20 Jun 2024, 14:47

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Selangor – Sejajar dengan Hari Alam Sekitar Malaysia, sebanyak 24 orang pelajar Komunikasi Massa dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam telah menjalankan satu forum bertemakan Eksplorasi Alam Semula Jadi dengan tajuk “Cultivating Resilience and Mindfulness Through Nature” di Gerak Budaya, Petaling Jaya.

Program ini merupakan satu daripada program sampingan yang dilaksanakan oleh mereka. Turut hadir beberapa orang penceramah hebat, antaranya termasuklah Dr. Khadijah Hasanah, Puan Syakila Zen, dan Encik Jabir Meftah.

Ketiga-tiga panel ini berkongsi pandangan mendalam tentang hubungan erat antara alam semula jadi dengan kesejahteraan mental.

Dr. Khadijah dalam ucapannya berkata,

Antara aktiviti menarik yang boleh dilakukan apabila kita stres adalah dengan memeluk pokok dan memijak rumput.

Selain itu, beliau juga turut menekankan bahawa berada dekat dengan alam semula jadi dapat mengurangkan kebimbangan dan menurunkan tekanan darah, serta meningkatkan fungsi sistem imun yang dapat memperbaiki suasana dan keyakinan diri. Dengan itu, kita dapat menonjolkan kebolehan dan keyakinan diri yang lebih unggul.

Dalam pada itu, aktivis alam sekitar yang juga seorang pempengaruh media sosial, Syakila Zen mengetengahkan pengetahuan tentang hubungan manusia dengan alam dalam fokus perbincangannya.

Dalam ucapannya, beliau menekankan kepentingan kesedaran terhadap alam semula jadi dalam meningkatkan kualiti hidup dan mengurangkan kesan negatif ke atas alam sekitar.

Presiden Youth Care Malaysia (YCM), Encik Jabir Meftah pula membincangkan pentingnya pelibatan pemuda dalam menjaga alam sekitar. Beliau menekankan bahawa pemuda memainkan peranan penting dalam menyokong, melaksanakan inisiatif pemuliharaan alam semula jadi.

Forum ini secara positif memberikan kesan terapeutik melalui penanaman pokok terhadap kesejahteraan mental. Aktiviti seperti ini tidak hanya membantu menenangkan minda, tetapi juga dapat membina hubungan yang lebih erat dengan persekitaran semula jadi.

Selain itu, kesedaran diri pada alam semula jadi juga boleh meningkatkan rasa syukur dan penghargaan terhadap keindahan dunia di sekitar kita serta memperkuatkan hubungan emosional dan spiritual dengan alam.

Dengan penutupan program yang berjaya dan penerimaan yang positif daripada peserta, para pelajar UiTM telah memperlihatkan tekad mereka untuk mempromosikan kesedaran tentang kepentingan alam dalam menjaga kesejahteraan mental dan fizikal masyarakat.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.