Oleh Roslan Jomel
13 Oktober 2023, 09:57

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sasterawan Negara (SN) Shanon Ahmad merupakan pengarang ekspresif yang saya kagumi, tetapi malangnya, saya tidak berkesempatan untuk bertemu dengan beliau secara peribadi. Demikian juga Budi Darma, pengarang yang menakjubkan, namun tiada rezeki untuk duduk semeja bersama dengannya.

Kedua-dua tokoh yang dinyatakan ini (Malaysia dan Indonesia) memainkan peranan mustahak dalam merubah bidang penulisan kreatif moden di Asia Tenggara. Struktur dalam naskhah sastera (karya kreatif), tidak lagi semudah dan mendatar sebagaimana kelaziman. Sudah tentu, kedua-dua figura itu bukan sekadar penulis bertahap biasa. Namun pemikir dan intelektual yang menyampaikan gagasan dan kritikan lewat penulisan untuk meningkatkan kualiti persuratan.

Tajuk rencana ini dipilih berdasarkan tajuk sebuah cerpen tulisan Budi Darma, yang terdapat dalam buku kumcer (kumpulan cerpen) Kritikus Adinan. Cuma diubah sedikit. Tajuk asal cerpen Budi Darma dalam buku tersebut ialah “Penyair Besar, Penyair Kecil”. Tidak sebagaimana cerpen Budi Darma yang lain, “Penyair Besar, Penyair Kecil” lebih lurus dan tidak memeningkan kepala.

Namun demikian, apa-apa yang penting daripada cerpen itu adalah sindiran halus pengarang tentang gelagat dan kejahilan penyair kecil tetapi ingin menjadi penyair ternama dengan perbuatan menciplak. Seolah-olah perbuatan itu bukan kesalahan feloni di mata penulis dalam urusan kesusasteraan.

Mengapakah saya tertarik dengan tajuk yang bernada sinikal itu? Hal ini disebabkan, terkandung kenyataan secara tersirat meliputi etika dan gagasan dari aspek kepengarangan seseorang. Mungkin kandungan disampaikan dengan cara bercanda, tetapi impaknya tetap serius kerana bersangkut paut dengan moral keperibadian pengarang.

Malangnya, bukan sekali kes demikian berlaku di alam nyata. Menggunakan nama kreativiti atau sememangnya perompakan. Sekarang, isu yang dibangkitkan oleh Budi Darma sudah basi, tidak lagi mengejutkan dan mungkin berulang lagi oleh pembawa toksik dalam bidang persuratan. Komuniti sastera sudah jelak.

Penyair kecil berseteru dengan penyair besar. Situasi itu normal dalam persaingan. Penyair kecil berasa bahawa diri mereka umpama semut hitam, dan bakatnya tidak dipandang oleh sesiapa pun. Sedangkan penyair besar tetap mendapat tempat khusus dalam penilaian editor.

Tiada ikhtiar lain, penyair kecil tergamak memasukkan sebahagian teks orang lain dan disatukan dengan menggunakan namanya. Sampai pada tahap sebegitu, ini jelas menunjukkan perbuatan jenayah. Sangat tidak bermaruah apabila seseorang penulis menciplak karya pengarang besar tertentu untuk segera menaikkan namanya. Isunya, bukan penyair kecil itu tidak berbakat, tetapi jiwanya yang sempit dan malas untuk mempertingkatkan ilmu dan pembacaan.

Cerpen “Penyair Besar, Penyair Kecil” hanyalah sebahagian daripada 15 buah naskhah yang terhimpun dalam buku kumcer Kritikus Adinan. Tajuknya memang sedikit nakal dan memancing. Namun demikian, bukan ingin berlagak seperti pengkritik bertauliah, saya harus jujur menyatakan bahawa sungguh ketara perbezaan kerja penulisan Budi Darma dalam buku kumcer Kritikus Adinan jika dibandingkan dengan Orang-orang Bloomington.

Cerpen dalam buku kumcer Orang-orang Bloomington lebih padat dan tidak melewah. Sedangkan dalam buku kumcer Kritikus Adinan terasa agak menerawang dari aspek pemerian dan ini membuatkan pembaca masa sekarang cepat jemu. Ini pandangan peribadi saya (bukan secara akademik). Sebagai pembaca yang hidup pada masa sekarang (lebih canggih variasi pembacaannya).

Buku kumcer Orang-orang Bloomington, lebih mantap (meyakinkan) penulisannya dalam menyorot pelbagai sudut kerumitan setiap watak. Setiap cerita dalam buku kumcer Orang-Orang Bloomington terasa hidup. Sebegitu alamiah. Tiada sebuah cerpen pun yang membosankan untuk dibaca sehingga habis.

Paling menarik, apa-apa yang menjadi teras subjek yang ditanggung oleh penyair kecil hampir menyerupai dengan narator dalam cerpen “Joshua Karabish” dalam buku kumcer Orang-Orang Bloomington. Narator dalam naskhah “Joshua Karabish” telah melakukan perbuatan yang sama, malahan memenangi hadiah pula. Kedua-dua watak tersebut melakukannya dengan sengaja tanpa rasa berdosa.

Walaupun begitu, gaya penulisan dalam buku kumcer Kritikus Adinan tidak jauh bezanya dengan apa-apa yang terakam menerusi kumcer Orang-Orang Bloomington kerana menentang hukum realisme. Pokok persoalannya masih tentang kekacauan jiwa manusia dan kemelut yang dihadapi oleh seorang penulis dan urutan obsesinya ketika mengerjakan penulisan.

Dalam cerpen “Joshua Karabish”, naratornya juga seorang pengarang. Kebetulan pula, Joshua Karabish yang mengalami penyakit aneh itu juga penulis. Apakah alasan mereka berdua, masing-masing mengambil kesempatan terhadap manuskrip orang lain dan memanfaatkannya untuk kepentingan diri sendiri.

Sebagai pengarang terbaik Indonesia, Budi Darma yang terlatih dalam kesusasteraan dunia, tahu bagaimana untuk menulis karya kreatif khususnya membicarakan tentang gejala negatif dalam penulisan. Bahkan dalam esei-eseinya, Budi Darma dengan serius menganalisis kedudukan sastera sebenar dan tulisan yang menumpang atas nama kesusasteraan.

Sebahagian pembaca yang cetek pengetahuan tentang takrifan sastera, pasti tidak menyedari nilai seni dan artistik dalam sesebuah karya. Tugas seorang pengarang berdedikasi, wajar membangkitkan hal-hal dalaman kesusasteraan yang sepatutnya ada dalam sesebuah naskhah. Bukannya tersilau dari aspek luaran yang tiada kaitan dengan kekuatan naskhah.

Dalam cerpen “Penyair Besar, Penyair Kecil”, penyair yang berasa disudutkan itu, tersinggung, kerana karya-karyanya tidak mendapat perhatian pihak editor. Persis apa-apa yang dilakukan oleh narator dalam cerpen “Joshua Karabish”. Sama ada tanpa sedar atau sememangnya sengaja, Penyair Kecil mengambil kata-kata penyajak lain untuk diserapkan dalam ciptaannya.

Kebetulannya, naskhah kiriman si penciplak itu belum lagi disiarkan oleh mana-mana editor. Berhubung masalah yang menjadi bebannya itu, Penyair Kecil mencurahkan ketidakpuasan perasaannya di hadapan Penyair Besar. Sudah pasti Penyair Besar mengesani ada kejanggalan pada naskhah yang diakui oleh Penyair Kecil itu sebagai karya aslinya.

Perkara itu mengingatkan saya dengan sebuah filem The Words (2012), arahan Brian Klugman, yang juga mengangkat tema yang serupa. Tiada siapa menyangka bahawa alangkah mudahnya menjadi terkenal (juga tiba-tiba dilimpahkan royalti lumayan) hasil daripada mencuri karya orang lain?

Penulis yang hampir berputus asa dengan kerjayanya, telah menemukan secara tidak sengaja sebuah naskhah lama di dalam beg bimbit lama yang diperoleh di kedai barangan antik. Setelah menaipnya dan dihantar kepada penerbit, naskhah itu segera membangkitkan kembali semangat penulis itu. Dia mendapat durian runtuh dari langit. Namun demikian, hasil populariti daripada penipuan itu sudah tentu tidak seindah karya asli. Moral dan etikanya sebagai penulis runtuh dan berkecai.

Setelah disedarkan oleh Penyair Besar kesalahan yang dilakukan oleh Penyair Kecil, tetap sahaja si penciplak itu enggan mengakui jenayahnya. Penyair Kecil menangis dan berlagak seolah-olah dihakimi. Tidak sepatutnya Penyair Besar yang disanjungnya itu merendah-rendahkan seorang Penyair Kecil.

Bagi Penyair Kecil, apa-apa yang dilakukannya bukan pencurian atau peniruan. Bahkan menyalahkan pihak lain yang dianggapnya buta seni dan lebih mengutamakan kiriman karya para pengarang ternama. Ternyata, Penyair Kecil yang produktif menulis, selama bertahun-tahun, belum lagi sedar tentang kesalahan besar yang dilakukannya dalam urusan kesusasteraan.

Budi Darma merupakan pengarang khas. Tidak sebagaimana kepengarangan Pramoedya Ananta Toer yang berkarya tanpa perlu merumitkan lenggok plot dan permainan bahasa, Budi Darma sebaliknya. Secara teknikal, jalan ceritanya, sebagaimana dikatakan oleh sarjana sastera, bertekstur jungkar-balik.

Kendatipun, liku-liku permasalahannya tetap boleh diikuti. Itulah yang membezakan penulisannya jika hendak dibandingkan dengan sebahagian penulis eksperimentalis lain. Hanya sahaja dalam naskhah “Penyair Besar, Penyair Kecil”, aliran penulisannya lebih lurus dan mudah difahami. Ceritanya bukan objektif utama. Namun demikian, permasalahan sebenar yang perlu dimengerti oleh golongan penulis.

Isu menciplak dan kedangkalan seseorang penulis tentang kompas akhlaknya menjadi fokus penting untuk difikirkan. Hal itu bukan perkara enteng. Seolah-olah kita membaca esei-esei sasteranya, misalnya yang termuat dalam buku Solilokui.

Penceritaan Budi Darma mendekati keadaan kompleksiti manusia perseorangan kontemporari, sama ada dalam genre cerpen dan seterusnya dikembangkan dalam novel popularnya, misal Rafilus dan Olenka yang sungguh dahsyat itu. Sehingga saya menjadi ketagih untuk membaca semula kerana kemahiran pengarangnya menghubungkan cerita dengan pembaca dengan alamiah sekali.

Demikian SN Shahnon Ahmad yang membawa kesaktian sastera Amerika Selatan untuk diperkenalkan kepada komuniti sastera di tanah air dan untuk diterapkan dalam penulisannya. Pengaruh sastera luar memberikan faedah dan impak untuk mempertajam kemahiran penulisan seseorang. Saya fikir hal itu lumrah dalam naratif kepengarangan. Cuma, jangan menciplak.

Kedua-dua tokoh besar Asia Tenggara itu sudah meninggal dunia. Kita, sebagai peminat karya sastera, berhutang kebijaksanaan yang telah mereka wariskan dalam kesusasteraan. Benar kata Subagio Sastrowardoyo, tidak semua mampu untuk menjadi pengarang besar dengan hanya bersandar pada bakat alam. Apatah lagi dengan memijak bahu pengarang lain untuk kelihatan menonjol.

Tidak semua pengarang kecil akan selamanya terus terpinggir jika terus berusaha mematangkan sikap dan pemikiran menerusi pembacaan. Bak kata William Faulkner, jangan mengusutkan fikiran untuk menjadi yang lebih hebat daripada pengarang sezaman atau pengarang terdahulu. Namun begitu, cubalah menjadi yang terbaik daripada diri sendiri.

Pengarang besar ialah manusia seni yang dibesarkan oleh idea, keluasan ilmu, gagasan bermakna, teguh dengan prinsip dan moral. Bukannya digahkan oleh pelbagai macam gelaran, hadiah keliling pinggang, anugerah pengiktirafan dan pujian palsu.

Pengarang besar tidak perlu naik ke pentas, mendabik dada memaklumkan bahawa dirinya penulis hebat. Perbuatan demikian hanya dilakukan oleh para pengarang yang berjiwa kecil dan mahukan perhatian dunia buat dirinya. Jika seseorang pengarang tidak berkesempatan menjadi pengarang besar, tersohor dan dihargai oleh pelbagai pihak, tidak mengapa. Biarlah menjadi manusia benar yang tulus.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.