4 Disember 2023, 13:03

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Buku Perdukunan Melayu karya John D. Gimlette yang diterjemahkan oleh Izzuddin Ramli, terbitan Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE).

Kuala Lumpur – Banyak budaya lisan Melayu yang boleh didapati dengan mudah pada masa kini, dari pantun sehinggalah cerita rakyat. Tetapi masyarakat sering terlupa dengan satu daripada budaya lisan, iaitu mantera Melayu.

Untuk memberi pendedahan kepada anak muda khususnya penggemar budaya dan kesenian, Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE) mendedahkan genre ini kepada masyarakat tempatan dengan menterjemahkan buku Malay Poisons and Charm Cures (1923), tulisan John Desmond Gimlette.

Buku yang menulis berkenaan pelbagai jenis racun, jampi, mantera, tangkal dan azimat Melayu ini diterjemah oleh Izzuddin Ramli yang kini berkhidmat sebagai penterjemah dan penyunting di IBDE.

Bercakap kepada Tunas Cipta, Izzuddin berkata penerbitan itu memang berhasrat untuk memperluaskan lagi bahan bacaan dalam bidang pengajian Melayu. Jelasnya,

Kita sudah menterjemahkan karya-karya Amin Sweeney, Budaya Lisan Melayu dan Swettenham, Gelagat dan Ragam Orang Melayu, dan Gimlette adalah pilihan seterusnya dalam banyak-banyak karya tentang orang Melayu. Kalau Sweeney bercerita tentang budaya lisan Melayu dan Swettenham memerhatikan Melayu secara umum, Gimlette meneroka ranah yang lebih khusus, iaitu perdukunan Melayu Kelantan.

Izzuddin turut berkata buku Gimlette yang telah diterjemahkannya sebagai Perdukunan Melayu itu wajib dibaca oleh mereka yang berminat untuk mengenali Melayu dengan lebih mendalam, khususnya dalam hal ehwal penyembuhan dan pengkhianatan, atau kasih dan benci.

Bercakap mengenai mantera, Izzuddin menjelaskan mantera dalam edisi asal adalah terjemahan Gimlette, tetapi beliau turut melampirkan teks-teks mantera yang beliau salin daripada mulut tok puteri.

Jadi, mantera yang ada di dalam teks adalah bentuk perumian, dan versi Melayu Kelantan yang asal ada dalam lampiran.

Izzuddin yang juga seorang budayawan muda itu turut menyarankan anak muda perlu membaca buku tersebut agar lebih mengenal asal usul adat budaya masyarakat kita sendiri yang sebahagiannya terus dihimpit ke tepi.

“Membaca buku ini, kita seperti dibawa berjalan-jalan ke Kelantan pada tahun 1920-an dan mata perlu sentiasa awas untuk memandang sekeliling,” pesannya.

Gimlette merupakan pegawai British yang bertugas di hospital di Kota Bharu, Kelantan. Beliau mengembara ke Semenanjung Tanah Melayu dan pernah menjejakkan kaki ke beberapa buah negeri dan akhirnya beliau tiba ke destinasi terakhirnya di Kelantan.

Di Kota Bharulah beliau menjalankan kajian peribadinya dan banyak menghubungi dukun, tok puteri atau tok biduk dalam tradisi main puteri di Kelantan.

Buku Perdukunan Melayu boleh didapati di Pesta Buku Antarabangsa Selangor yang sedang berlangsung dari 1 hingga 10 Disember di Pusat Konvensyen MBSA, Shah Alam, Selangor. Buku ini juga terdapat di laman sesawang membeli-belah dalam talian dan media sosial.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.