Oleh Nazrul Aziz
24 Jun 2024, 13:01

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sintok – Dua orang pelajar Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) telah melakar kejayaan dalam Sayembara Puisi Fiesta Tradisi Milenial.

Sayembara anjuran Kelab Pendita Universiti Utara Malaysia (UUM) yang bertempat di Dataran Budaya Pusat Budaya dan Seni Universiti Utara Malaysia ini adalah bersempena dengan Fiesta Tradisi Milenial yang terbuka kepada semua peserta yang berusia 18 hingga 40 tahun.

Tema puisi yang dipertandingkan pada kali bersifat bebas selagi mana tidak menyentuh sensitiviti masyarakat dan peserta bebas mengenakan sebarang busana asalkan bertepatan dengan puisi yang dideklamasikan.

Sebanyak sembilan orang peserta telah mengambil bahagian yang terdiri daripada empat orang pelajar UUM, tiga orang pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) Arau dan tiga orang pelajar UniMAP.

Puisi “Keperihan demi Bentala yang Merdeka” oleh Muhammad Rusyaidi Razhi telah dinobatkan sebagai Johan sayembara, manakala Amirul Hafiz Fadzil wakil dari UniMAP telah menyandang tempat ketiga dengan mendeklamasikan puisi berjudul “Sayap Rabik Merpati di Bumi Palestina”.

Rusyaidi dan Amirul bersama-sama pegawai Pusat Kebudayaan UniMAP.

Menurut Rusyaidi dan Amirul, penyertaan mereka pada kali ini telah mendapat bimbingan dan sokongan padu daripada pihak universiti terutama sekali daripada pegawai-pegawai Pusat Kebudayaan UniMAP iaitu Encik Libren Francis Doublin, Encik Terry Junas dan Encik Suhairi Keriya.

Rusyaidi yang merupakan pelajar tahun dua Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Media Baharu berkata bahawa memahami terlebih dahulu setiap bait yang terkandung dalam puisi merupakan satu daripada langkah yang diambil bagi memastikan beliau dapat menyampaikan puisi dengan lebih berkesan dan bermakna.

Manakala bagi Amirul Hafiz, walaupun bukan pelajar dalam jurusan bahasa mahupun sastera,  namun minat terhadap seni pengucapan dan puisi tidak pernah menghalang pelajar jurusan Mekatronik ini untuk terus bersaing dalam lapangan puisi.

Timbalan Pengarah Pusat Budaya dan Seni UUM, Cik Asmawiza Haji Hussin turut hadir dalam program yang sama bagi menyampaikan sijil, hamper dan wang tunai kepada pemenang.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.