28 Februari 2024, 09:57

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Manuskrip syair bertajuk Syair Jaran Tamasa akhirnya menemui khalayak pembaca umum setelah “terbiar” di Perpustakaan British, London.

Manuskrip itu ditransliterasikan daripada jawi kepada rumi secara gotong-royong dengan bantuan daripada hampir 30 orang pengusaha daripada pelbagai bidang dan diketuai oleh Dr. Mulaika Hijjas.

Manuskrip yang baru sahaja diterbitkan oleh Buku Fixi itu asalnya disalin oleh individu yang bernama Ismail pada 1804 untuk John Leyden, seorang peminat sastera rakyat dan penterjemah pertama Sejarah Melayu.

Menurut Mulaika, pemilihan Syair Jaran Tamasa dipilih sebagai projek gotong-royong ini kerana tulisan tangan manuskrip ini jelas dan rapi.

“Lagipun syair senang sedikit berbanding prosa kerana adanya rima. Kalau ada satu perkataan yang kita tidak tahu, kita boleh teka sedikitlah. Kalau prosa itu, susah sikit. Saya rasa ini lebih senang,” katanya dalam majlis pelancaran buku tersebut di Pesta Buku Alternatif Kuala Lumpur (KLAB) pada Sabtu.

Mulaika yang kini pensyarah kanan kajian Asia Tenggara di School of Oriental and African Studies (SOAS), University of London turut menambah keunikan yang ada pada syair ini ialah tulisan tangan yang elok dan anggun.

Kolektor British yang mendapatkan naskhah ini pada tahun 1804 itu memang kagum dengan gaya bahasanya dan ini saya rasa satu kelebihan pada syair ini.

Penerbit, Amir Muhammad dalam majlis yang sama menjelaskan Buku Fixi berminat untuk menerbitkan buku tersebut sebagai usaha khidmat nasional.

Ini lebih kepada usaha nak menerbitkan semula (karya lama). Tapi ia tak boleh jadi penerbitan utama kami sebab kalau ya, kami dah lama bankrap. Ia macam hobi dan aktiviti sampingan.

Dalam prakata buku ini juga Mulaika menyatakan bahawa Syair Jaran Tamasa ini tidak pernah dikaji atau dibaca setelah kematian Leyden pada tahun 1811.

“Projek gotong-royong transliterasi jawi ke rumi bersama relawan Malaysia dan Singapura bermula dengan sebuah bengkel kecil di National Library of Singapore, seterusnya bengkel lain di kedai buku Tinta Budi di Kuala Lumpur dan bersama ahli persatuan Warisan Acheen Street di George Town. Ramai peminat sastera lama telah menyumbang daya untuk menghasilkan edisi baru ini.

“Di antara mereka, tiga orang membuat sumbangan yang sangat besar; Puan Zaleha Ahmat yang mengalih aksara hampir keseluruhan Syair Jaran Tamasa, dan juga Puan Rohayah Lani dan Puan Wan Zalini Rajali,” jelasnya.

Syair ini mengisahkan seorang penggawa gagah dan tampan bernama Jaran Tamasa di istana Majapahit yang telah jatuh cinta pada seorang dayang cantik bernama Ken Lamlam Arsa. Namun dayang tersebut dijanjikan sebagai gundik raja. Disebabkan itu, Jaran Tamasa menculiknya dari rumah dengan ilmu sihir.

Manuskrip asal syair yang bertulisan jawi ini boleh dicapai secara percuma melalui laman sesawang British Library.

Buku Syair Jaran Tamasa mula dijual di Pesta Buku Alternatif Kuala Lumpur dan menjadi antara buku terlaris pada setiap hari di reruai Fixi.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.