Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangPulau Pinang – Sayembara Warisan Pantun (SANTUN) 2023 telah berjaya diteruskan buat kali kedua oleh Majlis Penggawa Desasiswa dan Majlis Yang Dipertua Desasiswa dengan kelolaan Majlis Desasiswa Penghuni Saujana, Universiti Sains Malaysia (USM) pada 3 hingga 5 November lepas.
SANTUN telah mendapat tajaan daripada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kumpulan Karangkraf, PTS Media Group Sdn Bhd, Pusat Sejahtera dan Perpustakaan USM. Kali ini, SANTUN telah mendapat penyertaan sebanyak 10 pasukan daripada Desasiswa Murni Nurani, Jaya Lembaran Utama, Aman Damai, Saujana, Cahaya Gemilang Harapan, dan Indah Kembara USM serta Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) seperti Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Teknlogi Mara (UiTM) Shah Alam dan Puncak Alam.
SANTUN 2023 mengangkat tema ‘Srikandi’ sejajar dengan penghuni di Desasiswa Saujana dan barisan kepimpinan serta keanggotaan Majlis Penghuni Desasiswa Saujana itu sendiri yang terdiri daripada mahasiswa perempuan. ‘Srikandi’ menjadi gagasan tema SANTUN kali ini dengan objektif memperkasakan golongan wanita sebagai modal insan yang berdaya saing, berilmu dan cakna akan kepentingan masyarakat untuk mencapai kemajuan.
Perlawanan akhir yang menemukan pasukan pantun UIAM dan Desasiswa Cahaya Gemilang Harapan menyaksikan UIAM yang dibarisi Muhammad Akmal Azry, Muhammad Aqil Mujahid, Nurul Izzah, dan Muhammad ‘Izzul Ajwad berjaya merangkul juara dengan membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM 2000.00, piala dan sijil. Untuk rekod, UIAM memperbaiki pencapaian mereka tahun lalu apabila sekadar muncul naib juara SANTUN 2022 setelah tewas di tangan Desasiswa Restu A.
Naib juara SANTUN 2023 yang disandang oleh pasukan Desasiswa Cahaya Gemilang Harapan menerima hadiah wang tunai sejumlah RM 1500.00 berserta piala dan sijil. Tempat ketiga pula dimenangi oleh pasukan UiTM Shah Alam dengan membawa hadiah wang tunai RM 1000.00, piala dan sijil.
Bagi kategori anugerah khas, Nurul Izzah daripada pasukan UIAM dinobatkan sebagai penerima anugerah Pemantun Terbaik Akhir. Turut dianugerahkan sebagai Pemantun Terbaik Keseluruhan ialah Aliah Nadhirah daripada pasukan Desasiswa Murni Nurani USM, manakala Afnan daripada pasukan Desasiswa Jaya Lembaran Utama dianugerahkan sebagai Pemantun Keempat Terbaik pertandingan.
Selain itu, anugerah Persembahan Pantun Pengenalan Terbaik dimenangi oleh pasukan Desasiswa Cahaya Gemilang Harapan dan anugerah Busana Terbaik diraih oleh pasukan UiTM Shah Alam. Kesemua pemenang membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM 300.00, piala dan sijil. Turut hadir merasmikan majlis ialah Dr. Ezaleena Mohd Khalid, Penggawa Desasiswa Saujana merangkap Penasihat Program SANTUN 2023.