Oleh Aliff Awan
29 Januari 2024, 16:17

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Aliff Awan mengimbau kembali sejenak pengalaman dirinya, kemudian mendapat tenaga, semangat dan getar baharu selain semangat kehidupan daripada tiga orang artis persembahan, iaitu Karmaa, Ain dan Syahirah.

Selepas seharian melihat mereka, saya teringatkan diri sendiri yang pernah begini. Tulisan masih mentah, takut sampai tidak lalu makan, tetapi sibuklah ingin memegang mikrofon dan berjoget-joget di hadapan.

Ada tenaga yang bermacam-macam dicari sebelum sebuah pementasan. Gigil pada tangan, denyut jantung makin laju, udara tidak cukup dan memori yang tiba-tiba kosong adalah semacam kewajipan. Sekali pun telah selalu memegang mikrofon, getar masih akan ada.

Cuma, beberapa persembahan sekitar tahun 2022 dahulu, apa-apa yang saya tulis di atas tidak lagi masuk ke dalam badan. Suatu hari, gentar tidak ada langsung dan untuk dua, tiga bulan seterusnya, saya langsung tidak kenal erti kewajipan-kewajipan ini.

Ia merisaukan macam selepas lama bekerja di sebuah syarikat, penat/selesa sudah bersatu dengan badan dan akhirnya, kerja seharian merupakan sesuatu yang tidak ada rasa lagi. Atau, seperti hari-hari makan nasi lemak sebelah SMK Bandar Utama Damansara 2, jemu pun datang. Kejemuan ini, percayalah, hanya boleh dipulihkan semula dengan menukar rutin dan mencari hidup yang baru.

Jadi, saya pun memilih rehat sehingga 14 Januari 2024 lepas. Semasa #KalbirasiDiri 2.0 yang diuruskan sepenuhnya oleh Projek Suka & Nomad Kopi, barulah pentas kembali dipijak dan pinggul kembali meliuk-liuk di hadapan penonton. Sambil sakan berjoget, saya tersengih melihat artis persembahan lain yang menulis sajak. Walaupun tulisannya masih mentah, tetapi keseronokan berada di atas pentas itu yang saya gemar. Betapa seronok apabila gigil, jantung laju dan gentar itu masih bersama kita.

Karmaa.

@karmaa.iw hadir dengan kain satin berwarna kuning menutupi seluruh mukanya. Dengan muzik misteri yang mengiringinya, dia membaca baris-baris tulisan daripada sebuah buku jingga yang sudah mula lusuh warnanya. Dari kanan ke kiri, dengan getar yang sudah diselindung, dia membaca “Maha Mimpi”. Barisnya mudah, tapi ini sudah cukup untuk menggambarkan suara yang perlahan-perlahan dicari oleh penyajak dari Ipoh ini;

Dari mana ke mana?

Tepuk dada tanya rasa,

Apa nyata dititah sangka?

Atau ku sesat di dalam cahaya.

Sewaktu mendengarkan ini, saya terbayangkan sebuah jalan yang kosong, ada gelap yang samar bercahaya dengan asap yang perlahan-lahan hilang. Di situ, ada seorang lelaki dengan keunikan pertuturan (gagap) muncul. Ketika itu, “ruh pemuisi”nya masuk ke dalam tubuh untuk memberi yakin dan menjadikannya lebih misteri.

Kalau pemujaan merupakan sesuatu yang Karmaa kejar, saya berdoa dari jauh dia akan terus mengisi masa lapang dengan membaca. Kalau kepulan “tanya-tanya tak berjawapan” yang dikejar, saya berharap kosa kata-kosa kata dengan nuansa misteri akan menjadi sebahagian daripada dirinya supaya sesudah ini, tidak ada lagi kain satin kuning yang perlu digunakan dan suara serta baris-baris puisinya sendiri sudah cukup untuk “menutup” seluruh tubuhnya.

Kemudian, @ainsr_ hadir dengan tulisan yang lebih serius dan empati. Kalau Karmaa meneroka diri sendiri, Ain menggambarkan kekejaman laku seorang dewasa terhadap seorang kanak-kanak.

Ain.

Selepas menjelaskan yang “Lenturan Iblis” merupakan sebuah sajak tentang jenayah seksual kanak-kanak, dia membacakan baris yang saya tidak boleh lupa:

Hidup si pelakunya lenang,

gusinya kekal basah disisip tawa riang,

makannya cukup, rezeki dan zatnya tidak lekang,

didakap cinta, diusar buana,

dililit kaseh keluarga tersayang.

Perkara ini sering berlegar dalam kepala; kalau seorang kanak-kanak dianggap sebagai tidak boleh berfikir dengan betul, kenapa orang dewasa sering mencela, melukakan mereka yang masih belum cukup akal ini? Lima baris yang digambarkan Ain ini cukup hina untuk dibaca kalau kita fikir bahawa kejahatan sering hadir dengan ketenangan yang bermuka-muka.

Syahirah.

Kalau dipanjang-panjangkan, ada marah yang akan membuak di dada, jadi @syahirahwasabi  pun muncul membaca sajak-sajak pendek secara bersahaja. Padahal, sebelum berdiri depan pendiri mikrofon, dia sempat datang mengadu yang tangannya berpeluh.

Kelmarin

mataku arang

tangis duka

jadi bara

di pipi.

Setiap seli antara baris dan puisi, xylophone akan diketuk-ketuk dan bunyi nyaring membenarkan persembahan Wasabi jadi lebih rileks.

Antara tiga orang artis persembahan tersebut, Syahirah paling lama saya ikuti perkembangan penulisannya. Daripada sekadar menulis, kemudian perlahan-lahan dia membaca puisi di depan khalayak sebelum keluar dalam stesen TV tahun lepas. Kalau dibaca, tulisannya pun semakin kemas ditulis tanpa basa-basi yang memenatkan. Itulah perkembangan yang kita selalu inginkan.

Selepas seharian melihat mereka, saya teringatkan diri sendiri yang pernah begini. Tulisan masih mentah, takut sampai tidak lalu makan, tetapi sibuklah ingin memegang mikrofon dan berjoget-joget di hadapan. Itu ketika waktu sebelum saya berehat dahulu. Saya hendak menjadi macam itu semula. Walau renyah sekalipun, tetaplah mikrofon akan kekal dikejar-pegang. Kenapa? Sebab ini ruang paling selamat, ruang yang membesarkan saya.

————————————-

Jurufoto: Danish (Instagram: @dnshqmyy)

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.