26 September 2023, 15:01

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Nama Za’ba sebagai pendeta bahasa tidak lagi asing dalam kalangan masyarakat tempatan kita. Jasanya yang begitu banyak dalam bidang bahasa menjadikannya satu-satunya pendeta bahasa yang kita miliki.

Tidak lupa juga dengan al-Attas sebagai ahli falsafah tempatan yang baru-baru ini menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-92 telah lama menjadi rujukan utama bagi pemikir Muslim tempatan, khususnya dalam memahami bidang falsafah Islam dan kebudayaan Melayu.

Kedua-dua tokoh mempunyai kaitan dan persamaan yang tidak disedari oleh banyak orang. Jika sedar sekalipun, kedua-dua tokoh bahasa ini dikatakan hanya berlegar dalam wacana kaum intelektual yang sudah mapan.

Baru-baru ini, penulis sempat menemu bual Muhamad Hanapi Jamaludin untuk bertanyakan tentang buku terbaharunya yang bertajuk Barat daripada Cerminan Watan: Gelintaran Fikir al-Attas dan Za’ba yang mengupas perihal keterkaitan antara Zainal Abidin Ahmad atau Za’ba dengan Tan Sri Prof. Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas atau al-Attas.

Nazirul Mubin (kiri) ketika menyerahkan manuskrip akhir buku Barat dari Cerminan Watan kepada Muhamad Hanapi (kanan) untuk semakan penerbitan.

Muhamad Hanapi menyatakan bahawa kedua-dua mereka merupakan sarjana berwibawa dalam lapangan bidang masing-masing. Al-Attas ialah seorang sarjana besar dalam peradaban Islam falsafah, pemikiran, ketamadunan dan juga ilmu sejarah.

Manakala Pendeta Za’ba mewakili intelektual awam yang sangat meluas peranan beliau dalam menghasilkan tulisan bermutu dan substantif, terutama dalam bidang pendidikan, bahasa dan kesusasteraan, agama, ekonomi dan politik. Jelasnya,

Kedua-dua tokoh ini saling menghargai. Za’ba memuji al-Attas dalam kata pengantar buku Rangkaian Rubai’yat, manakala al-Attas juga pernah memuji Za’ba dalam satu pembentangan kertas Seminar Sempena Memperingati Za’ba (1974). Kedua-dua tokoh ini terkehadapan dan sangat mendalam pengetahuannya tentang dua kutub keilmuan—Barat dan Islam, turath (klasik) dan kontemporari, tidak hanya sebatas sepihak pengetahuan sahaja.

Penghasilan buku yang baru sahaja terbit pada bulan September 2023 ini merupakan hasil usaha Muhamad Hanafi dalam penulisan tesis ijazah sarjananya. Pengalaman menulis tesis tersebut memungkinkan buku ini dihasilkan dengan penuh pengharapan kepada anak muda untuk membaca pemikiran dua orang tokoh besar ini.

Muhamad Hanapi (tengah) yang juga merupakan pengasas dan presiden Benevolent Malaysia, sebuah entiti keusahawanan sosial yang meletakkan kebajikan dan sosial sebagai orientasi utama.

Muhamad Hanapi menceritakan tesis tersebut siap dihasilkan pada 2014 di Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Beliau sangat teruja dan tidak menyangka bahawa satu daripada anak murid paling kanan al-Attas, Prof. Dr. Wan Mohd Nor Wan Daud, ketika itu yang menjadi ketua penyelidik.

Dalam pada itu, penyelidik di institut tersebut ialah anak murid al-Attas yang pernah menterjemahkan Islam and Secularism, Dr. Khalif Muammar yang kini menjawat jawatan sebagai profesor di Pusat Pengajian Tinggi Islam, Sains dan Peradaban Raja Zarith Sofiah (RZS-CASIS), Universiti Teknologi Malaysia (UTM). 

Saya tidak melepaskan kesempatan itu. Saya menghantar resume sebagai pembantu penyelidik untuk terlibat dalam kajian berkenaan. Alhamdulillah mendapat respons daripada Dr. Khalif Muammar. Beliau menelefon dan meminta saya untuk mendaftar sebagai pembantu penyelidik di ATMA. Ketika itu mereka sedang giat bertukang untuk menyiapkan proses transliterasi ataupun penterjemahan karya Islam and Secularism dalam bahasa Melayu-Indonesia terbitan PIMPIN.

Muhamad Hanapi dengan semangat ingin meneruskan legasi pemikiran al-Attas mula menawarkan diri untuk mula membincangkan berkenaan dengan tajuk kajian pengajian sarjananya. Kongsi Muhamad Hanapi,

Awalnya saya menghantar tajuk Akal Budi Pembina Tradisi Kesarjaan Melayu. Namun demikian, Prof. Wan berasa tajuk itu terlalu besar dan umum lalu mencadangkan agar saya memilih seorang tokoh untuk dikaji dan ketika itulah beliau memajukan nama al-Attas.

Muhamad Hanapi yang memang daripada awal meminati karya Za’ba juga ketika itu memikirkan jika dia mengambil seorang tokoh, dia bimbang tidak mampu untuk menyaingi tokoh yang sangat hebat berkenaan (al-Attas), jadi dia mencadangkan nama Za’ba mengimbangi kajian tersebut dengan sebab Za’ba bersifat intelektual awam, manakala al-Attas ialah ahli falsafah.

Walaupun tempoh pengajian hanya dua tahun setengah, tetapi Muhamad Hanapi berjaya menyiapkan tesisnya dan berkongsi keterujaan penilai semasa viva voce.

Sewaktu viva voce, pemeriksa luar, iaitu Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) sangat teruja dengan pembentangan tesis dan dapatan yang diperoleh daripada kajian berkenaan. Beliau menawarkan tesis saya diterjemahkan dalam bentuk buku untuk diterbitkan oleh IKIM.

Sekali lagi cabaran yang diterima oleh Muhamad Hanapi ialah dia tahu bahawa pewasitan untuk penerbitan buku di IKIM sangat rigid dan ketat. Selepas dua tahun dia menyahut cabaran berkenaan dan memulakan proses menyunting tesis kepada buku, akhirnya dia menerima berita keputusan Jawatankuasa Penerbitan IKIM yang menggugurkan penerbitan bukunya walaupun hanya menunggu untuk dicetak selepas menandatangani borang kontrak perjanjian bersama-sama IKIM.

Untuk menyiapkan buku tersebut, Muhamad Hanapi juga berkongsi kesukaran yang dihadapinya.

Sudah tentu bahagian yang paling sukar ialah tulisan Za’ba yang mana beliau membincangkan tentang Barat. Bukanlah sesuatu yang mudah berbanding dengan al-Attas yang banyak sekali menyentuh perihal Barat dan muatan pandangan alam, falsafah dan kekeliruan yang ditajainya.

Walau bagaimanapun, perjuangan Muhamad Hanapi berjaya mengorak langkah baru apabila pada pertengahan tahun 2023, Nazirul Mubin Hamdan daripada Toko Pujangga Baru menyambung hajat yang tertangguh.

Beliau bersemangat untuk  mengaktifkan kembali hasrat penerbitan buku tersebut sehingga tercetak. Beliau telah mengambil inisiatif termasuklah mendapatkan penyampai kata penghantar dan menyiapkan proses-proses penerbitan seperti muka hadapan dan sebagainya dan sehingga hari ini dapatlah kita saksikan buku itu dapat diterbitkan.

Bercakap mengenai penerbitan buku, penulis sempat berhubung dengan Nazirul Mubin untuk mendapatkan respons bagi penerbitan buku tersebut.

Muhamad Hanapi bersama-sama buku Barat Barat dari Cerminan Watan terbitan Cendekia.

Beliau berkata, pihaknya ingin menunjukkan bahawa walaupun buku ini asalnya sebuah tesis pascasiswazah, tetapi masih boleh dikomersialkan dan mampu bersaing dengan buku-buku lain dalam industri buku secara umum.

Sebenarnya banyak tesis dan disertasi di gedung universiti yang berkualiti dan perlu dibawa kepada masyarakat.  Di samping itu, ini juga merupakan usaha kami untuk membuktikan bahawa buku ilmiah atau separa ilmiah masih punya tempat dalam industri buku dan masyarakat.

Nazirul yang juga menerbitkan buku tersebut di bawah penerbitan Cendekia itu berkata, buku ini memberikan nilai tambah kepada kepustakaan dalam wacana Pengajian Melayu selain memberikan wacana balas terhadap pandangan Barat terhadap Alam Melayu.

Secara khususnya, buku ini mengedepankan idea dan kritikan tokoh kontemporari di Alam Melayu yang tidak asing lagi, iaitu Syed Muhammad Naquib Al-Attas dan Za’ba terhadap Barat. Selain itu, buku ini juga mampu menjadi landasan awal dan jendela untuk lebih mengkaji tokoh-tokoh besar dalam pengajian Melayu dan membentuk naratif baharu dalam memberikan alternatif dan kritik terhadap orientalis.

Nazirul menambah, penerbitan Cendekia berusaha untuk menjadi jambatan antara penulis buku laras ilmiah dengan separuh ilmiah dengan masyarakat umum.

Jadinya kelompok tumpuan adalah daripada pembaca belia remaja sehingga dewasa. Saya juga mendapat makluman bahawa buku-buku kami juga dibeli dan dibaca oleh pelajar-pelajar sekolah menengah!

Buku Barat dari Cerminan Watan tersebut juga mendapat respons daripada golongan muda. Tarmizi Anuar yang giat membaca karya-karya sastera dan falsafah menyatakan bahawa beliau jarang-jarang mendengar ahli akademik yang menceritakan perihal Za’ba dengan agak terperinci kecuali Muhamad Hanapi.

Buku tersebut juga menjadi buku terlaris yang dijual ketika Festival Buku Merdeka 2023 di Sunway Putra Mall, Kuala Lumpur pada 31 Ogos hingga 3 September 2023 yang lalu.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.