22 September 2023, 13:33

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuantan – “Syarahan: 1001 Makna Puisi” oleh Sasterawan Negara (SN) Dato’ Rahman Shaari telah berlangsung dengan jayanya di Dewan Tuanku Canselor, Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS) pada 20 September 2023.

Majlis syarahan ini dirasmikan oleh YB Dato’ Sri Haji Shafik Fauzan Haji Sharif, wakil rasmi YAB Menteri Besar Pahang merangkap ADUN Inderapura.

Yang turut hadir ialah Prof. Madya Dato’ Dr. Haji Zawavi Zainal Abidin, Naib Canselor UnIPSAS, wakil Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) merangkap Pengarah DBP Wilayah Tengah, Puan Nurul Julia Alani Henry dan wakil Presiden Dewan Persuratan Melayu Pahang (DPMP) merangkap Timbalan Ketua Satu DPMP, Dato’ Dr. Haji Ahmad Munawar Haji Jalil.

Sesi penyerahan cenderahati kepada YB Dato’ Sri Haji Shafik Fauzan Haji Sharif.

Dalam ucapan alu-aluan, Prof. Madya Dato’ Dr. Haji Zawavi Zainal Abidin menzahirkan rasa cukup gembira kerana UnIPSAS telah melakarkan sejarah sendiri apabila dipilih sebagai tempat untuk melaksanakan program kesusasteraan dengan penampilan SN, Dato’ Rahman Shaari.

Program seumpama ini merupakan yang pertama kali diadakan di universiti milik penuh kerajaan negeri Pahang. UnIPSAS cukup bertuah kerana menerima kehadiran SN, Dato’ Rahman Shaari yang juga pertama kali menjejakkan kaki di UnIPSAS.

Beliau menyeru khalayak, terutama pelajar supaya menyerap segala ilmu dan pengalaman yang dikongsikan oleh SN dan meyakini puisi dapat menjadi alat untuk mengukuhkan sifat insaniah dalam diri pelajar.

Mewakili Ketua Pengarah DBP, Puan Nurul Julia Alani Henry merakamkan penghargaan dan terima kasih atas kerjasama yang diberikan oleh UnIPSAS dan DPMP dalam menjayakan program syarahan oleh Sasterawan Negara.

Bagi pihak DBP juga, beliau berharap kerjasama sebegini akan berterusan dalam usaha DBP memartabatkan bahasa kebangsaan dan menyemarakkan kesusasteraan tanah air.

YB Dato’ Sri Haji Shafik Fauzan Haji Sharif memulakan ucapan perasmiannya dengan menyebut ayat dalam al-Quran, Surah al-Alaq, iaitu “Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk)”.

Beliau menegaskan betapa penting dan perlunya untuk membaca, termasuklah menelaah buku puisi kerana puisi sudah dijadikan medium untuk memuji keagungan Tuhan dan memashyurkan agama Islam sejak zaman Rasulullah SAW.

Di samping itu, beliau yang merupakan pelajar aliran sastera semasa bersekolah dahulu turut berkongsi pengalamannya membaca dan mengkaji novel Badai Semalam karya Khadijah Hashim yang dijadikan teks kajian untuk pelajar pada ketika itu.

Banyak keindahan bahasa yang dikesan dalam novel berkenaan, malah beliau bersyukur kerana mempelajari teks sastera walaupun kini beralih kepada arena politik dan menjadi wakil rakyat.

Dalam majlis ini, YB Dato’ Sri Haji Shafik Fauzan turut melancarkan Kelab Aspirasi Suara UnIPSAS dan Kelab Sayap Remaja DPMP serta menyerahkan perakuan pendaftaran kedua-dua kelab tersebut kepada wakil kelab berkenaan.

Tetamu kehormat dan para jemputan seterusnya dihiburkan dengan persembahan puisi artistik oleh pelajar UnIPSAS dengan konsep persembahan yang cukup menarik melalui suntikan elemen moden yang diselangi langkah gerak silat dan iringan alat muzik tradisional.

Dato’ Rahman Shaari menandatangani buku puisinya yang dibeli oleh tetamu yang menghadiri syarahan beliau.

Dalam sesi syarahannya, SN Dato’ Rahman membaca beberapa sajak, termasuklah sajak tulisan Muhammad Haji Salleh yang bertajuk “Tidurlah Anak”. Dalam sajak tersebut terungkap 1001 makna untuk ditafsirkan oleh pembacanya.

Menurut Dato’ Rahman,

Ada beza antara angka 1000 dengan 1001. Kalau disebut 1000, itu suatu angka yang tepat yang jelas menyatakan jumlahnya 1000. Akan tetapi jika disebut 1001, itu sebenarnya suatu metafora dalam bentuk angka yang menyatakan jumlah itu abstrak, tidak diketahui berapa jumlah yang sebenarnya. Bahkan angka 1001 juga sering digunakan untuk menyatakan suatu jumlah yang sangat banyak atau tidak terhingga banyaknya.

Dato’ Rahman turut mengetengahkan teknik persembahan puisi artistik dan membicarakan makna dalam puisi yang diselangi dengan gaya persembahan puisi artistik.

Dalam sesi soal jawab, para pelajar cukup teruja untuk bertanyakan soalan kepada Sasterawan Negara. Antara soalannya, “Apakah perbezaan antara sajak dan puisi?”, “Apakah perbezaan sajak dan lirik lagu?”, dan “Bagaimanakah pantun dapat dijadikan alat untuk pembangunan diri pelajar?”

Ternyata, syarahan yang disampaikan oleh SN ke-15 ini berjaya menarik perhatian sejumlah 450 orang tetamu jemputan yang terdiri daripada pelajar, guru, pensyarah dan kakitangan awam, termasuklah kakitangan dan pelajar UnIPSAS serta ahli DPMP.

Sememangnya program yang mengetengahkan SN ini wajar dipergiatkan sejajar dengan perkembangan persuratan Melayu tanah air. Program sebegini juga menjadi medan untuk memperlihatkan pentingnya hasil karya SN yang diiktiraf oleh kerajaan Malaysia untuk dibicarakan dan dihayati, terutama dalam kalangan generasi muda seperti pelajar pada peringkat universiti.

Selain itu, program ini juga dapat membugarkan rasa cinta khalayak terhadap seni sastera, selain memupuk minat pelajar terhadap karya sastera seperti novel, cerpen, dan puisi.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.