Oleh Shahkang
1 November 2023, 10:48

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Shahkang membincangkan program Bicara Karya Penulis Perlis: Masa untuk Orang Muda anjuran Angkatan Sasterawan Indera Perlis (AKSARA) dan Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara yang berlangsung pada 21 Oktober 2023.

Perkongsian rakan sebaya lebih kepada cuit-cuit sesama abang-kakak-adik berbanding syarahan ibu-ayah kepada seorang anak. Isinya sama, cuma lebih sampai dan mudah dihadam oleh si penerima.

Terus terang, orang muda lebih suka belajar daripada orang muda atau yang sebaya. Akan tetapi kata orang, nanti berlaku pula the blind leading the blind – akhirnya tidak akan ke mana-mana. Namun sebenarnya, hanya si buta sahaja yang memahami kehendak si buta. Yang celik tentunya tidak pernah merasai kegusaran menuruni tangga atau kesukaran meneka laluan di lokasi tidak mesra Orang Kurang Upaya (OKU). Samalah dengan situasi penulis muda dan penulis lama.

Apabila penyampaian untuk rakan seangkatan, bunyinya tidak terlalu didaktik juga tidak terlalu mengajar. Lebih tepat, dekat di hati. Fiilnya setaraf. Orang terdahulu (senior) mempunyai kecenderungan untuk berleter dan memaksa yang lebih muda untuk mengikut langkahnya. Hal ini terjadi dalam situasi senior-junior di semua tempat – sekolah, tempat kerja dan juga dalam bidang penulisan.

Rentas zaman menagih keperluan berbeza. Tamsilnya, tidaklah boleh mengharap penulis muda kerap melawat perpustakaan membelek buku, sedangkan mereka lebih terdedah pada bacaan secara digital.

Perkongsian rakan sebaya lebih kepada cuit-cuit sesama abang-kakak-adik berbanding syarahan ibu-ayah kepada seorang anak. Isinya sama, cuma lebih sampai dan mudah dihadam oleh si penerima.

Atas dasar itu, pihak Angkatan Sasterawan Indera Perlis (AKSARA) dan Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara (DBPWU) telah menganjurkan program Bicara Karya Penulis Perlis: Masa untuk Orang Muda pada 21 Oktober 2023. Program ini bersempena dengan Dekad Membaca Kebangsaan (DMK) dan Dekad Bahasa Kebangsaan (DBK) peringkat Negeri Perlis. Program yang mendapat kerjasama Institut Pendidikan Guru Kampus Perlis (IPGKP) ini dihadiri kira-kira 100 orang pelajar semester pertama Jabatan Pengajian Melayu.

Ahli panel yang dimaksudkan ialah penulis yang sedang meningkat nama, Afif Zulhusni, penulis yang puisi dan cerpennya selalu menghiasi dada akhbar serta majalah, Saiful Ghazali, dan akhir sekali, Munsyi DBP yang juga penyair Perlis, Zaki Halim. Sesi dikendalikan oleh Dr. Roziah Ramli, penulis merangkap pensyarah IPG Kampus Perlis. Saiful Ghazali dan Zaki Halim masing-masing juga ialah pengajar di Maktab Rendah Sains MARA Arau dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).

Tujuan saya menulis artikel ini sebenarnya untuk menokok apa-apa yang disampaikan sepanjang acara. Saya tidak senang duduk, melihat begitu banyak poin tepat untuk saya perkuatkan lagi dengan pengalaman serta pendapat sendiri. Namun begitu, mulut saya terkunci kerana menjadi sebahagian tetamu (sebagai Ketua Satu AKSARA, argh!). Saya perlu menemani Encik Armin Azhari bin Saleh, Pengarah DBPWU, Tuan Haji Mohd Fadzil bin Mohammad Salleh selaku wakil pengarah IPGKP dan Tuan Haji Mohamad bin Tayab, Timbalan Ketua Jabatan Pengajian Melayu IPGKP. Alangkah terujanya kalau saya dapat beraksi di pentas bersama-sama panel dan moderator.

Akhirnya, rasa teruja itu berlalu pergi seketika, setelah saya memilih untuk mengarang panjang idea saya dalam sebuah artikel, seperti yang anda baca sekarang.

Menerusi forum secara dua pusingan bersama sesi soal jawab di penghujung, saya simpulkan beberapa isu yang dibincangkan:

Saiful menyedarkan peserta jika sastera itu tidak menarik, jangan tinggalkan terus. Sebaliknya, usahalah agar sastera itu menjadi sesuatu yang kena dengan minat sendiri.

Jangan Mudah Mengalah – Poin ini agak klise namun harus juga diperkatakan. Saiful Ghazali menjelaskan bahawa anak muda perlu belajar untuk terapung di laut dalam, yang mana beliau analogikan sebagai dunia sastera yang penuh dugaan dan pelbagai kisah. Sambungnya, hal penolakan karya itu perkara biasa (agaknya, sudah banyak cerpennya dibakulsampahkan oleh penulis senior atau editor?).

Zaki Halim pula menyambut poin ini dengan mengatakan yang penulis muda perlu menghantar kewujudan mereka kepada masyarakat, selain menulis itu memerlukan praktis. Benarlah, saya fikir ketiga-tiga panel pun pada peringkat mula penulisan menjadi fasa cubaan memperkenalkan diri kepada khalayak. Mulanya, cuma karya eceran di bawah bantal dan karya terpendam dalam fail Microsoft Word. Lama-kelamaan, barulah berani selangkah untuk menghantar karya kepada editor. Saya juga begitu.

Bergaul Dengan Orang Lama – Afif Zulhusni menjelaskan keperluan untuk bergaul dengan penulis terdahulu. Afif turut memetik beberapa nama penulis yang biasa ditemuinya (untuk mendapatkan ilmu atau tandatangan pada koleksi naskhah?). Secara peribadi, saya pernah bersama Afif sewaktu program Bual Bicara Seni bersama Rejab F.I. anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Perlis, beberapa bulan yang lepas.

Afif dilihat menyantuni Pak Rejab F.I sesudah usai acara namun butiran bicara tidak pula saya perhalusi. Melalui pemerhatian saya, beliau tidak segan silu untuk mendapatkan pandangan orang lama meskipun aliran tidak sama. Keterbukaan ini wajar dipuji serta diteladani. Kita perlukan lebih ramai anak muda yang tidak kekok berdampingan dengan orang lama (atau lebih tepatnya, dengan sesiapa di luar gelembung keselesaan). Sesetengah orang muda merasakan berkawan dengan orang tua ini semacam tidak cool, walhal berkawan tidak semestinya kita mengikut langkahnya untuk menulis gaya ASAS 50. Tetapi betullah, kita tak boleh tutup mulut orang sekitar yang akan mengatakan “Ha, tu dok lepak dengan orang lama tu, tak lama ikutlah tu perangai depa hat suka sebar berita palsu dalam Whatsapp grup tu!”

Mulut orang, biarkanlah. Selain bersosial, bahan bacaan orang muda perlu dipelbagaikan dan melibatkan karya orang lama. Orang lama juga hendaklah sesekali mendampingi karya orang muda. Jangan hanya beranggapan yang karya orang muda ini terlalu agresif, terbuka dan tidak menjaga bahasa.

Formaliti Yang Memisahkan – Saiful Ghazali turut mendedahkan kisah pertembungannya dengan formaliti dalam sastera. Contohnya, perlu berpakaian tertentu dalam suatu acara. Formaliti ini telah mematikan minat sesetengah orang muda. Akan tetapi, Saiful tidak sekadar duduk diam dan memaki hamun formaliti tersebut. Sebaliknya, beliau telah mengambil inisiatif sendiri untuk mengadakan sesi baca puisi di Padang Kota dengan gaya sendiri – tanpa formaliti, malah bebas juga – ditemani dengan rojak pasembor (saya agak). Melalui contoh ini, Saiful menyedarkan peserta jika sastera itu tidak menarik, jangan tinggalkan terus. Sebaliknya, usahalah agar sastera itu menjadi sesuatu yang kena dengan minat sendiri.

Secara peribadi, saya pernah menghadapi perkara sama sewaktu menubuhkan persatuan Malay Language and Culture Society of Manchester (MALECS) sekitar 10 tahun lepas. Persatuan berkaitan bahasa dan budaya Melayu ini pada mulanya berlegar dengan isu berat yang hanya diminati oleh saya, Hazman Baharom dan Imran Rasid. Kami menganjurkan seminar tentang Melayu, perbincangan perah otak dalam pelbagai isu dan bedah lirik lagu (yang saya ingat, hanya tiga orang hadirin di kafe Costa Oxford Road, iaitu saya selaku penyampai, Atikah dan Hazman sahaja).

Setelah era kami berakhir, persatuan ini kemudiannya berkembang dengan cara sendiri dengan mengetengahkan aktiviti kebudayaan yang lebih diminati oleh pelajar di sana. Contohnya, persembahan fesyen tradisional Melayu di Students Union dan Sarong Run. Hazman pernah mengatakan kepada saya, lebih kurang bunyinya, “Awat MALECS jadi persatuan ‘berkelah’ ni weh?” – menjelaskan pengisian MALECS menjadi lebih “ringan” berbanding zaman kami. Pada saya, tak apalah, konsep aktiviti sedikit berbeza, asalkan aktiviti berlangsung dan memberi manfaat. Yang penting, jangan tinggalkan terus!

Mendokumentasikan Latar – Zaki Halim turut menyentuh peranan penulis muda untuk menggarap latar sekeliling sebagai dokumentasi masa hadapan. Zaki menyentuh tentang Sasterawan Negara (SN) Zurinah Hassan yang menulis tentang Pulau Mutiara. Beliau juga menjelaskan peranan SN Rahman Shaari selaku anak Perlis untuk membawa hal berkaitan Perlis dalam sajak-sajaknya. Sebetulnya, memang karya sastera ialah rakaman terbaik sesuatu latar. Contohnya, saya mengetahui bahawa wujudnya feri di Muar dan Batu Pahat melalui dialog filem Laksamana Do Re Mi:

“Ini, fairy yang punya!”

“Feri Muar ke, Batu Pahat?”

Juga kewujudan syarikat penerbangan Malaysia-Singapore Airlines (MSA) melalui filem yang sama:

“Kau punya landing, macam MSA!”

Jika penulis tidak merakam latar tahun 2023 ini, siapa lagi?

Penggunaan Digital – Tidak dinafikan, penulis muda rata-ratanya lebih celik digital. Saya suka saranan Saiful Ghazali untuk menggunakan Canva bagi menghiasi puisi sendiri dalam bentuk imej, sebelum dikongsikan di media sosial. Ternyata cara ini lebih menarik perhatian daripada teks kosong dan polos. Isu penggunaan ChatGPT turut disoal oleh hadirin lalu mendapat reaksi tersendiri daripada Zaki Halim, yang meluahkan rasa syukur kerana beliau mula menulis puisi ketika ChatGPT belum diperkenalkan. Afif Zulhusni menambah, isu plagiat tidak hanya berkaitan dengan ChatGPT kerana terbukti sebelum ini, peniruan karya pernah berlaku di luar bantuan teknologi pintar. Saiful pula menjelaskan yang ChatGPT tidak berupaya memberikan nilai estetika dalam karya, yang hanya boleh hadir daripada seorang manusia. Saiful turut meriuhkan dewan tentang persoalan halal-haram penggunaan ChatGPT.

Sebagai seorang pendidik, saya sendiri tidak dapat lari daripada masalah ChatGPT. Saya selalu berpesan dengan pelajar saya untuk menulis jawapan (contoh perbincangan isu kelestarian sesudah tamat kuliah) menggunakan ayat daripada lubuk hati, bukan ayat yang ditulis oleh ChatGPT. Sebenarnya, saya sendiri merupakan pelanggan berbayar ChatGPT untuk pelbagai urusan. Antaranya termasuk penyediaan draf, pembetulan tatabahasa bahasa Inggeris dan memperkemaskan data yang “bersimpang-siur”. Pendek kata, untuk menggunakan ChatGPT bagi menghasilkan tulisan lengkap lalu terus disiarkan, tentulah tidak beretika. Namun begitu, sebagai buah mula bagi memecahkan rintangan pengarang (writer’s block), saya kira tiada salahnya.

Kesimpulan majlis tidak begitu panjang kerana masa acara telah diheret ke waktu kecederaan. Sekadar saranan panel kepada peserta untuk mendampingi sastera, rajinkan membaca dan berani untuk menulis.

Majlis diakhiri dengan hidangan mi goreng, karipap sardin gulung dan teh panas. Kombinasi santapan ini telah menyempurnakan selera kami yang sudah sedia terisi dengan ilmu pada petang tersebut.

Terima kasih penganjur, panel dan moderator!

ps: Saya baru tahu rupanya kajian sarjana Saiful Ghazali adalah tentang novel popular, The Wedding Breaker.

_________________________

Shahkang merupakan seorang pensyarah di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan Ketua Satu Angkatan Sasterawan Indera Perlis (AKSARA). Boleh dikatakan muda juga, sebenarnya.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.