Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKota Kinabalu – Wacana Buku Antologi Cerpen Remaja Talia Ellysa anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah yang dianjurkan pada 7 November bertempat di Sudut Penulis, DBP Cawangan Sabah bertujuan bagi memperbanyak kegiatan persuratan Melayu, memperoleh kertas kerja hasil daripada kebahasaan atau kesusasteraan, serta mempromosikan buku terbitan DBP khususnya karya penulis Sabah.
Kajian dan analisis cerpen yang dibentangkan oleh tiga orang ahli panel dalam antologi ini telah mengguna pakai teori sastera dan mengaitkannya dengan tema “Karya Kreatif Aspirasi Remaja MADANI”.
Dr. Norsuhaila Sulaiman, Franco Morrow, dan Ruhaini Matdarin merupakan pembentang hasil kertas kerja mereka dalam program Wacana Buku Antologi Cerpen Remaja kepada 50 orang peserta yang terdiri daripada pelajar dari Universiti Malaysia Sabah (UMS), Kolej Teknologi Yayasan Sabah, penulis serta penggiat sastera tempatan.
Dr. Norsuhaila Sulaiman dalam kertas kerjanya yang bertajuk Citra Sosial Remaja dalam Antologi Cerpen Remaja Talia Ellysa memberi fokus kepada citra sosial remaja yang menerapkan nilai kasih sayang dan nilai kemanusiaan melalui watak-watak remaja di dalamnya. Isu yang dikemukakan oleh pengarang berkait rapat dengan peristiwa semasa yang berlaku dalam masyarakat, khususnya dunia remaja. Tambahnya, citra sosial remaja melalui karya ini telah membawakan nilai positif sesuai dengan cetusan pembangunan modal insan dalam penyebaran silang ilmu seperti tuntutan aspirasi MADANI.
Pembentangan Teori dan Kaedah Aplikasi dalam Antologi Cerpen Remaja Talia Ellysa oleh Franco Morrow pula memperlihatkan pelbagai jenis teori yang berkaitan dengan bidang kesusasteraan Melayu mahupun barat melalui pembentangannya.
Franco Morrow melalui penelitiannya terhadap sudut teori dan aplikasi, merumuskan bahawa buku antologi ini menerapkan teori psikoanalisis; fantasi dan Sains fiksyen; gaya bercinta; feminisme dan teori hierarki, selain menyelit unsur mistik yang turut diterjemahkan melalui kepelbagaian idea.
Selaku penyelenggara buku antologi cerpen remaja ini, Ruhaini Matdarin, dengan kertas kerjanya yang bertajuk Gejolak Emosi Anak Muda dalam Talia Ellysa melihat sudut pendekatan psikologi emosi mengenai resam hidup dalam komuniti masyarakat kontemporari, cabaran ekonomi, sosiobudaya, kesihatan mental dan mitos daripada tradisi lisan tempatan sebagai sesuatu yang menarik untuk dikupas.
Beliau beranggapan bahawa, gejolak emosi yang melatari hampir ke semua cerpen dalam antologi ini memperlihatkan peranan yang seimbang dalam memberikan aspirasi kepada pembaca muda khususnya remaja melalui nilai murni yang ditonjolkan secara langsung atau tidak langsung mampu memupuk pembentukan jati diri dalam kalangan remaja, sekaligus mengetengahkan karya kreatif sebagai aspirasi remaja MADANI.