3 November 2023, 07:36

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Awang Abdul Muizz Awang Marusin membutirkan barisan penulis muda Sabah yang sedang menghidupkan latar halaman sastera kebangsaan.

Ikatan Penulis Sabah (IPS) yang saya sedang terajui ketika artikel ini ditulis turut membariskan penulis-penulis muda sebagai pemimpinnya.

Ketika penulis muda dikatakan tidak muncul dan tidak diketengahkan dalam acara besar semisal Pertemuan Penyair Nusantara (PPN) di Kuala Lumpur,  penulis muda sebetulnya sentiasa ada walaupun bilangannya tidak sebanyak mana. Realitinya, PPN bukanlah satu-satunya acara yang mempertemukan penulis di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Festival Sastera Antarabangsa Gunung Bintan (FSIGB) 2022 di Tanjungpinang, Kepulauan Riau, Indonesia, misalnya, dihadiri oleh penulis muda seperti saya dan Arif Hadi Japri. Kolokium Antarabangsa Peradaban Wilayah Timur Laut (KAPWTL) 2023 di Pattani, Thailand, misalnya lagi, turut menyaksikan kehadiran penulis dan penyelidik muda seperti saya, Rafiqah Dahali dan Dr. Abdul Muqit Muhammad.

Dua misalan itu dengan sendirinya menyetujui pandangan Jack Malik bahawa penulis muda sentiasa ada untuk mewarnai ranah bahasa dan sastera di Malaysia, walaupun keberadaannya diterjemahkan dengan cara yang tersendiri. Baiknya, penulis muda seperti saya tidak hanya berada dalam acara besar bahasa, sastera dan budaya di dalam dan di luar negara sebagai pengikut atau pemerhati semata-mata, tetapi sebagai pemakalah yang menyediakan dan membentangkan makalah yang menyentuh langsung tentang perkembangan bahasa, sastera dan budaya di tanah air kita.

Realitinya, Sabah sentiasa ada penulis muda yang memainkan tiga peranan dengan cara mereka masing-masing. Pertama, memimpin dan mengurus pergerakan bahasa, sastera dan budaya di Sabah. Nim Yorza, sebagai contoh, merupakan salah seorang pemimpin utama Badan Bahasa dan Sastera Sabah (BAHASA). Kita semua mengenali BAHASA sebagai pelopor pergerakan sastera tempatan Sabah dan pelaksana acara-acara besar sastera di Sabah, termasuk Hari Sastera ke-19 yang telah diadakan di Kota Kinabalu.

Sahabat saya, Mohilis, contohnya lagi, sedang menerajui Persatuan Pemuisi D’Bayu Sabah yang rata-rata ahlinya merupakan penulis dan penyair muda. Ikatan Penulis Sabah (IPS) yang saya sedang terajui ketika artikel ini ditulis turut membariskan penulis-penulis muda sebagai pemimpinnya. Mereka yang dimaksudkan ialah Muhammad Faizhaziq Mohd Sarizam, Muhammad Farhan Firdaus Nordin dan Syahfierah Sukor.

Peranan kedua, untuk menyampaikan perkembangan bahasa, sastera dan budaya tempatan Sabah kepada masyarakat dalam persidangan akademik dan pertemuan budaya di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Selama 14 tahun saya menceburi sastera, saya telah berhasil menulis dan membentangkan empat buah makalah bertemakan sastera di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Salah satu makalah yang dimaksudkan sudah pun dan bentangkan dalam Nadwah Serantau Sastera Islam Sabah 2021.

Peranan ketiga dan yang lebih penting, untuk menulis dan menerbitkan karya di pelbagai wahana. Kita semua mengenali Ruhaini Matdarin sebagai seorang cerpenis dan novelis yang prolifik. Cawan Odin (akan terbit) hanyalah salah satu daripada banyak lagi buku novel dan kumpulan cerpen yang telah beliau tulis selama ini.

Sehubungan itu, Sabah juga mempunyai Nasser Mikraj yang berjaya memenangi Hadiah Puisi T. Alias Taib 2023 menerusi kumpulan puisi Luka Mencair Sebagai Sunset (Kata-Pilar, 2023). Sabah juga mempunyai Mohilis yang tidak sekadar menulis kumpulan puisi Sebelum Menemukan Mimpi (DBP, 2023), tetapi juga telah diperakui kehebatannya mendeklamasi puisi di persada negara.

Sabah juga mempunyai Nursyafiqah Roslan yang mengusahakan puluhan buah buku antologi puisi yang membolehkan para penulis puisi menerbitkan puisi karya mereka dalam sebuah buku fizikal tanpa mengira apa jua latar belakang penulisan mereka. Sabah juga mempunyai Gabriel Kimjuan yang menggalakkan penulisan puisi dalam bentuk karya digital melalui kumpulan media sosial Aktivis Seni dan Sastera yang beliau usahakan di Labuan.

Sifat IPS yang sentiasa mesra dan terbuka dengan semua golongan penulis membolehkan IPS menjadi pilihan penulis muda Sabah.

Sabah turut mempunyai beberapa orang penulis muda yang telah berjaya menulis dan menerbitkan buku, termasuk Rafi Harumin, Aisyah MS, Dayana Chacho, dan Awan Wafdan. Tidak sekadar itu, Sabah sedang menyaksikan kemunculan penulis-penulis baharu daripada kalangan anak muda menerusi penerbitan karya mereka dalam buku-buku antologi puisi dan cerpen terbitan penerbit tempatan Sabah.

Dalam tempoh enam bulan terakhir, IPS telah melahirkan 61 orang penulis muda berusia 14 hingga 22 tahun. Mereka bukan sahaja mendapat pendedahan pada penulisan puisi dan prosa moden di sekolah dan institusi pendidikan tinggi di Sabah, tetapi juga mengusahakan sendiri penulisan mereka dengan dukungan daripada pendidik dan pemudah cara daripada kalangan penulis mapan.

Dalam tempoh yang sama, IPS telah berjaya menerbitkan enam buah buku sastera dan umum secara fizikal dan lima siri majalah Komposisi secara dalam talian. Beberapa buah buku dan siri majalah yang dimaksudkan mengandungi puisi dan cerpen yang dinukilkan oleh penulis-penulis muda Sabah.

Sifat IPS yang sentiasa mesra dan terbuka dengan semua golongan penulis membolehkan IPS menjadi pilihan penulis muda Sabah. Dalam tempoh dua tahun terakhir, 20 orang penulis muda sudah didaftarkan sebagai ahli IPS. Dalam kalangan mereka, telah ada Nazifatunnisa Salim yang berjaya menerbitkan buku sendiri dan Zamafiq yang telah mengharumkan nama Sabah di persada sastera negara menerusi penguasaannya dalam kegiatan deklamasi puisi.

Semua ini terjadi berkat tunjuk ajar para tokoh bahasa, sastera dan budaya tempatan Sabah seperti Hasyuda Abadi, Azmah Nordin, Datuk Dr. Rem Dambul, Datuk Jamdin Buyong, Sahara Jais, Norawi Haji Kata, Abd. Naddin Shaiddin, Yatim Ahmad, Ony Latifah Osman, dan Dr. Raymond Majumah. Tokoh-tokoh sastera dari luar Sabah seperti Dr. Mohamad Shahidan, Zaen Kasturi dan Abizai turut menyumbang kepada perkembangan sastera Sabah mutakhir ini.

Semua fakta tersebut didedahkan untuk memberitahu pembaca yang budiman bahawa Sabah mempunyai “dataran sastera” yang dimeriahkan oleh golongan penulis yang rencam. Realitinya, cita-cita Datuk Jasni Matlani untuk menjadikan Sabah sebuah “dataran sastera” hanya boleh menjadi nyata dan sempurna dengan kehadiran penulis-penulis muda sebagai penerus perkembangan bahasa, sastera dan budaya tempatan Sabah.

_________________________

Awang Abdul Muizz Awang Marusin merupakan pensyarah subjek umum di Institut Latihan Perindustrian Kota Kinabalu, Sabah dan penulis empat buah buku pelbagai genre.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.