21 September 2023, 12:58

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Buat julung kalinya, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menganjurkan Pertandingan Filem Pendek Adaptasi Cerpen DBP.

Poster pertandingan.

Pertandingan yang menawarkan hadiah wang tunai secara keseluruhannya berjumlah RM15 ribu ini hanya terbuka kepada pelajar ASWARA sahaja.

Idea penganjuran pertandingan yang dianggap sebagai projek khas kolaborasi ASWARA dan DBP ini menyasarkan tiga matlamat, iaitu:

  1. Mencungkil bakat dan mencabar kreativiti pelajar ASWARA dalam penulisan skrip filem pendek adaptasi cerpen dan pembikinan filem pendek berdasarkan cerpen yang diadaptasi.
  2. Mengangkat martabat cerpen sebagai kesusasteraan Melayu kepada medium filem pendek yang lebih segar dan menarik.
  3. Menjadikan filem pendek sebagai wadah untuk menyalurkan mesej dan nilai-nilai murni kepada khalayak.

Tiga cerpen terbitan DBP yang dipilih oleh penganjur untuk diadaptasi dalam bentuk filem pendek ialah “Cinta Sarah Leong” karya Malim Ghozali P.K, “Jerung Bursa” karya Azman Nordin dan “Kasut” karya Rebecca Ilham.

Sesuai dengan nama filem pendek, pertandingan ini menetapkan syarat penghasilan filem pendek hanya berdurasi tiga hingga 10 minit. Bagi memudahkan peserta yang menyertai pertandingan ini untuk menulis skrip, penganjur menetapkan tema “Kehidupan” dalam penghasilan filem pendek.

Secara khususnya, peserta perlu menyediakan filem pendek adaptasi cerpen terbitan DBP bertemakan “Kehidupan” yang mengandungi nilai-nilai murni, motivasi dan perpaduan, serta mendukung gagasan Malaysia MADANI.

Pelajar yang hadir mendengar taklimat.

Menepati makna adaptasi, peserta pertandingan dibenarkan membuat pengubahsuaian sebanyak 60% daripada teks asal, iaitu cerpen dalam penghasilan filem pendek.

Namun demikian, watak dan perwatakan utama dalam teks asal hendaklah dikekalkan, manakala penambahan watak adalah dibenarkan. Begitu juga dengan jalinan cerita, tema dan mesej dalam cerpen hendaklah dikekalkan.

Syarat yang paling penting ialah filem pendek yang dihasilkan tidak mengandungi kata-kata yang kesat, imej yang lucah atau berunsur seksual, unsur LGBT, percanggahan akidah, mencabar undang-undang, unsur keganasan serta sensitiviti kaum dan agama.

Sebagai panduan untuk pelajar menghasilkan filem pendek, taklimat khas kepada pelajar ASWARA, khususnya dari Fakulti Penulisan Kreatif dan Filem telah diadakan pada 19 September 2023 bertempat di Pawagam Jalan Ampas, Bangunan Lokakarya, ASWARA.

Pengarah DBP Wilayah Tengah, iaitu Puan Nurul Julia Alani Henry telah menyampaikan taklimat berkaitan dengan aspek bahasa dan penulisan skrip, serta aspek lontaran dialog. Aspek teknikal dan kreativiti pula disampaikan secara dalam talian oleh Encik Shaffi Khan Gulab Khan.

Secara khususnya, penghasilan filem pendek akan dinilai dari aspek ketepatan tema dan adaptasi, kreativiti pembikinan, skrip, bahasa dan faktor “wow”.

Pendaftaran untuk menyertai pertandingan ini telah dibuka pada 4 September 2023. Penyertaan boleh dikemukakan secara individu atau berkumpulan. Setiap peserta juga dibenarkan menghantar lebih daripada satu penyertaan tetapi hanya 12 penyertaan filem pendek akan dipilih pada peringkat akhir.

Pihak ASWARA juga akan memuat naik 12 filem pendek terbaik di Facebook ASWARA bermula pada 4 November dan filem pendek yang mendapat tanda suka terbanyak akan memenangi kategori “Anugerah Pilihan Penonton”.

Tarikh akhir untuk menghantar hasil karya ialah pada 27 Oktober 2023. Pengumuman pemenang pertandingan akan diumumkan pada 5 November 2023 dan majlis penyampaian hadiah dijangka akan berlangsung pada 10 November 2023.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.