15 Februari 2024, 09:57

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kota Bharu – Persatuan Penulis Kelantan telah menganjurkan program Dialog Penulis Bersama PPK yang diadakan di Flex Space, Wakaf Che Yeh, Kota Bharu, Kelantan.

Program tersebut menampilkan penulis, Nasriah Abdul Salam selaku moderator dan dua lagi penulis sebagai ahli panel, iaitu Salman Sulaiman dan Nimoiz T.Y. Tajuk yang dibawa dalam program ini sangat menarik,  iaitu berkaitan dengan polemik dalam ranah sastera tanah air baru-baru ini, “Sastera Kita Ketandusan Penulis Muda?.”

Ketiga-tiga penulis yang mengisi tempat di meja dialog merupakan penulis yang tidak asing lagi. Nasriah Abdul Salam terkenal dengan cerpen-cerpen beliau yang telah dibukukan dalam kumpulan cerpen Putih Kelir Merah Muleta (2015) terbitan ITBM. Nimoiz T.Y pula memang sudah dikenali kerana sentiasa aktif menulis dan memimpin bengkel sastera anjuran pelbagai persatuan, jabatan dan juga agensi.

Salman Sulaiman juga merupakan seorang penulis prolifik, selalu mengarang esei tentang isu-isu hangat yang melatari dunia sastera Malaysia. Ketika ditanya oleh Nasriah tentang keberadaan penulis muda di Kelantan, Nimoiz menyatakan bahawa ada dua sudut pandang yang boleh diperjelaskan. Pertama, penulis Kelantan yang tinggal di Kelantan manakala kedua, penulis yang berasal dari Kelantan tetapi menetap di luar.

Beliau juga memperincikan senarai panjang penulis muda Kelantan, sekali gus menjawab persoalan yang diajukan moderator bahawa sastera Kelantan tidak sepi daripada penulis muda.

Salman Sulaiman pula memberikan pesanan bahawa penulis muda jangan sesekali berasa takut untuk menghantar karya walaupun beberapa kali ditolak dan sentiasa menyimpan hasrat serta bersungguh-sungguh untuk mempunyai kumpulan puisi atau cerpen sendiri.

Seterusnya, Nasriah Abdul Salam juga bertanyakan tentang cabaran-cabaran yang dihadapi oleh para penulis lama. Nimoiz memulakannya dengan menceritakan pengalamannya bermula sebagai penulis. Antara cabaran yang dihuraikan ialah menulis dengan mesin taip dengan sumber rujukan yang terhad. Selain itu, penulis muda juga perlu berhadapan dengan kerisauan untuk bersaing dengan penulis mapan.

Salman Sulaiman pula menyatakan tiga cabaran buat penulis muda. Pertama ialah peruntukan waktu untuk membaca setiap hari. Beliau menyatakan masalah ini juga pernah dialami oleh Pak Samad seperti dalam catatan pengalaman penulis hebat itu dalam buku Dari Salina ke Langit Petang.

Masalah kedua adalah untuk istiqamah berkarya agar dapat mengekalkan tempo penulisan. Namun, cabaran terbesar pastinya untuk menghasilkan karya bermutu dengan mengelakkan klise dan stereotaip.

Dialog Penulis Bersama PPK ini diakhiri dengan kata-kata daripada dua Sasterawan Negara yang diutarakan oleh Salman Sulaiman, iaitu oleh SN Muhammad Haji Salleh yang berbunyi, “tiada istirahat bagi seorang pengarang” dan juga oleh SN Shahnon Ahmad yang berkata “apabila berhenti menulis, aku akan mati”.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.