Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangSabah – Karyawan perlu mengantarabangsakan sastera melalui penterjemahan sastera Malaysia sebagai sastera dunia melalui peranan pelbagai pihak seperti Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM), Penerbit Universiti Awam dan Yayasan Karyawan.
Hal ini dinyatakan oleh Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, YBhg. Sasterawan Negara (SN) Dato’ Dr. Mohd. Anuar Rethwan ketika menyampaikan ucap utama Seminar Sastera dan Puisi Esei bersempena dengan Festival Kesusasteraan, Kesenian dan Puisi Esei Antarabangsa kali ketiga, di Dewan Amil Jaya, DBP Cawangan Sabah, semalam.
Tambah YBhg. Dato’ Dr. Anuar Rethwan, beberapa cadangan telah diusulkan sebagai inisiatif menyemarakkan lagi dunia sastera tanah air ini antaranya termasuklah, mengadakan seminar dwitahunan pengantarabangsaan sastera kebangsaan dengan melibatkan para sarjana dari dalam dan luar negara serta barisan penulis tempatan.
“Aktiviti kesusasteraan ini haruslah melibatkan pensyarah dan pelajar di pusat-pusat pengajian Melayu atau Malaysia di luar negara juga, serta tidak hanya tertumpu dalam sesuatu kelompok semata-mata,” ujar YBhg. SN Dato’ Dr. Anuar Rethwan.
Perkara yang sama turut dibangkitkan oleh YBrs. Presiden Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA), Profesor Madya Dr. Mohamad Saleeh Rahamad, dalam Festival Kesusasteraan, Kesenian dan Puisi Esei Antarabangsa 2024. Kongsinya,
Penganjuran festival sastera secara tahunan ini boleh menjadi platform untuk mempromosikan karya-karya sastera tempatan, menganjurkan bacaan karya dan mewujudkan ruang untuk perbincangan dan dialog tentang sastera.
Pembentangan kertas kerja bagi seminar tersebut telah berlangsung selama dua hari, bermula pada 5 hingga 9 Jun, semalam.
Selain Dr. Mohamad Saleeh Rahamad, panel pembentang kertas kerja dalam seminar tersebut terdiri daripada penggiat dan aktivis sastera yang datang bukan sahaja dari Malaysia, tetapi juga dari Indonesia dan Brunei.
Sasterawan Negeri Sabah Kedua, Azmah Nordin dan Sasterawan Negeri Sabah Ketiga, Hasyuda Abadi turut membentangkan kertas kerja masing-masing dengan tajuk “Penulis Sabah, Menyeberang Sempadan” dan “Perkembangan Sastera Sabah dan Puisi Esei dalam Konteks Sastera Serantau”.
Pembentang dari negara jiran, Indonesia, Dr. Yundini Husni Djamaluddin (Kasus-Kasus Sosial Budaya dalam Puisi Esei), Dr. H. Mithhar, S.Pd., M.Pd., (Sastera dan Kesenian Mandar dalam Kebudayaan Melayu) dan Machdaniar Nisfah (Diplomasi Budaya Indonesia di Sabah) masing-masing memberikan idea dan buah fikiran yang bernas bagi menghidupkan sastera Nusantara di mata dunia.
Manakala, negara Brunei pula diwakili oleh Tuan Haji Jawawi Haji Ahmad dengan kertas kerjanya yang bertajuk “Puisi Esei di Wilayah Borneo”.
Selain daripada pembentangan kertas kerja, dalam sesi yang sama turut diselitkan Forum Puisi Esei Wahana Sastera Dunia dengan menampilkan Awang Abdul Muizz Awang Marusin dan Abdul Nasir Paisal dari Malaysia, serta Haji Hussein Abdul Rahman dan Zefri Ariff dari Brunei sebagai ahli forum.