19 Januari 2024, 18:07

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Nurul Julia Alani Henry melihat bagaimana novel sejarah remaja dirangka dengan berkesan dan boleh memikat pembaca melalui naratif pensejarahan yang menarik menerusi karya penulis remaja tersohor, Salina Ibrahim bertajuk Demi Tanah Qalha.

Yang pasti, novel sejarah ditulis berdasarkan masa, watak dan peristiwa penting yang benar-benar berlaku. Jadi, bagaimanakah peristiwa yang benar dan penting itu dinaratifkan oleh penulis agar ceritanya tidak bersifat fakta dan olahannya tidak berlaraskan bahasa ilmu sejarah?

Umpama aur dengan tebing, bagaikan lagu dan irama, begitulah bahasa dan sastera tidak dapat dipisahkan. Sastera tidak akan hidup tanpa bahasa. Bahasa sastera pula akan hambar tanpa sentuhan seni yang efisien. Seni dalam sastera umpama coklat yang memberikan kepuasan rasa manis kepada pembaca. Jika tiada coklat untuk memaniskan seninya, sasteranya pasti akan tawar dan hambar. Hal inilah yang akan menjauhkan sastera daripada khalayak, khususnya pembaca karya sastera.

Setiap aspek bahasa yang digunakan dalam sesebuah karya mempunyai fungsinya yang tersendiri. Gaya dan ragam bahasa bermaksud kepelbagaian bahasa yang digunakan oleh pengarang untuk menimbulkan kesan tertentu, selain untuk menyampaikan fikiran dan perasaan pengarang.

Seni bahasa merupakan cara penyampaian pengarang untuk mengungkapkan buah fikiran melalui penggunaan kata-kata dan penyusunan ayat untuk menimbulkan estetikanya yang tersendiri, yang secara tidak langsung akan dapat memikat dan seterusnya menarik minat pembaca. Bermakna, bahasa berperanan penting dalam menghidupkan dan menyegarkan karya.

Umum mengetahui bahawa novel sejarah ialah karya yang menaratifkan fakta sejarah sehingga terhasilnya babak kisah sejarah dalam bentuk fiksyen. Yang pasti, novel sejarah ditulis berdasarkan masa, watak dan peristiwa penting yang benar-benar berlaku. Jadi, bagaimanakah peristiwa yang benar dan penting itu dinaratifkan oleh penulis agar ceritanya tidak bersifat fakta dan olahannya tidak berlaraskan bahasa ilmu sejarah?

Persoalan ini dirungkaikan berdasarkan penelitian tentang seni bahasa dalam novel sejarah remaja, Demi Tanah Qalha karya Salina Ibrahim yang meraih Johan dalam Sayembara Penulisan Novel Sejarah untuk Remaja anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka-Persatuan Sejarah Malaysia pada tahun 2019.

Novel sejarah ialah karya sastera yang menceritakan fakta kejadian pada masa lalu yang berisi peristiwa bernilai sejarah. Walaupun menaratifkan fakta sejarah, novel sejarah juga berisi kisah yang dicernakan daripada imaginasi penulis. Harus diketahui juga bahawa teks dalam novel sejarah jauh berbeza daripada teks sejarah seperti dalam rekod, laporan dan buku ilmu sejarah.

Melihat pengertiannya, teks sejarah lazimnya menjelaskan fakta berdasarkan kejadian pada masa lalu yang menjadi latar belakang terjadinya peristiwa bersejarah. Teks sejarah memiliki aturan yang ketat dalam pengungkapan sejarah kerana harus sesuai dengan fakta kejadian bersejarah.

Teks dalam novel sejarah pula hanya berlatarbelakangkan peristiwa sejarah dan tidak semata-mata bersandarkan fakta sejarah. Hal ini terlihat daripada tulisan hasil imaginasi, penggunaan prosa fiskyen dan kecenderungan penulis menaratifkan peristiwa sejarah dengan gaya penulisan novel. Ringkasnya, penulis novel sejarah lebih bebas membina jalinan cerita mengikut imaginasinya dan walaupun bersifat imaginasi, banyak latar belakang kisah masa lalu yang diceritakan kembali.

Diakui bahawa tajuk sesebuah novel menjadi alat utama untuk memikat pembaca. Namun demikian, unsur yang memaku pembaca untuk terus menumpukan pembacaan hingga ayat yang terakhir selain membuai perasaan pembaca untuk menghayati kisah dalam novel ialah bahasanya.

Terdapat pelbagai unsur seni bahasa dalam penghasilan karya kreatif, dengan pelbagai keragaman bahasa dan langgam penceritaan, iaitu pemilihan kata (diksi), penggunaan ayat pendek dan ringkas tetapi bermakna dengan unsur metafora, personifikasi, hiperbola, imejan dan peribahasa.

Berdasarkan pembacaan novel Demi Tanah Qalha yang berketebalan 155 halaman, penelitian terhadap seni bahasa menemukan 9 aspek yang dihuraikan berserta dengan petikan ayat daripada novel bagi mengukuhkan pembuktian penggunaan seni bahasa.

 

  1. NARATIF SECARA KRONOLOGI

Kisah dan plot novel digerakkan dalam dua jalur secara berselang-seli. Walaupun bergerak dalam dua jalur, pergerakan jalan ceritanya jelas ditulis secara kronologi. Hal ini terbukti pada Bab 1 yang bermula pada tahun 1825 dan berakhir pada tahun 1833, iaitu Bab 8 (bab akhir). Pergerakan jalan cerita dalam jalur kedua, iaitu Helaian I hingga Helaian VIII juga ditulis secara kronologi bermula pada tahun 1781 dan berakhir pada tahun 1843.

 

  1. NARATIF DESKRIPSI/KETERANGAN

 Naratif merujuk gaya bahasa yang bercerita yang digunakan oleh penulis untuk menyampaikan maklumat. Deskripsi pula ialah teks atau perenggan yang menggambarkan sesuatu, dan dalam konteks karya kreatif, deskripsi biasanya menjelaskan seseorang (watak), benda, atau peristiwa. Penggunaan deskripsi dapat memberikan gambaran dan penjelasan kepada pembaca agar mereka memahami objek atau perkara yang diceritakan dalam karya. Gambaran objek atau perkara secara deskripsi biasanya mencakupi bentuk fizikal, sikap, waktu, suasana dan hal atau perkara lainnya.

 

  • Naratif Deskripsi Fakta

Dan nama Salahudin al-Ayubi, menjadi nama yang digeruni tentera salib apabila berjaya membebaskan Baltulmuqaddis, Palestin, pada tanggal 27 Rejab 583 Hijrah atau mengikut kalendar orang putih pada tarikh 12 Oktober 1187 Masihi. Tanggal 27 Rejab itu sama dengan tarikh Israk dan Mikraj ketika baginda Nabi Muhammad SAW dibawa malaikat Jibril menunggang Ruraq dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa di Baltulmuqaddis, 12 tahun selepas baginda diangkat sebagai Rasulullah. (hlm. 7)

 

  • Naratif Deskripsi Asal Usul Nama Tempat

Demi tanah Qalha, bumi Kedah yang tercinta. Dia teringat guru agamanya pernah berkisah, tanah Qalha ini sudah tersebut namanya dalam kitab-kitab kuno yang telah ditelaah. Tanah Qalha yang bertuah, kerana ia terbina jauh lebih awal daripada segala tanah yang ada di negeri Melayu ini. (hlm. 16)

Itulah Pulau Prince of Wales, dinamakan bersempena putera mahkota Inggeris, dan tempat pentadbiran mereka di sana dinamakan Georgetown sempena nama King George III. (hlm. 21)

 

  • Naratif Deskripsi Pekerjaan Seseorang

Dia faham bahawa pembawa utusan tidak boleh berlama-lama. Keadaan tidak begitu selamat di mana-mana. Tugasnya sekadar membawa dan menyampaikan pesanan. Amanah itu lebih penting untuk disampaikan. (hlm. 2)

 

  • Naratif Deskripsi Hubungan Keluarga/Saudara

Tunku Embun itu adinda sebapa dengan Paduka Sultan Ahmad Tajuddin Halim Shah. Paduka Sultan sendiri yang melantik Tunku Embun sebagai Raja Muda Kedah, mengambil alih tempat yang pernah diisi hanya beberapa ketika oleh seorang lagi adindanya, iaitu Tunku Ibrahim. (hlm. 52)

 

  • Naratif Deskripsi Fizikal Watak

Tunku Kudin meraba-raba dari bahu kanan turun sehingga ke pergelangan tangan. Dia dapat rasa kulitnya tidak rata, bergerigi dan berkedut-kedut. Itulah parut yang ditinggalkan selepas pertempuran dengan orang Siam di Kota Kuala Kedah, dua musim lalu. Luka itu akibat kebakaran yang dicetuskan oleh orang-orang Siam. Luka itu sudah sembuh sepenuhnya. (hlm. 51)

 

  • Naratif Deskripsi Makanan Tradisional

Dia menunjukkan bekas berisi sagun, penganan ringkas diperbuat daripada tepung beras, kelapa dan gula yang digaul sebati. Enak dijamah, lemak manisnya dinikmati, tetapi jangan bercakap ketika sedang makan, harus terhambur keluar semua. (hlm. 11)

 

  • Naratif Deskripsi Suasana Sekitar

Tunku Kudin menapak ke beranda. Berdiri di situ, memandang ke laman, melihat anak-anak ayam peliharaan Mak Siah yang agak bertaburan. Dua hari lalu, si ibu mati disambar biawak ketika mengais makanan di bawah reban. Dua puluh ekor anak ayam sudah tinggal 14 ekor selepas dua hari. (hlm. 56)

 

  • Naratif Deskripsi Latar Belakang Watak

Muhammad Nur bukan orang biasa-biasa di kampung sebelah tenggara itu. Dia orang kaya, banyak hartanya, luas tanahnya, yang diperoleh hasil persahabatan dengan penguasa Siam di Kedah. (hlm 75)

 

  • Naratif Deskripsi Latar Belakang Negeri/Negara

Dia mendengar Raja Ligor membahagikan Kedah kepada beberapa pentadbiran. Kedah sendiri diperintah oleh anak Raja Ligor sebagai wakil Siam, Pra Borira Phubet, dibantu oleh adiknya, Phra Sena Nuchit. Setul berada di bawah pemerintahan Tunku Bisnu. Perlis pula diletakkan di bawah Sayid Hussain Jamalullail dan Kubang Pasu diperintah oleh Tunku Anum. (hlm. 133-134).

Kredit Foto: Darius Sankowski Boss/Unsplash

________________________________

Nurul Julia Alani Henry merupakan Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Tengah.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.