27 Oktober 2023, 10:02

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Siti Nur Aqilah melihat perasaan dan emosi terdalam teater Along dan merenung sisi-sisi pengalaman peribadinya sendiri.

Daripada segi pengarahan, penataan cahaya yang bermain dengan emosi setiap watak, dapat saya rasakan perasaan dendam, tenang, marah, melepaskan dan reda. Pengarah, Rashid Shikh Abdullah berjaya mengarah dengan baik, lebih-lebih lagi apabila pelakon dapat mendalami setiap perwatakan dengan tuntasnya.

ALong Karya Azrie Izham Hamzah, Anis A. Azam dan Rashid Shikh Abdullah telah berlangsung di Bleenk Box Studio, Petaling Jaya pada 13 hingga 15 Oktober lalu. Tontonan yang saya lihat merupakan raptai keseluruhan dan pada masa yang sama pementasan yang memberi kesan besar kepada saya.

Raptai Teater Along yang berlangsung pada 12 Oktober bertempat di Bleenk Box Studio, Petaling Jaya.

Berdasarkan pementasan teater Along, saya dapat lihat bahawa pementasan ini cuba mengimbau kembali tragedi kematian seorang pelajar akibat dibuli di sebuah universiti terkemuka sewaktu menjalani latihan ketenteraan. Bermula sahaja raptai pementasan teater, suasana mula meremang dan tegang. Perjalanan cerita daripada ekspresi bahagia, aman damai, bertukar sukar untuk menerima kenyataan dan meredai ketentuan Ilahi.

Dalam banyak adegan yang berlaku, persitiwa yang paling mengesankan saya ialah adegan watak ayah yang cuba meluahkan perasaannya untuk menerima hakikat bahawa Along sudah tiada di pangkuannya. Sukar sekali untuk kita lihat ayah menitiskan air mata. Lebih-lebih lagi apabila darah daging sendiri dibuli dengan kejam tanpa perikemanusiaan.

Watak ayah lakonan Akmal Ahmad yang memberi kesan mendalam kepada penonton selama pementasan berlangsung.

Penulis skrip teater Along lebih memberi fokus terhadap elemen perwatakan ayah. Kesedihan dan kemurungan ayah tidak mudah untuk dipentaskan, seperti mana kita tahu lelaki sukar untuk menunjukkan perasaan mereka. Namun kita boleh menilai daripada segi bahasa tubuh yang menzahirkan kenyataan yang tidak mudah untuk diterima.

Tidak lupa juga adegan watak adik yang turut mengesankan saya, lebih-lebih lagi dialognya mengingatkan saya pada adik-adik saya sendiri. Prop yang digunakan dalam teater tersebut pula hanyalah seterika, alat kekejaman Aqil dan Izzat terhadap Along.

Babak kekejaman Aqil dan Izzat, membuatkan saya teringat kembali pengalaman saya sendiri yang pernah dibuli. Setiap dialog yang diucapkan oleh Aqil terhadap Along menyakitkan emosi saya dan apabila Ikhwan cuba untuk membantu Along kemudian dihalang oleh Izzat, membuatkan saya lebih berasa marah kerana Ikhwan yang berada dalam keadaan dilema.

Daripada segi pengarahan, penataan cahaya yang bermain dengan emosi setiap watak, dapat saya rasakan perasaan dendam, tenang, marah, melepaskan dan reda. Pengarah, Rashid Shikh Abdullah berjaya mengarah dengan baik, lebih-lebih lagi apabila pelakon dapat mendalami setiap perwatakan dengan tuntasnya.

Jika dilihat melalui perspektif saya yang pernah dibuli, sejujurnya ia perit apabila lakonan Abbas Mahmood sebagai Aqil mengimbau kembali beberapa peristiwa yang pernah saya alami. Namun, pengalaman saya berbeza dengan Along. Apa yang dilalui oleh Along lebih kejam dan mengerikan. Penulis skrip berjaya menghasilkan karya serta dialog yang kuat sehingga saya sendiri menangis tanpa henti sepanjang babak Along dibuli oleh Aqil dan Izzat.

Melalui pemerhatian, babak ketika watak ibu menceritakan bagaimana Along tidak tahu untuk menggosok pakaiannya, dan apabila Along sendiri dibuli dengan menggunakan seterika. Bayangkan, ia merupakan pascatrauma yang dilalui oleh keluarga mangsa kerana seterika merupakan alat rutin yang digunakan oleh keluarga mangsa. Saya tidak pasti jika ini dirancang secara sengaja atau tidak, tetapi apabila difikirkan dengan logik, kebetulan ini boleh dikaitkan dengan prop yang digunakan – seterika.

Saya berharap teater Along ini dapat dipentaskan semula dengan ruang yang lebih besar. Skrip ini penuh dengan mesej yang sangat mendalam dan menyentuh perasaan penonton. Sekali lagi saya ingin mengucapkan tahniah kepada penulis, Azrie Izham Hamzah, Anis A. Azam dan Rashid Shikh Abdullah kerana menghasilkan karya yang luar biasa dan berjaya meninggalkan kesan yang mendalam kepada saya.

______________________

Siti Nur Aqilah atau lebih mesra dikenali sebagai Aqmir Alhamdi merupakan deklamator bebas dan telah menulis tiga artikel kreatif. Serta , bekerja dalam produksi dokumentari Borneo Demands Productions, sebagai translator dan penulis storyboard untuk dokumentari Borneo Wildlife Nature yang telah berlangsung di TVS. Kini, beliau menyambung pelajaran di ASWARA dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Penulisan Filem dan Televisyen.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.