Diterbitkan pada 10 November 2023, 18:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Diskusi dan Apresiasi Penukaran Pemikiran Karya Adaptasi bersempena dengan Pertandingan Filem Pendek Adaptasi Cerpen DBP 2023 anjuran Fakulti Penulisan Kreatif dan Filem, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) melalui kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah berlangsung di Balai Seminar Tun Dr. Hamdan Sheikh Tahir, Wisma DBP pada 10 November lalu.

Diskusi ilmu ini turut menghadirkan penulis dan pengkritik filem, Encik A. Wahab Hamzah, pensyarah Fakulti Penulisan Kreatif dan Filem ASWARA, Encik Gulam Shaffi Khan, Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Tengah, Puan Julia Alani Henry dan Naim Abd Aziz selaku moderator bagi bersama-sama mengulas karya adaptasi dalam pelbagai medium kreatif.

Puan Julia Alani Henry menyatakan penghargaannya terhadap penyertaan dan pelibatan peserta yang menggalakkan dalam Pertandingan Filem Pendek Adaptasi Cerpen DBP 2023.

Puan Julia Alani Henry dalam perbincangan ini turut menyuarakan rasa bangganya terhadap penyertaan peserta yang telah berjaya menghasilkan filem pendek berpandukan syarat penyertaan, terutamanya menerusi penggunaan bahasa Melayu. Katanya,

Pelajar berjaya menjaga penggunaan bahasa dalam skrip mengikut syarat yang telah diberikan oleh penganjur sehingga ada dialog yang digunakan kedengaran sedikit baku.

Selaku pensyarah filem ASWARA, Gulam Saffi Khan beranggapan bahawa menghasilkan sebuah karya adaptasi dan filem pendek bukanlah sesuatu perkara yang mudah. Kongsinya,

Menghasilkan sebuah filem pendek seolah-olah kita mengahwinkan seorang anak perempuan. Membuat adaptasi perlulah mengambil sebahagian babak penting sahaja dan menghasilkan filem pendek dengan durasi yang ditetapkan perlulah cukup dengan pengisian dan mesej yang ingin disampaikan.

Diskusi dan apresiasi ini dihangatkan lagi dengan soalan berkenaan cerpen Kasut oleh Rebecca Ilham yang diajukan khas kepada A. Wahab Hamzah. Bagaimanakah sebuah karya adaptasi itu perlu dihasilkan? Kongsinya,

Kasut hanyalah sebagai objek dan boleh sahaja diganti dengan apa-apa sahaja mengikut pemahaman mereka. Selain daripada setia kepada teks, adaptasi boleh sahaja dilakukan hanya dengan berpandukan tajuk, berdasarkan konsep cerita atau hanya inspirasi daripada cerita itu sahaja. Yang penting ialah idea dan kreativiti pengarah yang mampu menghasilkan sebuah karya adaptasi dalam filem pendek dengan durasi yang ditetapkan.

Para hadirin program Diskusi dan Apresiasi Penukaran Pemikiran Karya Adaptasi yang berlangsung di Balai Seminar Tun Dr. Hamdan Sheikh Tahir, Wisma DBP.

Moderator, Naim Abd Aziz melihat keterlibatan peserta yang mengambil bahagian dalam pertandingan ini sangat hebat kerana telah berjaya menghasilkan filem pendek adaptasi cerpen dengan jayanya mengikut syarat yang ditetapkan dan diharapkan pertandingan ini akan diteruskan setiap tahun sebagai inisiatif mencari dan menggilap bakat muda dalam bidang penulisan lakon layar.

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi