Oleh Nimoiz T.y
20 Oktober 2023, 12:41

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Nimoiz T.Y memberikan pandangannya yang tersendiri dalam simpang-siur persoalan penulis muda perlu berpersatuan atau tidak.

Dalam masa yang sama, kita tidak boleh menafikan sumbangan kelab atau persatuan penulis dalam membentuk dan melahirkan penulis berwibawa. Kalau hendak fikir sibuk, semua orang sibuk.

“Jika ingin cepat, berjalanlah sendirian. Jika ingin jauh, berjalanlah bersama.”

Saya tidak ingat siapa yang berkata begini, tetapi kata-kata ini memang tepat dan benar. Berjalan sendirian memang lebih laju. Kita tidak perlu menunggu orang lain di belakang yang terhegeh-hegeh. Kalau lambat, tinggalkan sahaja. Buat penat menunggu orang yang lama bersiap. Yang akhirnya, kita pun turut tertinggal di belakang.

Dalam hal penulisan, buktinya ada di depan mata. Bergerak secara solo memang lebih laju.

Saya mulakan tulisan ini dengan puji-pujian.

Penulis Lokman Hakim misalnya sudah berhasil menggarap puluhan karya tanpa terikat dengan mana-mana persatuan. Baca sahaja Jepun, Simulasi, Gerawan, Ketika Waktu Berpilin, Selestial, Selamat Datang ke Narkisa, Batara Guru dan banyak lagi. Semua ini lahir di meja tulis tanpa perlu pun aktif dengan persatuan. Beliau juga mampu menulis novel sambil mendukung bayi.

Bagi Lokman Hakim, cukup sahaja hanya duduk di depan komputer, kafe atau taman bunga. Beliau mampu menulis dan menulis tanpa henti. Inilah kekuatan luar biasa yang tidak ada pada pengarang muda lain di Malaysia. Ketika anak muda Malaysia leka dengan Facebook, Instagram atau TikTok sekitar dua jam melihat artis buat apa hari ini, Lokman sudah siap menghasilkan sebuah cerpen untuk siaran SelangorKini.

Saya setuju dengan Lokman Hakim.

Kenyataan tuntas berpersatuan hanya membuang masa ada benarnya. Namun, kenyataan holistik begini pasti akan mengundang kecaman, tambahan bagi mereka yang puluhan tahun berjuang dalam persatuan.

Kita tidak boleh menafikan sumbangan SN Keris Mas, Asraf, Rosmera, Jymy Asmara dan beberapa tokoh yang menubuhkan Asas 50 di Singapura dalam perjuangan memajukan fikiran masyarakat dan menegakkan keadilan rakyat. Apatah lagi sumbangan Ahmad Boestamam dan Ishak Haji Muhammad menubuhkan Kesatuan Melayu Muda walaupun dalam konteks politik Namun masih dalam nuansa persatuan.

Kalau hanya sekadar menulis, hantar, tersiar, kemudian menulis lagi, seronoklah. Tidak perlu buat apa-apa. Seronok kan, Lokman?

Di Malaysia, terdapat beberapa pengarang yang mempunyai stamina luar biasa mengarang tanpa terikat dengan persatuan. Mahizan Husain yang baru sahaja dinobatkan sebagai Sasterawan Negeri Pulau Pinang 2023 pun tidak aktif berpersatuan. Begitu juga dengan Afif Zulhusni yang dinobatkan sebagai Anugerah Sasterawan Muda Negeri Pulau Pinang 2023. Beliau tidak menjadi AJK mana-mana persatuan pun.

Amer Hamzah L. Kadir “Raja Sayembara” pun tidak perlu aktif berpersatuan masih mampu menghasilkan deretan karya.

S.M. Zakir pula dahulu merupakan Setiausaha Agung PENA. Sejak tidak lagi memegang jawatan, beliau kini semakin giat menulis. Malah, semakin sibuk ke sana ke sini dengan aktiviti yang masih ada kaitan dengan penulisan. MK Riza tidak terkecuali. Selepas menghantar anak ke sekolah, beliau akan balik ke rumah dan membuka komputer. Kemudian mula menulis mengarang dari ayat ke ayat. Penat menulis, beliau akan menyiapkan pula suntingan buku Nuha Books, Penerbit USIM dan USM Popular. Siap, beliau akan masak nasi dan ambil anak di sekolah. Hidayyah AT Mizi pun masih boleh menulis di rumah tanpa masuk mana-mana persatuan. Begitu juga dengan Nurull Ain’am Baderun.

Tidak perlu pun aktif berpersatuan.

Roslan Jomel yang tampil dengan karya menjanjikan pun bukan Ketua 1 atau Presiden mana-mana persatuan penulis. Saya tidak tahulah kalau Roslan Jomel aktif dengan persatuan secara senyap-senyap. Rasanya mungkin tidak akan lahir lagi karya-karya hebat semacam yang termuat dalam kumpulan cerpen Namaku Epal Kuning, Di Dalam Mulutnya Ada Kota atau Selamat Datang Ke Malaywood kalau Roslan Jomel disibukkan dengan persatuan.

Berbalik kepada persoalan Lokman Hakim. Jadi buat apa dia perlu berpersatuan? Tajam sekali ungkapan ini, “Saya tidak perlu berpersatuan untuk memastikan karya-karya saya sampai kepada khalayak.”

Pedihnya menikam hingga ke jantung.

Tambah Lokman, “Saya tidak perlu menyertai wacana-wacana sastera untuk meningkatkan kualiti penulisan.” Nampak macam sombong tetapi itulah hakikatnya. Berapa ramai penulis di Malaysia yang tidak berpersatuan pun mampu menghasilkan karya yang menjanjikan?

Dalam masa yang sama, kita boleh sahaja melihat beberapa penulis yang semakin kurang berkarya impak aktif berpersatuan. Tentang hal ini, saya tidak mahu menyebut nama siapa yang dimaksudkan.

Kadangkala, aktif berpersatuan hanya menyekat kreativiti seseorang penulis untuk terbang lebih tinggi. Mereka akan terikat dengan mesyuarat, sibuk merancang program dan mengurus aktiviti. Selepas tamat program sibuk pula menyelesaikan invois, menghantar borang tuntutan dan menyediakan laporan. Tidak cukup dengan itu, terpaksa pula menjawab komentar mereka yang tidak berpuas hati dengan penganjuran acara.

“Kenapa tilam saya keras?”

“Tuan, boleh tak tukar bilik lain? Rakan sebilik saya kuat berdengkur!”

Lebih memenatkan kalau menjadi AJK penulis di luar kawasan. Misalnya tinggal di Pulau Pinang tetapi menjadi AJK ASASI yang mesyuaratnya di Alor Setar. Nampak macam dekat, tetapi memenatkan. Ibnu Din Assingkiri yang tidak lagi memegang jawatan dalam ASASI nampak lebih tekun berkarya. Malah dalam masa yang sama, semakin sibuk mengadakan Bengkel Penulisan Puisi Tahap 1 dan Tahap 2 secara dalam talian. Bayangkan kalau beliau masih aktif dalam ASASI. Mesti tidak aktif begini.

Dalam konteks lain, persatuan akan menjadi tempat berebut jawatan. Kalau kalah bertanding, merajuk. Yang kepingin menjadi pemimpin pula akan sentiasa melobi sana-sini. Kalau hendak disenaraikan keburukan, memang banyak.

Ya, kalau kita mencari batu di celah permata, yang akan kita jumpa cumalah batu.

Sekali lagi, jika semua orang berpegang kepada pendirian yang sama dengan Lokman, tidak elok juga. Habis tutuplah persatuan. Takkan semua program hendak harapkan DBP?

Dalam masa yang sama, kita tidak boleh menafikan sumbangan kelab atau persatuan penulis dalam membentuk dan melahirkan penulis berwibawa. Kalau hendak fikir sibuk, semua orang sibuk.

Sekali lagi saya tegaskan, persatuan penulis banyak memberi sumbangan besar dalam memajukan bahasa dan sastera di Malaysia. Masing-masing ada peranan. Besar atau kecil, tetap namanya sumbangan.

Kita di Malaysia sepatutnya berasa bertuah kerana boleh dikatakan antara negara yang paling kaya dengan persatuan. Setiap negeri di Malaysia misalnya memiliki deretan persatuan. Di bawah GAPENA sahaja misalnya ada ASASI, BAHASA, DPMP, IPM, LEPAS, KEMUDI, PPJ, 2PNP, PUTERA, PELITA dan banyak lagi. Semua persatuan inilah yang banyak menganjurkan pelbagai acara dengan dana kerajaan atau swasta.

Kita di Malaysia terikat dengan Arahan Perbendaharaan dan Pekeliling tertentu. Justeru, saluran dana untuk program penulisan akan lebih mudah melalui persatuan.

Di Malaysia juga banyak persatuan penulis yang bukan di bawah naungan GAPENA, tetapi aktif mengadakan aktiviti. Misalnya, Gabungan Penulis Muda Negeri Kelantan (GEMA) banyak menganjurkan pelbagai program. Saya ambil contoh mudah, penulis “muda” (dalam konteks usia pengkaryaan) seperti Tuan Siti Mastazameatun, Wan Zai Wan Ismail dan Sujata Wee antara yang semakin giat berkarya bersama GEMA. Ternyata, persatuan berjaya melahirkan penulis pelapis yang berjaya.

Sumbangan persatuan penulis dalam penganjuran sayembara juga tidak boleh dinafikan. PENA misalnya ada menganjurkan Sayembara Penulisan KLWBC 2020 yang menawarkan hadiah keseluruhan bernilai RM105,000.00. GAPENA pula misalnya pernah menganjurkan Sayembara Penulisan Cerpen 50 Tahun GAPENA, Sayembara Penulisan Puisi 50 Tahun GAPENA, Sayembara Penulisan Skrip Drama Pentas 50 Tahun GAPENA dan banyak lagi.

Dalam bidang deklamasi, GAPENA juga konsisten menganjurkan Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan Peringkat Kebangsaan dalam usaha menyemarakkan semangat patriotisme dalam puisi. Sudah ramai deklamator hebat lahir dalam sayembara ini.

Tidak ketinggalan, Pemuisi pula tampil dengan format berbeza dengan Sayembara Deklamasi Puisi Artistik. Itu belum lagi persatuan penulis peringkat negeri yang tampil dengan hadiah penulisan secara berkala. PENYAIR di bawah naungan Sasterawan Negara SN Rahman Shaari juga aktif mengadakan aktiviti. Ruang dan peluang ini sebenarnya mampu merancakkan dunia penulisan selain memberi peluang kepada penulis untuk lebih ke hadapan. Apatah lagi penulis muda yang masih jauh perjalanan ke puncak.

Dalam masa yang sama, kita tidak boleh menafikan sumbangan DBP termasuklah DBP setiap wilayah dan cawangan yang banyak membantu persatuan.

Melontar jauh ke belakang, Fahd Razy juga berjaya melahirkan barisan penulis di bawah Grup Karyawan Luar Negara (GKLN). Ini pun persatuan juga. Walaupun berada dalam konteks benua yang berbeza, mereka berupaya bersatu dalam citra yang sama menggunakan platform maya.

Antara antologi yang pernah diterbitkan ialah Wilayah Cinta, Jalan Jauh ke Ramallah dan Al-Andalus Menangis. Penulis muda yang pernah aktif bersama dengan GKLN selain Fahd Razy ialah Hilal Asyraf, Syafiq Zulakifli, Rebecca Ilham, Hafez Iftiqar, Fieza Nur, Asyrafdini, Khadijah Khalilah Abdul Rashid, Muharikah, Muzaf Ahmad, Syarifah Salha Syed Ahmad, Nur Adilah Zarin dan ramai lagi. Malah, GKLN juga aktif mengadakan sayembara penulisan.

Yang paling saya ingat tentulah Sayembara Puisi Berunsur Islam Ireland-UK ke-2 2006 yang menaikkan nama Nur Adilah Zarin, Adibah Abdullah, Sakinah Md. Riffin, Huda Kamarudin dan Nurin Mazaya Zulkifli. Sayembara ini saya ingat kerana turut dilantik sebagai panel hakim bersama Nasriah Abdul Salam. Tidak tamat begitu sahaja, Fahd Razy masih lagi meneruskan sayembara di bawah penerbitan Kata-Pilar. Terkini ialah Hadiah Puisi T. Alias Taib 2023.

Irwan Abu Bakar juga banyak menaikkan nama-nama penulis muda melalui Persatuan Aktivis Esastera Malaysia. Esastera kini aktif dengan E-Sastera Vaganza ASEAN yang menghimpunkan penulis nusantara dalam satu ruang yang sama. Nampak, betapa besarnya sumbangan persatuan.

Persatuan juga banyak melonjakkan nama seseorang penulis. Projek Rabak misalnya berjaya melonjakkan nama Jack Malik. Saya tidak pasti Naim Al Kalantani dan Aliff Awan aktif atau tidak dengan persatuan di ASWARA. Kalau aktif, bolehlah saya tulis di sini.

Sebagai tambahan, persatuan juga menjadi tiket sebagai nilai tambah untuk penobatan sesuatu anugerah. SN Baha Zain pernah menjadi orang kuat PENA sebelum menerima Anugerah Sasterawan Negara. SN Kemala pernah menubuhkan Persatuan Sasterawan Numera Malaysia sebelum menerima SN. Shamsudin Othman masih setiausaha agung PENA ketika dinobatkan sebagai penerima SEA Write Award. Rosli K. Matari orang kanan A Aziz Deraman dalam PERADABAN ketika ditabalkan sebagai SEA Write Award pun masih aktif berpersatuan. Begitu juga dengan Jasni Matlani yang tekun menulis walaupun sibuk dengan BAHASA. Salman Sulaiman masih menulis walaupun sesekali terlibat dengan Persatuan Penulis Kelantan (PPK).

Saya tidak tahu sangat rubrik pemarkahan untuk ASN atau SEA Write Award. Namun, mereka yang terlibat dengan persatuan pasti akan mendapat markah yang lebih berbanding mereka yang hanya bergantung kepada kekuatan karya. Setiap sesuatu pasti ada nilai tambah.

Secara tegasnya, jelas bahawa sumbangan persatuan memang tidak boleh dinafikan. Aktif atau tidak aktif itu soal nombor dua. Aktif berpersatuan hanya menjadikan diri sibuk tidak sempat menulis pun hal yang lain juga.

Saya ingin memetik kata-kata Jaafar Hamdan, orang kuat Persatuan Karyawan Sastera Sarawak (PEKASA). Kata beliau, “Jangan tanya apa yang persatuan dapat sumbangkan pada ahlinya, tapi tanya apa yang ahlinya dapat sumbangkan pada persatuannya.” Suatu hari nanti, saya mengharapkan agar PEKASA dapat mencalonkan Lokman Hakim sebagai penerima SEA Write Award. Bukan sekarang, mungkin 10, 20, 30, atau 40 tahun akan datang.

Persatuan penulis tidak menyumbang apa-apa? Rasanya tidak betul.

_________________________

Nimoiz T.Y atau Nik Mohd Iznan Tuan Yaakub menulis dalam genre puisi, cerpen dan esei. Berkelulusan Sarjana Sains (Kejuruteraan Awam & Struktur)(UKM). Beliau telah menghasilkan belasan buku persendirian. Buku terbaru yang diterbitkan secara konsep terbit sendiri ialah Dari Lensa Kata (Oktober, 2023).

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.