Oleh Aliff Awan
7 November 2023, 10:32

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Aliff Awan sempat menemu bual Adriana Nordin Manan berkaitan proses kelahiran naskhahnya yang menemui “garis” hujung sepanjang 10 tahun bergolak-hempas menyiapkannya.

Kalau rumah bukan lagi tempat yang selesa untuk awak inap, lebih baik awak tinggalkan rumah tersebut. Untuk awak juga, bukan orang lain.

Ketika umur mencecah 22, dalam tempoh 10 tahun lepas, anda telah selesai menduduki UPSR, PT3 dan SPM (untuk mereka yang lahir pada tahun 2000). Sekarang, beberapa semester lagi pengajian diploma akan tamat. Kemudian, meja dan kerusi belajar ijazah sarjana muda akan bersedia untuk diduduki. Itu pun kalau anda nak duduk.

Dalam tempoh pendek ini, anda ialah kanak-kanak, remaja dan beransur-ansur menjadi dewasa. Pengalaman rencam membentuk peribadi dan tingkah. Berontak pun telah, seronok pun telah. Semua dalam definisi masing-masing. Termasuklah hal-hal yang baru dikenal-jumpa dan berapa banyak pula perkara yang terpaksa rela untuk dilambai-tinggalkan.

Kalau anda seorang penulis, mungkin tempoh sedekad ini melahirkan bermacam idea yang telah jadi dan tidak. Kalaupun ada usaha untuk selesaikan satu-satu idea itu, sebab tempoh yang terlalu lama, ada asa yang telah putus. Masa menguburkan idea dan seli antara cerita bersama kawan-kawan, ada al-Fatihah yang dikirimkan sebagai tanda peringatan kepada idea yang telah wafat.

Lain pula dengan Adriana Nordin Manan. Akhirnya, dia boleh tersenyum selesa bila skrip tulisannya, Fault Lines sebuah drama pentas, akan menemui penonton buat julung kalinya di Petaling Jaya Performing Arts Centre (PJPAC) pada 16 hingga 19 November 2023 selepas sedekad dia duduk dan menaip. Ingin mengetahui lanjut mengenai asa yang tak putus-putus ini, saya menghubunginya melalui Whatsapp.

***

Sepanjang 10 tahun mengerjakan naskhah ini, apakah yang kerap melintas di fikiran anda? Ada ragu atau mungkin bara semangat itu sentiasa menyala?

A: Ragu sentiasa ada. Saya berasa sangat rendah diri sepanjang proses ini kerana baru sedar betapa susahnya menulis skrip teater seperti ini. Banyak kali buntu, hampa dengan penulisan sendiri. Seakan tak nampak jalan penyelesaian untuk menghasilkan cerita seperti yang terbayang dalam minda. Tema naskhah ini yang merentas budaya, politik dan isu semasa turut memerlukan kajian yang mendalam. Namun, apa yang mendorong saya ialah janji pada diri sendiri bahawa suatu hari nanti, “Aku akan bergelar dramatis”.

Sejak bangku sekolah saya sudah aktif dalam teater. Sepanjang tempoh itu saya belajar menerima hakikat bahawa naluri saya bukan sebagai pelakon atau pengarah, tetapi penulis. Dunia teater pula seperti gelanggang; tempat saya menguji kebolehan dan menggilap kecekalan untuk berkarya. Jadi mahu atau tidak, saya mesti jadikan impian ini realiti.

Banyak kali terasa nak tutup komputer riba dan lupakan impian ini, tapi setiap kali itu, seperti ada suara berbisik kepada saya dan kata, “Adriana, cerita ini nak jejak dunia luar sana, dan awaklah yang kena bawanya keluar.”

Saya juga ingin merakamkan penghargaan kepada empat orang rakan daripada dunia teater dan penulisan yang menjadi peniup semangat tegar sepanjang perjalanan ini. Mereka ialah Dhinesha Karthigesu, Fasyali Fadzly, Katrina Jorene Maliamauv dan Lily Jamaludin. Terima kasih kepada mereka kerana meyakini kebolehan saya, mungkin mengatasi keyakinan sendiri terhadap kemampuan diri yang kerdil ini.

Anda dikenali sebagai seorang yang aktif menulis tentang teater dan menguruskan acara berkaitan sastera seperti Georgetown Literary Festival (GTLF). Adakah pertambahan pandangan dan idea sepanjang aktif menguruskan acara ini membuatkan Fault Lines mengambil masa yang panjang untuk disiapkan?

A: Mungkin ya secara umum, maksudnya saya perlu mengenali dunia dengan lebih mendalam sebelum kudrat saya dapat disalurkan untuk menyiapkan karya ini. Sejujurnya, satu dekad kebelakangan ini bersamaan dengan fasa pendewasaan yang sangat penting. Sepuluh tahun lalu saya pulang ke Malaysia selepas tamat pengajian Sarjana Sains Politik di New York University (NYU), dan itu menjadi titik tolak kepada banyak perubahan dalam kehidupan. Saya berhenti kerja daripada dunia korporat dua tahun kemudian, dan sejak itu lebih giat dalam dunia penulisan, sastera dan penterjemahan.

Saya ingin mengenali diri, siapakah saya yang sebenarnya? Dan hakikatnya, saya bukanlah susuk kakitangan korporat tetapi penulis dan insan berjiwa seni. Pada saya, kematangan sangat penting untuk menulis.

Mengapa memilih bahasa Inggeris sebagai bahasa cerita? Biarpun kisah ini membawa semangat Malaysia di dalamnya, apakah yang membuatkan bahasa ini pilihan sesuai untuk berkomunikasi dengan penonton?

A: Sebenarnya, skrip ini 60% bahasa Inggeris dan 40% bahasa Melayu. Bahasa Inggeris kerana lokasi cerita di New York City, dan ada banyak interaksi antara watak Malaysia dan watak dari Amerika Syarikat yang tidak boleh berbahasa Melayu.

Tapi, saya juga berikhtiar untuk menggunakan dialog bahasa Melayu supaya ada suara tersendiri dalam setiap watak. Sebagai seseorang yang menguasai kedua-dua bahasa ini dan menghargai lenggok serta keistimewaan kedua-dua bahasa, saya menumpukan banyak perhatian kepada melentur, mengolah dan memperlihatkan keindahan bahasa dalam naskhah ini.

Kalau ada satu ayat untuk memperkenalkan Fault Lines dalam bahasa Melayu, apa yang anda akan tulis?

A: Dengan sandiwara kekeluargaan sebagai latar, Fault Lines mempelawa kita untuk merenung isu seperti pengalaman komuniti Melayu yang menetap di perantauan, kemaafan dan hakikat menerima perbezaan yang ada dalam setiap individu.

Selepas skrip ini siap, apa yang membuatkan anda terus kata, “Ya, saya perlu pentaskan skrip ini sekarang juga?”

A: Saya berpegang kepada prinsip bahawa naskhah teater tidak lengkap selagi belum dipentaskan. Jika novel perlu diterbitkan dan dibaca, skrip teater perlu dipentaskan dan ditonton. Selagi ini tidak berlaku, usaha ini persis perjalanan yang belum selesai. Saya bertekad untuk menoktahkan perjalanan ini dengan sebuah pementasan.

——————-

Diarahkan oleh Ghafir Akbar, naskhah ini dibintangi oleh Putrina Rafie, Fatimah Abu Bakar, Xavier Reminick, Reza Zainal Abidin dan ramai lagi. Produksi teater Fault Lines: A New Malaysian Play masih terbuka untuk menerima dana sejumlah RM30,000 bagi memastikan pementasan ini berjaya dilaksanakan dengan penuh selesa.

Sertai penama lain yang telah membuat sumbangan untuk mencari makna ‘rumah’ yang diidamkan. Setiap sumbangan akan menerima hadiah penghargaan yang berbeza termasuk tiket dan sebut nama (shout-out) di media sosial. (https://rewards.mystartr.com/projects/faultlines)

—————-

Aliff Awan merupakan artis persembahan yang selalu di KL. Dia berehat terlibat daripada mana-mana acara sebab jadi pemerhati lebih seronok. Kini, dia menyunting kiriman yang dihantar untuk #mainsurat, sebuah usaha untuk merakam ragam seni di Malaysia.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.