Oleh Hidayyah AT Mizi
19 November 2023, 16:29

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Bagi memudahkan pemahaman, puisi di bawah akan menjadi rujukan bagi perbincangan kali ini.

 

Hadiah

dan       sekiranya       kamu       membaca        nama
di                              dada                                nisan
sebutlah
ayat-ayat         dari        langit        kepada        insan
yang sedang bermimpi ngeri supaya ia terjaga

22            Hadiah terbaik ialah kotak kadbod yang menyembunyikan Oyen dari bunyi guruh

Setelah menutup ulasan sebelum ini, penulis berasa ragu-ragu sama ada untuk meneruskan perbincangan atau tidak. Bagi penulis, dalam usaha untuk memahami kumpulan puisi Warna Manusia & Oyen Melukis Sinekdok, memerlukan lebih banyak kajian dan perbincangan lanjutan.

Ada dua hal yang menarik minat penulis untuk mendalami kumpulan puisi ini. Pertama, tajuknya yang memberikan gambaran wujudnya dua watak (manusia dan Oyen). Kedua, kerana kebanyakan puisi yang dihasilkan dalam buku ini berbentuk puisi esei.

Meski masih ramai yang belum bersetuju; dan perdebatan mengenai kerelevenan puisi esei dalam sastera negara masih belum terjawab sepenuhnya — hal yang penulis percaya ialah sebuah karya seharusnya dikaji berdasarkan kandungan teks dan subteksnya terlebih dahulu sebelum perbincangan lanjutan dilakukan demi mengangkat hal-hal lain.

Untuk menyelami kumpulan puisi ini, penulis berpendapat, adalah penting untuk memahami cerita yang ingin disampaikan. Oleh sebab itu, penulis ingin menganalisis sintaksisnya, misalnya, berdasarkan contoh puisi di atas.

Apakah Kepentingan Memahami Sintaksis dalam Puisi?

Memahami sintaksis dalam puisi adalah penting kerana hal ini membantu kita menjelajahi kedalaman makna dalam setiap baris dan ayat. Makna memainkan peranan utama dalam usaha menyampaikan pesanan penyair dan memberikan ruang untuk berinteraksi dengan pembaca melalui keindahan bahasanya.

Penyairlah yang memilih untuk mengatur kata-kata dengan teliti bagi mencapai kesan tertentu. Hal ini membolehkan penyair menyampaikan emosi, imej dan mesej mereka dengan lebih padat dan kreatif. Memahami sintaksis ini membuka pintu pada pemahaman yang lebih mendalam tentang cara penyair berkomunikasi.

Sintaksis juga membantu kita merasai irama dan struktur dalam puisi. Hal ini seperti aliran melodi dalam muzik yang membawa kita melalui perjalanan emosi. Dengan memahami sintaksis, kita boleh menangkap ritma dan penekanan dalam puisi, sehingga memberikan pengalaman membaca yang lebih berkesan.

Dalam sintaksis, terdapat juga unsur seperti metafora, simbolisme atau perumpamaan yang digunakan untuk memperkaya makna puisi. Memahami cara unsur-unsur ini berinteraksi dengan sintaksis membantu kita menghargai kebijaksanaan penyair menggambarkan dunia dan emosinya dalam sesebuah puisi.

Jadi, memahami sintaksis dalam puisi bukan sekadar mencari makna literal, tetapi juga merenung bagaimana bahasa digunakan sebagai alat untuk mencipta keindahan, mendalamkan pengertian dan makna, juga mengamati teknik menulis yang mampu menyentuh perasaan pembaca. Hal ini merupakan kunci untuk eksplorasi keindahan puisi dengan lebih mendalam.

Sintaksis Melalui Strukturalisme, Teksdealisme dan Stilistik

Strukturalisme, teksdealisme dan stilistik: ketiga-tiga teori ini mempunyai pendekatan yang berbeza bagi memahami peranan sintaksis dalam analisis sastera.

Apakah itu sintaksis? Sintaksis merujuk cara penyusunan kata-kata, frasa dan ayat dalam suatu teks atau puisi. Hal ini merupakan satu aspek penting dalam penghasilan puisi kerana proses ini membentuk struktur bahasa yang memberikan makna dan irama pada karya tersebut.

Dalam konteks strukturalisme, sintaksis merujuk peraturan dan struktur bahasa yang mengatur cara kata-kata dan frasa disusun dalam ayat dan teks. Pendekatan strukturalisme ini akan menganalisis bagaimana struktur sintaksis dalam puisi membentuk makna dan kesan sastera. Contohnya, penyusunan kata-kata atau ayat-ayat yang tidak konvensional dalam puisi boleh mencipta perasaan atau makna yang mendalam.

Dalam teksdealisme, sintaksis masih dilihat sebagai sebahagian daripada struktur teks, tetapi penekanan diberikan kepada bagaimana sintaksis itu berinteraksi dengan unsur-unsur lain dalam teks untuk membentuk makna. Teksdealisme menekankan kajian sintaksis dalam konteks teks secara menyeluruh. Bagaimana struktur sintaksis dalam teks itu sendiri menyampaikan makna dan pesan tanpa bergantung pada konteks luaran, seperti niat pengarang.

Dalam stilistik, sintaksis dilihat sebagai alat yang kuat untuk mencapai efek sastera dan retorik dalam puisi. Pendekatan stilistik akan menganalisis cara penyair menggunakan struktur sintaksis untuk mencipta gaya khas dan kesan estetika dalam puisi. Hal ini termasuk penggunaan struktur ayat yang kompleks untuk mencipta irama atau penekanan tertentu, selain penggunaan pengulangan dan perbandingan untuk meningkatkan makna. Sintaksis juga digunakan untuk mencipta gaya dan estetika. Penggunaan sintaksis yang kreatif mencipta ritma dan kekuatan dalam penyampaian makna. Penyair memilih kata-kata dengan teliti dan mengatur sintaksis dengan penuh kreativiti untuk menggambarkan perasaan dan makna yang mendalam.

Contohnya:

Strukturalisme

  1. Struktur sintaksis yang jelas memaparkan hubungan antara unsur-unsur bahasa, termasuk subjek ‘kamu’, predikat ‘membaca’ dan objek ‘nama‘.
  2. Sintaksis menghubungkan ‘sebutlah‘ dengan “ayat-ayat dari langit kepada insan”.
  3. Sintaksis memaparkan kejelasan dan keteraturan bahasa untuk menyampaikan mesej dengan jelas.

Teksdealism

  1. Struktur ayat yang menghubungkan “nama di dada nisan” dengan “ayat-ayat dari langit kepada insan” membawa pemahaman bahawa membaca nama di dada nisan yang menggambarkan kematian mempunyai korelasi kuat dengan unsur ketuhanan.
  2. Dalam konteks ini, “ayat-ayat dari langit” menggambarkan ayat-ayat al-Quran.
  3. Sintaksis dalam konteks ini memperkuat gagasan dan hubungan spiritual selepas berlakunya kematian dalam kalangan manusia (Muslim) dan nilai-nilai ketuhanan di dalamnya selepas itu.

Stilistik

  1. Penggunaan sintaksis yang kreatif seperti “yang sedang bermimpi ngeri supaya ia terjaga” mencipta ritma dan kekuatan dalam penyampaian makna.
  2. Penyair memilih kata-kata dengan teliti dan mengatur sintaksis dengan penuh kreatif untuk menggambarkan perasaan dan makna yang mendalam.
  3. Terjaga‘ di sini bukan sekadar perbuatan fizikal, tetapi juga perbuatan spiritual yang menggugah jiwa. Bukankah malam waktu paling intim? Bukan hanya sesama makhluk, malah dalam hubungan Tuhan dan manusiawi.

Ketiga-tiga perspektif ini memberikan pandangan berbeza mengenai sintaksis dalam penghasilan puisi. Secara ringkas, strukturalisme menekankan analisis struktur sintaksis sebagai aspek bahasa, teksdealisme menyorot cara sintaksis berinteraksi dalam konteks teks, dan stilistik memfokuskan bagaimana sintaksis digunakan untuk mencapai efek sastera dan gaya kreatif dalam puisi. Pendekatan berbeza ini memungkinkan penyair untuk mengatur sintaksis secara berbeza bagi mencapai matlamat artistik yang berbeza, dan juga memberikan pengalaman pembacaan yang unik kepada pembaca ketika menghayati puisi.

Dalam puisi yang telah diberikan, sintaksis bukan sahaja berperanan dalam penstrukturan bahasa, tetapi juga sebagai alat yang berkuasa untuk menyampaikan perasaan dan makna yang mendalam. Puisi ialah aliran kata-kata yang membentuk lagu emosi dan keindahan, memungkinkan pembaca untuk memahami nilai dan pesan yang tersembunyi sebalik kata-kata yang tersusun rapi.

Kredit Gambar: Kata-Pilar Books

_________________________

Hidayyah AT Mizi ialah penulis dari Perak. Beliau banyak menyumbangkan puisinya di beberapa media massa. Kata-kata yang Muncul di Cermin (Kata-Pilar, 2021) merupakan kumpulan puisi sulungnya.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.