkatkan keyakinan untuk menggunakan bahasa Melayu serta melahirkan graduan yang berketerampilan dalam bahasa Melayu.

Penyertaan empat pelajar APB, iaitu Mohamad Zakwan Mohd Rosli, Juwita Abas, Azmiera Zolkeflee dan Dayangku Nabila Awang Nib Zuhairi dalam KOLIMI 6.0 telah dimanfaatkan sepenuhnya dengan membentangkan hasil kajian yang telah dibuat selama hampir tiga hingga enam bulan dalam pelbagai bidang berkaitan bahasa Melayu.

Dayangku Nabila Awang Nib Zuhairi telah berjaya mendapat Anugerah Emas Panel Penilai, manakala tiga yang lain masing-masing mendapat Anugerah Perak dalam KOLIMI 6.0 kali ini.

Penglibatan pelajar-pelajar APB dalam program seumpama ini mampu merealisasikan bahasa Melayu sebagai wadah pembangunan negara dan memperkukuhkan peranan bahasa Melayu sebagai sumber rujukan setanding bahasa asing di UiTM.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.