24 November 2023, 17:13

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Nurhamizah dan Eizah membicarakan cerpen bertajuk “Bakau Tetap Teguh” yang dinukil oleh Dayangku Mastura. Cerpen ini telah memenangi Hadiah Utama kategori Cerpen Remaja dalam Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU) pada tahun 2011.

Sifat-sifat masyarakat Melayu yang unik, kreatif dan akrab dengan alam menimbulkan semacam kepekaan dan sensitiviti terhadap segala kejadian di sekitar mereka. Melalui kepekaan tersebut, tercetuslah karya sastera dan seni yang halus dan indah sifatnya.

Karya sastera tidak lahir daripada ruang yang kosong sebaliknya tercipta hasil daripada realiti kehidupan manusia. Hasil daripada adunan pengetahuan, pengalaman, penelitian, penyelidikan dengan kreativiti, imaginasi dan wawasan pengarang, maka terciptalah karya sastera.

Penghasilan karya merupakan luahan fikiran pengarang tentang rencam kehidupan manusia dan alam persekitarannya yang diadun bersama dengan pengalaman melalui daya kreativiti dan imaginasinya (Jumali Selamat, 2009:19). Manakala menurut Umar Junus (1989), realiti yang digambarkan bukanlah sesuatu yang berdiri sendiri dan sahih tetapi realiti bergantung kepada ‘penglihatan’ atau imaginasi pengarangnya yang akan menjadikan sesebuah karya itu lebih indah atau sebaliknya. Oleh itu, setiap karya yang bertanggungjawab akan mendasari aspek-aspek tertentu tentang keperihalan kemanusiaan, baik secara langsung mahupun secara tersirat dan berlapisan maknanya (Shahnon Ahmad, 1994).

Hal ini sejajar dengan pendapat Maharam Mamat (2009) yang mengatakan bahawa unsur alam sekitar merupakan sebahagian daripada elemen yang digunakan oleh pengarang dalam karyanya. Penggunaan elemen alam sekitar ini tidak sekadar berfungsi untuk menghidupkan latar tempat tetapi juga berupaya menyuguhkan tema cerita dengan lebih menarik di samping menguatkan karya.

Sifat-sifat masyarakat Melayu yang unik, kreatif dan akrab dengan alam menimbulkan semacam kepekaan dan sensitiviti terhadap segala kejadian di sekitar mereka. Melalui kepekaan tersebut, tercetuslah karya sastera dan seni yang halus dan indah sifatnya.

Berdasarkan penyataan-pernyataan di atas, maka tulisan ini akan mengkaji gambaran alam atau perlambangan alam yang telah digunakan oleh pengarang dalam cerpen ‘Bakau Tetap Teguh’, karya Dayangku Mastura (2012). Cerpen ini telah memenangi Hadiah Utama kategori Cerpen remaja dalam Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU) pada tahun 2011.

Cerpen ini mengambarkan tentang kisah hidup watak remaja yang tabah dan cekal menghadapi ujian serta cabaran dalam menjalani kehidupan seharian setelah kematian bapa mereka. Watak utama, Raina, seorang anak gadis yang sanggup bertarung nyawa bersama-sama adik lelakinya telah mengambil alih tugas bapa mereka sebelum ini, iaitu menangkap ketam di sungai paya bakau demi menampung pendapatan keluarga.

Secara perlambangannya, pengarang telah menggunakan gambaran alam, iaitu pokok bakau dalam cerpen beliau. Pokok bakau yang melatari cerpen ini telah melambangkan kekuatan dan semangat anak gadis bernama Rania dalam menjalani kehidupan. Buktinya dapat dilihat pada petikan berikut:

Pandangannya menunjang pada akar bakau yang telah separuh dinaiki air pasang. Akar bakau yang bercabang dan mencengkam kuat pada permukaan tanah lumpur. Air yang kerap menenggelamkannya, namun tidak mampu menganjakkan akarnya. Malahan akar itu semakin kukuh kerana apabila air surut, enapan tanah lumpur hakisan dari arah laut mendap di bawahnya. Dengan kukuh, akar bakau menampung segala bebanan itu.

Mampukah dia seteguh bakau dan sekuat akar bakau itu? Bertahan dalam menghadapi pasang surut arus kehidupan? Ya. Walau manusia selalu tewas dengan hukum alam tetapi alam juga mengajar erti perjuangan kehidupan. Dalam diam, dia berikrar akan seteguh akar bakau. Walau menghadapi cabaran tanggungjawab yang berat tetapi itulah kekuatannya.

Petikan tersebut jelas menunjukkan bahawa pengarang cerpen ini telah berjaya melukiskan gambaran alam, iaitu pokok bakau dalam karya. Menurut pengarang, akar pokok bakau sangat kuat mencengkam pada permukaan tanah lumpur. Air yang kerap menenggelamkan akar pokok bakau itu, namun tidak mampu menganjakkan akar pokok bakau tersebut. Malahan akar pokok bakau itu semakin kukuh apabila air surut.

Watak Raina dalam cerpen menyatakan beliau ingin menjadi seperti akar pokok bakau dalam berhadapan dengan cabaran setelah pemergian bapanya. Rania telah memikul tanggungjawab yang besar serta sanggup berkorban demi adik-adiknya yang masih memerlukan pendidikan.

Rania terpaksa berhenti sekolah dan mengetepikan impiannya untuk mencapai keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan STPM. Masyarakat Melayu sangat bergantung kepada alam kerana alam banyak mencorakkan kehidupan mereka. Alam menentukan pekerjaan, pencarian, pengalaman, pengajaran dan kebajikan.

Menurut Hashim Awang (2002), kebergantungan masyarakat Melayu pada alam boleh dilihat dengan jelas dalam kitab Tajulmuluk. Kitab ini menjadi panduan popular dalam tradisi masyarakat Melayu. Kitab ini membicarakan enam perkara pokok, iaitu tentang manusia, kesihatan (perubatan) manusia, sifat dan gerak laku manusia, mimpi dan firasat, cakerawala, dan perumahan.

Kitab ini turut memperkatakan tentang kejadian alam daripada perspektif Islam. Sebagaimana semua unsur alam yang wujud, yang tiap satunya memiliki fungsi dan manfaat yang khusus terhadap manusia, maka sastera pun dilihat sebagai suatu unsur alam yang kejadiannya juga mengarah perspektif yang sama.

Di samping itu juga, cerpen Bakau Tetap Teguh ini juga sangat informatif dalam memberikan maklumat kepada khayalak pembaca berkaitan latar laut serta kaedah penangkapan ketam di paya bakau. Misalnya seperti petikan berikut:

Kerja membintur juga ada petuanya. Mereka mula bergerak melawan arus untuk memudahkan kerja membangkit dan mengelakkan ketam daripada mudah terlepas. Dia sebagai pengayuh di belakang, adalah pengemudi utama. Kayuhannya harus teliti. Kawalan mengemudi menuju ke bintur harus baik. Jika kurang berhati-hati, terlajak mengayuh bererti terlepas bintur. Maka terpaksalah gubang dikayuh semula, berpatah balik dan ini telah mencuri masa dan tenaga.

Berhati-hati, Raina mengayuh menuju ke bintur. Dengan jangkauan yang baik dan hanya menggunakan pengayuh, sekali rentapan pantas Raslan menarik naik bintur persegi. Ketam yang leka memakan umpan, terumbang-ambing di dalamnya. Tiga ekor yang terperangkap. Kembang senyum Raslan seakan memenuhi lebar mulutnya yang berbibir nipis itu.

Ketam yang seakan merasa diri telah tertangkap, mengacahkan sepitnya. Selamba Raslan menangkap katam bakau yang bercengkerang hitam berkilat itu dan dilepaskan ke dalam bekas guni gula. Selut mencorak bentuk di lantai gubang mereka, baunya mesra mengisi udara.

Sambal menunggu pusingan kedua, mereka memayak ketam. Dengan menggunakan dahan kayu bakau bercabang tiga, ketam mudah ditangkap. Mereka mula memayuk ketam dari arah depan ke belakang. Dengan menggunakan tali perun dari serai jantan, ketam diikat satu per satu. Sepit yang tertanggal telah dialihkan ke dalam bakul berasingan. Jika ketam habis dijual, sepitnya masih ada untuk direbus menjadi makanan tengah hari. Ketam bersaiz kecil juga diasingkan dan menjadi pantang untuk dilepaskan semula ke air. Itu pesanan ibu. Entah kenapa. Tidak pula mereka bertanya sebab akibatnya.

Petikan di atas menjelaskan secara terperinci cara membintur atau menangkap ketam dengan bintur. Bintur merupakan alat menangkap ketam yang biasanya dibuat daripada buluh. Raina dan adiknya, Raslan telah menggunakan bintur untuk menangkap ketam.

Kerja membintur ketam mempunyai petuanya tersendiri. Ia perlulah bergerak melawan arus untuk memudahkan kerja mengangkat ketam dan mengelakkan ketam daripada mudah terlepas. Sebagai pengayuh di bahagian belakang sampan, Rania adalah pengemudi utama. Kayuhan sampan Rania haruslah teliti dan berhati-hati. Kawalan mengemudi sampan menuju ke bintur harus baik. Jika tidak  berhati-hati, terlajak mengayuh sampan bermaksud mereka akan terlepas bintur ketam. Maka terpaksalah dikayuh semula, berpatah balik. Perkara ini akan membuat masa dan tenaga terbuang.

Petikan berkaitan membintur ketam ini juga sangat memberikan ilmu pengetahuan baharu tentang menangkap ketam bagi khayalak pembaca untuk memahami alam serta kehidupannya pada suatu sudut yang kecil. Bagi ketam yang masih kecil pula, Rania dan adiknya tidak melepaskan semula ketam kecil tersebut ke lautan. Hal ini disebabkan larangan dari ibu mereka. Kesemua objek alam adalah ciptaan Tuhan yang sangat indah. Selain daripada itu, objek alam seperti tanah, lautan, pohon, tanaman, hujan, sungai, awan, dan ikan sememangnya mempunyai tujuan penciptaan-Nya. Allah SWT tidak menciptakan sesuatu kejadian itu melainkan ada tujuan dan hikmah tersendiri.

Cerpen Bakau Tetap Teguh ini memperlihatkan objek alam, iaitu laut yang digunakan sebagai tempat mencari nafkah atau menjadi sumber rezeki dan pendapatan serta menjadi tempat laluan pengangkutan. Terdapat juga pelbagai hasil laut yang dikurniakan dapat dimanfaatkan oleh manusia. Tuhan menjadikan laut dengan pelbagai macam yang ada di dalamnya untuk dimanfaatkan oleh manusia. Manusia wajar menggunakan nikmat yang ada di laut dengan sebaik mungkin dalam kehidupan.

Seterusnya, pengarang ada menyelitkan tentang pembuatan atau menganyam atap nipah. Atap daun nipah menjadi pilihan kerana keupayaannya yang mampu menyejukkan kediaman dan membuat sesuatu tempat yang dilindungi lebih selesa, selain tahan untuk jangka masa panjang.

Pokok nipah adalah sejenis palma yang tumbuh dalam linkungan hutan bakau atau daerah pasang surut berhampiran tepi laut. Digambarkan dalam cerpen ini, ibu kepada Raina mengambil upah membuat atap nipah bagi menampung kehidupannya sekeluarga. Petikan berikut mengambarkan cara pembuatan atap nipah:

Dari jauh kelihatan, di bawah sulap tepi pondok mereka, ibunya sedang menganyam atap nipah. Rambutnya yang tampak silau keputihan, disanggul siput. Kaki dilunjurkan dan tangannya melipat satu persatu daun nipah di sepanjang batang kayu kecil. Kayu kecil yang berukuran melebihi panjang satu setengah meter itu menjadi tulang atap. Dan ibu melipat dua lapis daun nipah agar bukan sahaja mendapat panjang yang sekata dan kemas dipandang, tetapi juga lebih tebal serta tahan lama. Itu teori logik ibunya untuk menghasilkan atap nipah yang berkualiti.

Setiap lipatan daun akan disudahi dengan jahitan yang menggunakan rautan rotan. Raina pernah bertanya, kenapa tidak menggunakan sahaja tali plastik untuk mengikat daun nipah pada kayu kecil tersebut? Bukankah lebih murah dan mudah didapati? Tidak perlu meredah hutan, mencari batang rotan, mengangkut keluar, membelah dan meraut bilahan rotan. Namun ibu menjawab selamba sambil pandangannya tekun memerhati lipatan daun di tangannya; ‘setiap pekerjaan harus dimulakan dengan disudahi dengan niat yang betul dan ikhlas agar keberkatannya berpanjangan.’

Rasli dan Atikah sedang mengangkat daun nipah yang direndam di dalam sungai. Daun nipah yang berendam antara tujuh hingga 14 hari itu akan menjadi lebih tahan, lebih lembut, tidak mudah patah apabila dilipat dan memudahkan kerja Menyusun. Ah… ibunya terlalu jujur. Jika tidak direndam daun nipah tetap boleh dianyam menjadi atap. Kenapa harus membiarkan masa berlalu. Rasanya orang tidak akan kisah dan tidak ingin ambil tahu pun. Atap nipah tetap akan diganti apabila sampai masanya.

Petikan tersebut telah menerangkan serba sedikit tentang pembuatan atap daun nipah. Segala kesusahan membuat atap daun nipah seperti yang digambarkan dalam pertanyaan Raina dijawab oleh ibunya bahawa setiap pekerjaan yang dilakukan perlulah mempunyai niat yang betul serta ikhlas agar rezeki yang diperoleh dalam kehidupan sentiasa diberkati.

Petikan ini juga mengajarkan bahawa nilai kejujuran perlulah diutamakan dalam kehidupan bermasyarakat. Watak ibu Raina yang tekun dan ikhlas untuk mencari rezeki yang berkat dengan menganyam atap daun nipah wajar dijadikan contoh teladan kepada khalayak pembaca apabila melakukan sesuatu pekerjaan.

Dalam masyarakat Melayu, kesusasteraan bukan sahaja sekadar hiburan semata-mata. Malah karya sastera adalah sebahagian daripada bentuk pendidikan, khasnya dalam membina jati diri dan nilai murni. Hashim Awang (2002) ada mengatakan bahawa sastera bukan sekadar dianggap sebagai objek alam tetapi merupakan kejadian alam yang bersifat pengalaman hidup. Bersesuaian dengan sifat ini, sastera dapat memberikan manfaat yang lebih besar daripada fungsinya hanya sebagai satu benda.

Secara keseluruhannya, cerpen Bakau Tetap Teguh ini memberikan pelbagai pengalaman yang menarik ketika membacanya selain mempunyai kekuatan dari segi nilainya. Cerpen ini juga mampu menjadi pencerah tentang aspek geografi, ekosistem dan denyut sosial suatu entiti kecil dalam masyarakat. Hal ini bukan sahaja dapat memperkayakan pemahaman khalayak tentang dunia terpinggir, malahan dapat juga menimbulkan rasa prihatin terhadap golongan yang terpinggir.

___________________________________

Artikel ini merupakan hasil penyelidikan dari geran Penyelidikan Fakulti (GPF100A-2020).

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.