30 Januari 2024, 15:22

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Nurul Julia Alani Henry melihat bagaimana novel sejarah remaja dirangka dengan berkesan dan boleh memikat pembaca melalui naratif pensejarahan yang menarik menerusi karya penulis remaja tersohor, Salina Ibrahim bertajuk Demi Tanah Qalha.

Penulis sering mengulangi perkataan pertama sesuatu ayat, dan bentuk pengulangan ini tampak konsisten dari awal hingga pengakhiran kisah dalam novel. Hal ini menunjukkan kesedaran penulis dalam menaratifkan penegasan yang disampaikan melalui novel.

 

  1. Naratif Pertanyaan/Soalan

Penulis meninggalkan pembaca dengan deretan ayat berupa soalan, atau pertanyaan kepada pembaca. Soalan atau pertanyaan tersebut pula tidak dijawab oleh penulis, sama ada dalam bentuk dialog atau naratif.

Seni bahasa ini meletakkan pembaca dalam keadaan tertanya-tanya, apakah peristiwa yang akan berlaku, atau apakah yang akan dilakukan oleh wataknya? Seni bahasa ini juga menimbulkan rasa saspens, lantas mendorong pembaca untuk terus meneroka teksnya untuk mengetahui jawapan pada soalan yang ditanyakan oleh penulis.

Mengapa membuka pintu negeri kepada pihak luar? Tidak sayangkah pada negeri  tanah tumpah darah sendiri? Jika berebut sesama adik-beradik, tidak bolehkah selesaikan secara baik-baik? (hlm. 55).

Ahli keluarganya sendiri bagaimana? Isteri-isterinya, puteri-puterinya, dan ramai lagi, bagaimana dia hendak selamatkan mereka? (hlm. 87).

Apa ikhtiarnya? Dia seorang sahajakah yang perlu berfikir? Mereka yang lain bagaimana? Untuk apa mereka dilantik sebagai orang-orang besar dan mendapat habuan lumayan, jika tidak dapat memberikan apa-apa sumbangan? (hlm. 89).

 

  1. Naratif Perasaan (marah, syahdu, sayu, insaf)

Dalam naratif perasaan yang bernada syahdu, sayu dan insaf, penulis mahu memperlihatkan perasaan watak utama setelah mengalami apa yang berlaku dalam perjuangannya.

Angin dari Gunung Bayu tenang sejuk dan sungguh menyegarkan. Sejak dinihari sehingga matahari terbit, dan kini sudah cerah-cerah tanah, dia masih tidak terhenti berzikir. Itu makanan jiwa paling mengenyangkan dia rasa. Ini waktu muhasabah diri… (hlm. 141).

Kadangkala dia menangis mengingati perbuatan lamanya. Dia rasa dia tidak patut bertindak mencabut nyawa makhluk lain, seperti dia pula Tuhan. (hlm. 142).

… hatinya sendiri berasa kosong. Dia tidak tahu apa-apa yang dia rasa. Dia tidak gembira. Malah tidak juga rasa sedih. Dia tidak rasa apa-apa! (hlm. 146-147).

Ternyata apabila membaca petikan tersebut, pembaca dapat merasai emosi dan luahan perasaan watak yang disampaikan oleh penulis melalui naratif perasaan bernada sayu dan syahdu. Pembaca juga pasti merasai keinsafan yang dialami oleh watak tersebut, iaitu Sultan Ahmad Tajuddin.

 

  1. Pengulangan

Penulis sering mengulangi perkataan pertama sesuatu ayat, dan bentuk pengulangan ini tampak konsisten dari awal hingga pengakhiran kisah dalam novel. Hal ini menunjukkan kesedaran penulis dalam menaratifkan penegasan yang disampaikan melalui novel.

Apa gunanya jadi sultan jika tidak bernegeri? Apa gunanya jadi sultan jika tidak berakyat? (hlm. 57).

Tentu musuh Siam akan membuka langkah. Tentu musuh Siam melihat peluang lebih luas terbuka. Inilah masanya! (hlm. 85).

Bukan dia tidak pernah…  Bukan dia tidak mahu menjadi… Dia terpaksa merendahkan rasa… Dia terpaksa membuang rasa malunya… (hlm. 99).

Raja yang kehilangan kuasa di tanah air sendiri. Raja yang tidak punya apa-apa. Raja tanpa negeri! (hlm. 120)

 

  1. Bahasa Figuratif

Bahasa figuratif ialah bahasa kiasan yang digunakan untuk menimbulkan kesan dan makna tertentu dengan cara membandingkan sesuatu perkara dengan perkara lain. Bahasa figuratif terdiri daripada beberapa elemen, iaitu simile, metafora, personifikasi, hiperbola, anafora, metonimi perlambangan, aliterasi, asonansi dan sindiran.

  • Personifikasi ialah perlambangan sifat manusia kepada objek yang tidak bernyawa.

… Sudah pasti rahang maut ternganga luas menelan mereka! (hlm. 3).

… kalau Melayu kurang ajar dan tidak makan ajar, maka biarlah mata keris yang mengajarnya. (hlm.77).

Para panglima tidak menunggu lagi apabila bibit perbincangan mengembang menjadi bunga ganas. (hlm. 131).

 

  • Simile merupakan perbandingan yang menggunakan kata seperti bak, bagai dan umpama.

Dia mahu menjadi seperti pejuang-pejuang terdahulu yang tidak pernah gentar memerangi tentera salib. (hlm. 6).

Kalau diibaratkan kaca, sudah nampak tanda retak menanti masa untuk pecah. (hlm. 25).

Rasanya mereka sudah berjaya membunuh beratus-ratus orang Siam, tetapi orang Siam itu datang lagi dan lagi, bagaikan semut yang keluar dari sarang, tidak putus-putus. (hlm. 123).

 

  • Hiperbola ialah ungkapan atau pernyataan yang berlebih-lebihan untuk menimbulkan kesan tertentu.

Banyak kali kaki terbenam dalam selut, beberapa kali baju terkait duri mengkuang yang tumbuh subuh di pinggir sungai dan kerap juga tapak kaki tertikam duri semalu yang tajam. (hlm. 28).

Tunku Kudin rasa seluruh tubuhnya menggeletar. Seluruh tubuhnya sedang dibakar dendam. (hlm.112).

Jauh dalam hati, setitik kagum mengembang semakin besar dan semakin besar, terhadap lelaki Melayu itu. Mungkin untuk seluruh warga Melayu lain juga!

 

  • Anafora ialah pengulangan pada pangkal ayat.

Sia-sia dia dilahirkan Islam jika dalam hatinya masih ada gentar. Sia-sia dia dinamakan Sayid Zainal Abidin jika dalam hatinya masih ada rasa takut. Sia-sia dia digelar Tunku Kudin kalau dia berhati kecil pengecut. (hlm. 10).

 

  1. Peribahasa dan Simpulan Bahasa

Selain untuk mengindahkan gaya penulisan, penulis menyelitkan peribahasa dan simpulan bahasa sebagai suatu seni bahasa agar naratifnya lebih menarik dan berkesan.

Dia mesti menjaga tertib, berhikmah dan menyelesaikan masalah seperti menarik rambut dalam tepung. (hlm. 18)

Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya. Tapi, padah itu belum tiba, belum menampakkan wajah. (hlm. 82)

Puas hatinya melihat muka Tunku Ibrahim yang bagaikan ayam berak kapur. (hlm. 83)

Bertempiaranlah rakyatnya, bercempera macam anak ayam dihambat musang. (hlm. 87)

Dia bukan lembu dicucuk hidung. Dia bukan pak sanggup. (hlm. 101)

 

  1. Perkataan yang Jarang-jarang Digunakan/Kosa Kata Lama

Penggunaan kosa kata lama adalah bertepatan dengan tema novel sejarah yang berlatarkan peristiwa sebenar yang berlaku pada zaman lampau. Gaya menaratifkan fakta dan peristiwa, termasuk dialog watak yang disulami dengan kosa kata lama juga bersesuaian dengan jalan dan latar cerita serta watak yang berdasarkan sejarah lampau.

Kosa kata lama yang dikesan dalam novel Demi Tanah Qalha adalah seperti “capal”, “bersanggitan”, “lampas”, “metah”, “lutu”, “terkerisin”, “tergegau”, “terjemuh”, “jihat”, “tergeletak”, “rentaka”, “berkeriau”, “menyenggau” dan “berili”.

 

  1. Pantun

Pantun bukan hanya digunakan sebagai alat untuk menyampaikan pesanan, nasihat, gurau senda dan sebagainya, tetapi juga sebagai permainan kata-kata. Penulis memanfaatkan pantun sebagai alat untuk membuka cerita setiap bab.

Pantun dijadikan pembuka setiap bab amat bertepatan dengan gaya kehidupan masyarakat tradisional yang lazimnya menggunakan pantun sebagai pembuka bicara, sama ada dalam perbincangan, peminangan atau persembahan. Pantun di bawah menjadi pembuka cerita Bab 1:

Tanah merekah kuala berlumpur,

    Pasir hitam di hujung kaki;

Walau selangkah takkan berundur,

    Memang resam anak lelaki.

Sebagai sebuah karya sastera, novel remaja Demi Tanah Qalha dilihat utuh dari segi olahan seni bahasa, yang turut diperindah oleh gambaran latar zaman, budaya dan masyarakatnya.

Konflik dan peristiwa yang digambarkan melalui seni bahasa yang sesuai berupaya memberikan kesan dan menimbulkan saspens kepada pembaca, sesuai dengan semangat novel sejarah.

Begitu juga dari aspek penceritaan emosi dan psikologi watak-wataknya telah menyuguhkan paparan manusiawi, bukannya watak kaku sebagaimana dalam buku teks sejarah. Semua itu dihidangkan dalam bentuk seni bahasa yang pelbagai, sejajar dengan keperluan naratifnya.

________________________________

Nurul Julia Alani Henry merupakan Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Tengah.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.