13 Jun 2024, 15:20

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Pulau  Pinang   –  Untuk menulis sebuah puisi, seseorang memerlukan minat dan juga bakat. Sebuah puisi yang baik merupakan hasil daripada pemahaman seorang penulis agar karya yang dihasilkan itu mampu menepati kriteria yang telah ditetapkan oleh editor.

Ahli Angkatan Sasterawan Nasional Kedah (ASASI), Sanusi Din atau lebih mesra dikenali sebagai Ibnu Din Assingkiri, menjelaskan perkara tersebut dalam Bengkel Penulisan Puisi yang diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan Guar Perahu, Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang.

Sebanyak 450 orang peserta yang terdiri daripada pelajar-pelajar Tingkatan 1, Tingkatan 2, Tingkatan 3 dan Tingkatan 4 dari Sekolah Menengah Kebangsaan Guar Perahu telah terpilih menyertai bengkel bimbingan tersebut.

Program anjuran Sekolah Menengah Kebangsaan Guar Perahu ini bertujuan untuk mendedahkan kepada setiap pelajar tentang teknik penulisan puisi yang baik, tepat dan sempurna. Kongsi Sanusi Din lagi,

Untuk menulis puisi atau sajak mahupun membacanya, puisi atau sajak itu mestilah berunsurkan nasihat dan juga kebaikan. Jangan angan semata-mata kerana ia boleh membawa kesan yang tidak baik.

Tambahnya lagi,

Puisi bermaksud bahasa yang puitis dan indah. Untuk menulis puisi, kita perlu tahu gaya bahasa yang ingin disampaikan dalam sesebuah puisi. Mengarang atau menulis sebuah puisi perlu tahu tekniknya. Kita perlu banyak membaca puisi yang ditulis oleh penyair yang sudah lama berkecimpung dalam dunia sastera.

Beliau menjelaskan bahawa individu yang hendak memahami puisi atau sajak haruslah seseorang yang mampu menyelami individu yang  bersajak atau berpuisi itu.

Setiap peserta bengkel perlu memahami tema dan persoalan yang ingin disampaikan dalam setiap karya yang ditulis dan sebagai seorang penulis, mereka juga perlu bijak dalam menyampaikan isi dan jalan cerita yang ingin diketengahkan dalam setiap karya yang digarap.

Bengkel yang diadakan itu diharapkan akan menjadi landasan yang terbaik dalam melahirkan lebih ramai penulis muda yang betul-betul ingin mendalami ilmu sastera dalam menghasilkan karya yang lebih baik dan bermutu.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.