Oleh Roslan Jomel
7 Februari 2024, 17:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Roslan Jomel mengimbau kembali ‘pertemuan’ pembacaannya dengan karya-karya Awangku Merali Pengiran Mohamed dan secara tersiratnya menyatakan kepada penulis-penulis muda di luar sana, “Engkau cari dan baca karya-karyanya”.

Apa yang menariknya dalam kaya-karya Awangku Merali Pengiran Mohamed? Pembaharuan naratif dengan teknik penceritaan yang mendekati gaya kontemporari kesusasteraan antarabangsa dan tema-tema relevan serta penggunaan bahasa yang jelas serta tidak bertele-tele. Itulah elemen-elemen kerja pertukangannya yang mendahului pengarang Sarawak lain pada ketika itu.

Pada tahun 1947, seorang ahli psikiatri Austria yang menetap di New York City, iaitu Dr Edmund Bergler, telah mencipta suatu istilah yang dipanggil Writer’s Block. Kononnya individu yang mengalami gangguan sebegitu, tidak berupaya untuk menghasilkan karya baharu dan diselubungi kelembapan daya kreativiti.

Namun begitu, ia bukan suatu jenis penyakit dalaman yang mewajibkan seseorang itu untuk melakukan pembedahan apatah lagi menelan pil setiap hari. Generasi demi generasi berlalu dan istilah yang dikhuatiri oleh golongan pengarang itu, sekadar tinggal mitos.

Mahu terus menulis atau tidak, itu punca utama masalahnya. Bagus atau tidak, pengarang itu sendirilah yang menentukan kualitinya. Dan bidang penulisan memang memaksa pengarangnya kuat membaca dan meluaskan horizon kesusasteraan. Hadiah dan royalti, itu isu rezeki.

Ada pengarang yang sentiasa menerbitkan karya baharu saban tahun. Tidak perlu menunggu ilham dan inspirasi, pengarang sentiasa gigih memfokuskan kerja penulisan tanpa mempedulikan sama ada karyanya dikritik atau diberikan liputan oleh komuniti sastera.

Kadang-kadang ternyata kualiti penulisannya memang terjaga, bahkan meraih anugerah dan menerima hadiah utama dalam peraduan. Dan, sebagaimana yang lazim berlaku, apa yang dihasilkan oleh pengarang prolifik, tidak pun menggoncang perhatian peminat sastera tetapi cenderung kepada tuntutan materialisme (royalti dan honorarium) untuk meneruskan kehidupan. Hal itu juga isu peribadi. Hidup secara realistik mengajar seniman untuk tidak selama-lamanya melakukan kerja seni secara percuma atas nama seni.

Memang, kerja menulis karya kreatif tidak dimengerti oleh masyarakat awam. Karya yang cemerlang memang enak dibaca tetapi tentu lebih payah dihasilkan oleh pengarang. Duduk berkurung dalam bilik, menghadap komputer riba sambil merenung skrin yang kosong berjam-jam lamanya. Entah bertaip atau dibiarkan terus kosong. Ia melibatkan bakat, wawasan seni dan sentuhan spiritual yang bukan main-main.

Apakah pekerjaan itu sama dengan kerja mengecat dinding, melipat pakaian atau mengail ikan di muara sungai? Jika sesenang itu, kenapa perlu menyeksa mental dan fikiran? Bak kata Budi Darma dalam buku Solilokui,

Mereka menyangka, bahawa menulis dapat dipotong dengan mudah oleh kegiatan ini dan itu. Dalam masyarakat yang tidak intelektual, kerja intelektual dianggap sama dengan kerja pertukangan.

Awal tahun 1990, saya duduk di hadapan meja Puan Hajijah Jais dalam pejabatnya di Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak. Puan Hajijah Jais menghulur sebuah buku, kumpulan cerpen para pemenang sayembara Hadiah Esso-Gapena.

Ada dua buah karya Awangku Merali Pengiran Mohamed di dalamnya. Jika tidak silap, Cerita dari Sebuah Taman dan Ber(se)lindung di Sebalik Gunung. Awangku Merali Pengiran Mohamed pemenang Hadiah Utama. Saya masih ingat, berita kemenangan pengarang itu diumumkan melalui radio. Seorang pak cik, (biarlah nama dan lokasi dirahsiakan), datang mendekati saya dan bertanya, bukan nama kamu yang baru-baru ini dilaporkan sebagai pemenang hadiah menulis cerpen? 

Saya membaca sekali imbas dan terjentik dalam diri, suatu hari nanti, akan menulis rencana tentang kehebatan (kehilangan) pengarang istimewa Sarawak itu.

Benar, setelah menghasilkan kumpulan cerpen Namaku Epal Kuning (terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka) dan Selamat Datang Ke Malaywood (terbitan Institut Terjemahan Buku Malaysia), saya telah mengemukakan beberapa rencana berkaitan dengan karya-karya (terutama cerpen-cerpennya) monumental Awangku Merali Pengiran Mohamed. Tulisan-tulisan itu disiarkan dalam ruangan Yang Indah Itu Bahasa dalam akhbar Utusan Borneo.

Saya juga masih ingat, bagaimana pengarang itu seakan-akan mengeluh, bahawa selama beliau menghasilkan karya dan disiarkan, tiada sebarang kritikan, atau sekurang-kurangnya ulasan ke atas karya-karyanya. Sejujurnya, saya tidak pernah berkesempatan duduk bersembang dengan tokoh itu. Menyedari profil dan karakter serius serta berjawatan tinggi, tidaklah mungkin beliau hendak melepak di kedai mamak (tempat golongan marhaen).

Apa yang menariknya dalam kaya-karya Awangku Merali Pengiran Mohamed? Pembaharuan naratif dengan teknik penceritaan yang mendekati gaya kontemporari kesusasteraan antarabangsa dan tema-tema relevan serta penggunaan bahasa yang jelas serta tidak bertele-tele. Itulah elemen-elemen kerja pertukangannya yang mendahului pengarang Sarawak lain pada ketika itu.

Dikatakan, gaya penulisan Awangku Merali Pengiran Mohamed turut dipengaruhi dengan langgam penceritaan sasterawan-sasterawan besar dari Amerika Selatan. Teknik aliran plot yang beriringan dan saling berkaitan hingga membentuk pusat cerita, sebagaimana yang terakam dalam naskhah Pelagus, begitu memukau saya pada waktu itu. Sungguh teliti pengarangnya menyusun subplot.

Ada penulis yang cuba mengikuti gaya penulisan Awangku Merali Pengiran Mohamed, tetapi pertukangannya agak kasar, terburu-buru dan hasilnya, nampak dibuat-buat. Bahkan pada suatu tahap, saya merasakan bahawa kedudukan Awangku Merali Pengiran Mohamed hampir menyamai standard penulisan yang dimiliki oleh SN Anwar Ridhwan. Alangkah sayangnya..

Awal Disember 2023, saya menulis lagi tokoh itu, untuk ke sekian kali, sebagai memperkenalkan nama dan keberkesanan karyanya yang barangkali tidak familiar dengan pengarang generasi baharu ketika ini. Silalah dapatkan buku kumpulan cerpen sulungnya, Cerita dari Sebuah Taman, terbitan 2001. Entah masih atau tidak di pasaran. Ada 12 buah cerpen di dalamnya. Kulit sampulnya begitu sederhana. Bayangkan sejak tahun penerbitan buku itu, nama pengarang yang saya letakkan di tempat teratas dalam penulisan genre cerpen Sarawak sehingga kini, hilang dari tahun ke tahun.

Intro naskhah Cerita dari Sebuah Taman, mengingatkan saya dengan cerpen Robohnya Surau Kami, karangan Ali Akhbar Navis. Tetapi itu hal sampingan. Isu-isu teras yang dipersoalkan dalam naskhah terbaik Awangku Merali Pengiran Mohamed itu ialah tentang semangat cinta akan tanah air, tradisi, kesenian alam timur dan kemudian datangnya anasir-anasir dari luar yang perlahan-lahan menghakis jati diri bangsa. Tema berat yang dipadukan dalam sebuah naskhah Cerita dari Sebuah Taman bukan hal enteng atau semata-mata dibuat untuk mengagumkan audiens.

Jika pembaca ingin mengikuti selok-belok setiap naskhah yang terkumpul dalam buku Cerita dari Sebuah Taman, saya pasti, lambat-laun akan memahami jalur pemikiran Awangku Merali Pengiran Mohamed melalui setiap naskhahnya. Dari isu keturunan keluarga, adat resam, kolonialisme, pencerobohan tanah warisan dan pembalakan haram serta pengkhianatan amanah.

Ia himpunan naskhah yang kompleks, bukan sahaja pokok persoalan, tetapi juga pada kaedah persembahannya. Tajam, padat dan mengganggu serta provokatif.  Ceritanya berlapisan kalau diselidik dan direnungi. Maka itulah faktor yang menjadikan naskhah itu mencabar para pembaca yang jeli dan sofistikated. Pada tahap pertama, populariti dan hadiah, bukan buruan utama yang merangsang seseorang penulis untuk berkarya. Tetapi sebagai pengarang berpendidikan, bakat dan kecanggihan ilmu bantu akan menghadiahkan pulangan yang berbaloi kepada kerja penulisan.

Cuba pembaca lihat pada apa yang dikatakan pengarang Cerita dari Sebuah Taman di sebalik motif untuk membina sebuah taman di tengah kota. Keperluan sebuah taman amat mendesak untuk mengendurkan suasana kaku di kota yang mengakibatkan warganya berpecah belah. Ada beberapa hal yang memecahbelahkan manusia. Selain sempadan geografi, salah satunya politik.

Hidup menjadi rigid, keras dan robotik. Maka, sebuah taman yang dibina nanti akan menjadi tempat untuk warga menenangkan diri dan siapa tahu akan menyatukan mereka nanti ketika asyik menikmati alam fauna. Terlepas daripada aspek kewujudan sebuah taman (buat mengabadikan rasa kasih dan sayang Tuan Mahdar kepada isterinya, Armas), lapisan cerita kemudian menirus ke dalam inti jiwa, sikap dan jati diri seseorang manusia. Dan dimensi yang rumit itulah yang menjadi corong utama untuk menyelami asas sebenar kepada objektif naskhah itu. Ia bukan bercerita tentang taman yang penuh warna-warni itu semata-mata. Ia berpusat kepada masalah sikap dan kehalobaan manusia.

Panggillah apa sahaja, seksis, cauvinisme, idealisme historisme atau pemikiran persejarahan baharu, bagi saya, naskhah Cerita dari Sebuah Taman mengutarakan isu-isu kritikal yang kini mencengkam dan sudah pun menjadi barah dalam keperibadian warga setempat. Pendidikan tinggi sampai ke awan belum menjamin akhlak yang terpuji. Manusia spesies yang paling kompleks di atas muka bumi kerana akal dan lingkaran perasaannya.

Naskhah Cerita dari Sebuah Taman ialah tempat warga kota untuk melakukan eskapisme setelah tubuh dan fikiran mereka diselaputi debu, ketamakan dan kegersangan dalam jiwa. Rohaniah mereka dikakui oleh sistem kehidupan di kota. Dalam kecanggihan hidup di kota, manusia menjadi lebih cerdas akal dan juga sekali gus menjadi semakin rakus kerana dibius oleh kehendak duniawi.

Demikianlah gelagat para pengunjung yang tidak segan silu melakukan onar dan telah mencemar tujuan murni pembinaan Taman Armas yang didedikasikan oleh Tuan Mahdar. Bayangkan betapa remuknya jiwa Tuan Mahdar andai melihat segala kemungkaran yang berlaku di dalam taman buat diabadikan kepada isteri tersayang. Tanpa wujudnya sebuah taman, manusia akan tetap begitu juga.

Taman Armas telah bertukar nama menjadi Taman Harapan. Pemandangan serba hijau dan suasana yang mendamaikan telah berubah seratus-peratus. Bunga-bunga yang ditanam suatu ketika dulu, mungkin sudah lama layu dan pasu-pasunya pasti pecah bertaburan. Kolam yang jernih menempatkan pelbagai jenis ikan barangkali kering kontang dan ditumbuhi lalang-lalang dan semak belukar. Haiwan-haiwan peliharaan tentu sahaja bermigrasi ke hutan sebenar yang juga semakin lama terang-benderang dirosakkan oleh kapitalis industri pembalakan.

Saya tidak melarang jika anda ingin mencari di manakah lokasi sebenar taman itu di dunia nyata. Entah wujud atau sekadar rekaan fiksyen. Malahan pemiliknya juga sudah tiada lagi untuk diwawancara. Lebih mendukacitakan lagi, pengarang yang empunya naskhah Cerita dari Sebuah Taman juga bagaikan hilang ditenggelami masa dalam bidang persuratan.

 

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.