15 September 2023, 10:26

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Apakah kepentingan sastera? Adakah sastera memberikan nilai tambah terhadap kemajuan negara? Adakah benar sastera itu berlegar dalam kelompok sama yang mana sifatnya dianggap tertutup?

Apabila sastera dihubungkan dengan “kemajuan”, hasilnya bukan sesuatu yang dapat diukur dengan kebendaan atau material, melainkan pemikiran dan daya fikir masyarakat yang terbina ke arah yang lebih baik disebabkan hasil daripada bahan bacaan yang dibaca.

Pemikiran yang dianggap madani itulah akan membentuk akhlak dan sahsiah mulia dalam kalangan masyarakat khususnya, pembaca.

Maka itu, keberadaan karya sastera yang dianggap bermutu dan bernilai itulah yang menjadi petanda lahirnya pengarang yang mewakili dekad dan zamannya. Umpamanya, dekad 1940-an atau 1950-an, kita didendangkan dengan nama A. Samad Ismail, Keris Mas, Usman Awang dan Shamsuddin Salleh.

Sepanjang dekad 2000 hingga tahun 2019, barangkali Malim Ghozali PK, S.M. Zakir, Roslan Jomel, Marsli N.O, Fahd Razy Lutfi Ishak, Hafizah Iszahanid, Salina Ibrahim, Siti Jasmina Ibrahim dan Ruhaini Matdarin.

Nisah Haron melalui Nisah Haron Online menyatakan bahawa sastera bukanlah sekadar buku cerita, bukan sekadar puisi. Bagi beliau, sastera merupakan seni kata-kata untuk menyampaikan sesuatu yang bermanfaat bagi tamadun, mengajak pembacanya berfikir dan mendorong pembaca melakukan kebaikan serta menimbulkan rasa insaf.

Sebuah karya sastera pula mewakili bangsa dan negaranya yang akan memberikan beberapa perkara, antaranya seperti jati diri, patriotisme dan rasa syukur.

Lantaran itu, untuk melihat dan mengklasifikasikan kemajuan sastera ini bertambah atau berkurang, satu penelitian berkaitan dengan sejarah atau tahap perkembangannya berdasarkan dekad dan tahun perlu dilakukan.

Tahap ukur untuk menetapkan karya dan pengarang yang mewakili dekad, satunya dilihat dari aspek pencapaian dan pengiktirafan karya mereka melalui hadiah sayembara pelbagai peringkat, atau paling utama melalui Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM) yang diadakan dua tahun sekali.

Selain itu, bersetuju atau tidak, sastera tidaklah jumud sifatnya dan dikotomi oleh individu tertentu, atau berada dalam “bulatan” yang sama tanpa berubah bentuknya.

Maksudnya, sastera bercambah dan merentas sempadan geografi, bangsa, agama, dan bidang ilmu. Misalnya, bagaimana munculnya individu yang bukan dalam bidang sastera menjadi seorang pengarang sastera yang beridentiti, termasuklah individu yang pakar dalam bidang perubatan (psikiatri, pembedahan, farmasi), atau tokoh korporat dan perniagaan, serta kejuruteraan dan seni bina.

Sebahagian daripada mereka meminati dunia perkaryaan puisi, dan kebanyakannya telah muncul sebagai pendeklamasi sajak dalam banyak acara sastera tanah air.

Oleh itu, atas kesedaran inilah, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melalui Bahagian Penyelidikan Sastera menggerakkan fungsi terasnya, iaitu memperbanyakkan kajian dan korpus sastera terutama dalam bidang sejarah dan perkembangan sastera tanah air.

Kerja pengumpulan kertas kajian melalui seminar, kolokium dan bengkel penyelidikan yang diadakan bukanlah satu wacana ilmiah yang bersifat satu hala tanpa hasil, tetapi didokumentasikan untuk diterbitkan dalam bentuk buku.

Begitu pentingnya bahan yang didokumentasikan kerana akan menjadi rujukan generasi akan datang, bukan sekadar kepada sarjana sastera, tetapi untuk rujukan peneliti yang luar bidang sastera, termasuklah penulis dan pembaca umum.

Sejarah yang difahami bukan hanya perihal perjuangan kemerdekaan, terhunusnya pedang, tertusuknya keris, tetapi tertumpahnya dakwat, lakaran pena dan petikan papan kekunci dalam bentuk karya (puisi, cerpen, novel, drama, esei kritikan) wajar menjadi rakaman dan khazanah negara.

“Kajian sastera yang tertulis dalam bahasa Melayu, terutama sastera sezaman (contemporary literature), hendaklah dipergiatkan lagi. Hasil sastera Melayu moden semakin hari semakin banyak. Oleh itu, kajian mengenai hasil sastera ini, sangatlah penting dilaksanakan, dan hasilnya dibukukan untuk pengetahuan banyak orang.

Pada masa sekarang, tidak ada sebuah buku yang lengkap mengenai sejarah kesusasteraan Melayu moden. Buku seperti ini merupakan dokumen atau rekod perkembangan sastera kita sejak zaman mulanya sastera Melayu moden hingga hari ini, dan sangat berguna, bukan sahaja kepada penuntut sekolah dan universiti, tetapi juga kepada pembaca umum.

Petikan ini merupakan ucapan oleh Tun Hussein Onn dalam Seminar Kesusasteraan Nusantara di Balai Seminar DBP pada 13 April 1973.

Kesinambungan daripada saranan tersebut, hasil pembentangan dan tulisan kajian itu diselenggarakan dan diterbitkan oleh DBP, iaitu bermula pada tahun 1964,  diterbitkan kajian Sejarah Kesusasteraan Melayu, Sejarah Kesusasteraan Melayu Jilid I, Sejarah Kesusasteraan Melayu Jilid II, Kesusasteraan Melayu Moden 1920-1940, Sejarah Kesusasteraan Melayu, Penelitian Sejarah Kesusasteraan Melayu Moden 1940-1969, Kesusasteraan Melayu Moden 1970-1979, Kesusasteraan Melayu Moden 1980-1989 dan Kesusasteraan Melayu Moden 1990-1999.

Hasil pembentangan dan tulisan kajian diselenggarakan dan diterbitkan oleh DBP.

Kajian seumpamanya ini diteruskan, dan kini, pada 25 Julai 2023, Bengkel Penyelidikan Kajian Kesusasteraan Melayu Moden (2000-2019) telah diadakan di Balai Seminar Tun Hamdan Syeikh Tahir, Aras 6, Wisma DBP, Kuala Lumpur.

Sebanyak 28 pembentang dalam kalangan sarjana dan peneliti sastera yang terlibat menghasilkan kajian dengan pembahagian lima (5) kumpulan penyelidik berasaskan jenis genre.

Kumpulan genre puisi diketuai oleh Shamsudin Othman, genre cerpen diketuai oleh Mawar Safei, genre novel pula oleh Hashim Ismail, Nur Afifah Vanitha Abdullah mengetuai genre drama dan genre esei dan kritikan diketuai oleh Mohd Zariat Abdul Rani.

Mohd Zariat Abdul Rani.

Kajian umum berkaitan dengan peranan media, sumbangan institusi dan sayembara selama dua dekad pula dirungkaikan oleh Norhayati Abd. Rahman, Azman Ismail dan Mohamad Saleeh Rahamad.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.