18 September 2023, 14:44

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Perak – Bersempena dengan sambutan ulang tahun pembentukan Malaysia pada 16 Setember 1963, pengkarya muda Syahidatul Munirah memaknai sambutan tersebut dengan mempersembahkan teater syair “Redap Duka Pulau Seychelles”.
Teater syair yang diilhamkan sendiri oleh Syahidatul ini dipersembahkan di Perkampungan Warisan Budaya Pulau Misa Melayu, Bota, Perak, yang bertepatan dengan pengisahan sejarah negeri Perak.
Satu daripada babak dalam teater syair “Redap Duka Pulau Seychelles”.
Signifikannya teater syair ini kerana olahan ceritanya mengambil peristiwa pembunuhan Residen British, J.W.W. Birch di Pasir Salak. Akibat pembunuhan tersebut, Sultan Abdullah dan beberapa pembesar Melayu dibuang negeri oleh Inggeris di Pulau Seychelles, Afrika.
Uniknya teater syair ini juga kerana selain diselang seli dengan dendangan syair, acara pembukaan dan lokasi persembahannya yang menyerapkan aura kehidupan rakyat Melayu, pembesar istana dan kebesaran sultan pada zaman dahulu.
Setiap babak teater syair dipersembahkan di tengah pentas yang berupa gelanggang dengan khalayak yang datang dari kawasan berhampiran memenuhi setiap ruang yang ada.
Teater syair ini memukau khalayak yang bersorak apabila tiba babak J.W.W. Birch dibunuh oleh Datuk Maharaja Lela. Babak ini jelas memberikan mesej bahawa rakyat Tanah Melayu dahulu tidak diam dan gentar walaupun dihenyak oleh penjajah yang zalim.
Selain dijayakan oleh pelakon yang sudah biasa berteater di bawah arahan Syahidatul, teater syair ini juga cukup menarik dengan penampilan kumpulan Silat Gayong Gelanggang Tujuh Harimau. Dengan gerak silat yang kemas, lakonan pesilat kanak-kanak ini mendapat tepukan daripada khalayak.
Persembahan teater syair ini berjaya direalisasikan hasil kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Utara, Persatuan Kebudayaan dan Kesenian Muallim, Perkampungan Warisan Budaya Pulau Misa Melayu, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Negeri Perak, dan Anjung Seni Nilakandi.
Yang turut menyaksikan persembahan teater syair ini ialah Pengarah JKKN, Encik Abdul Rashid Abdullah, Pengarah DBP Wilayah Tengah, Puan Nurul Julia Alani Henry, Timbalan Pengarah DBP Wilayah Utara, Puan Khairul Anum Mohd Ali, dan Presiden Persatuan Kebudayaan dan Kesenian Muallim, Encik Mohd Aqi Mohd Azmi.
Selain persembahan teater syair, Perkampungan Warisan Budaya Pulau Misa Melayu juga mengadakan beberapa aktiviti seperti memanah, berkuda dan acara berbusana Melayu tradisional.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.