Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangSeni adalah tentang proses. Untuk menjalani proses yang menyeronokkan, penggiat seni perlu ada keterujaan meneroka pada kadar yang maksimum. Percubaan tidak semestinya berjaya, tetapi menolak cuba dan mengelak kesalahan merupakan suatu kegagalan memahami proses.
Pada 4 dan 5 Ogos 2023, penulis berpeluang ke Panggung Eksperimen Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) untuk melihat pementasan ProSA Mania: VeruSenja, iaitu projek akhir pelajar kursus Asasi ASWARA.
Menggabungkan dua cerita; Isim dan Suri, yang dipentaskan hanya 30 minit setiap satu. Selang antara persembahan, terdapat persembahan nyanyian dan tarian yang disajikan kepada penonton. Malam itu, semuanya bersatu dengan baik, terutama ketelitian dan rapi teknikal.
Ada satu babak yang membekas dalam kepala; sewaktu lampu sorot menyuluh anak lelaki selepas dia mengalahkan “guru” dan juga kawan yang menikam belakang ayahnya sehingga menyebabkan dia menjadi anak yatim.
Dari jauh, ibu hanya memandang luluh sambil terselit pedih gembira kerana akhirnya, kebenaran muncul. “Guru” pula terlantar mati di atas lantai sambil anak lelaki mengangkat tangan, memandang awan. Lampu menghala ke arah anak lelaki tersebut, seolah-olah itulah kejayaan paling ulung, dan perlu menyambutnya dengan penuh rasa bangga. Seolah-olah alam bersetuju dan berkata, “Sila. Sila raikan sungguh-sungguh”. Waktu itu, sunyi memenuhi panggung dan remang naik di seluruh tangan penulis.
Mungkin kita boleh kata, “Iyalah, mereka belajar seni. Memanglah hebat. Memanglah boleh buat bulu meremang.” Namun demikian, ada satu perkara yang tidak boleh kita lupa ialah tanpa ijazah dan tanpa hala yang betul-betul pasti, pementasan ini cuma menampilkan pelajar Asasi Seni Kreatif, macam program Asasi Sains di universiti lain. Kalau faham, pengetahuan mereka masih asas dan ada banyak lagi peluang dan ruang yang perlu mereka teroka.
Orang kata, mereka ini baru bebas daripada sekolah, masih jauh daripada selok-belok industri yang payah. Selain itu, boleh dikatakan juga bahawa mereka masih cetek ilmu. Dengan ilmu yang banyak sekali pun, belum tentu rinding akan hadir.
Penulis telah meninggalkan kursus yang sama empat tahun lepas dan masih mempunyai pendapat yang sama. Kursus Asasi di ASWARA merupakan langkah paling penting dalam memahami sepenuhnya tentang bagaimanakah proses pembelajaran itu perlu berfungsi?
Tiga semester untuk satu tahun, tempoh masa sebenarnya terlalu singkat, tetapi menawarkan bermacam-macam ruang. Pada semester pertama, pelajar akan mengikuti semua bidang yang ditawarkan di ASWARA, antaranya termasuklah penulisan kreatif, filem, rekaan visual, animasi, muzik, tari, teater dan pengurusan.
Semester berikutnya, pelajar boleh menyambung empat bidang pilihan dan pada semester terakhir, pelajar cuma dibenarkan memilih dua bidang yang mereka inginkan. Dua bidang tersebutlah akan menjadi penentu sebelum mereka melangkah pada peringkat ijazah sarjana muda.
Jadi, pada dasarnya program ini merupakan ruang untuk pelajar meneroka bidang seni apakah yang mereka mahu cebur?
Pementasan VeruSenja merupakan bukti kejayaan program ini dalam membuka peluang yang rencam kepada pelajar-pelajarnya. Pada malam pementasan, bukan semua pelakon akan menyambung pengajian dalam bidang teater. Begitu juga dengan tari, pengurusan dan bidang lain. Mereka mungkin akan memilih bidang seni yang berlainan.
Pelajar-pelajar ini hanya mencuba atau sebenarnya, meneroka sesuatu yang mereka mampu lakukan, teroka perkara yang boleh mendatangkan perasaan seronok dan apa-apa kemungkinan yang mereka boleh lakukan untuk berkarya.
Inilah kuasa penggabungan lapan bidang di bawah satu program. Selain itu, inilah kuasa yang dimiliki oleh pelajar silang bidang. Keterbukaan untuk meneroka, membuat kesalahan dan memahami sepenuhnya proses pembelajaran akan melahirkan penggiat seni yang matang.
Ini adalah proses yang jarang-jarang berlaku apabila masuk ke fasa pembelajaran yang lain nanti, apabila masuk ke sebuah fakulti yang khusus pada satu-satu bidang sahaja. Tepu dan hampir menyebalkan, terutama kerana setiap bidang terpisah dan tidak ada ruang interaksi yang boleh berlaku seiring proses pembelajaran di dalam kelas.
Selain berbual di kafe atau hostel, borak-borak pelajar silang bidang di dalam kelas tidak akan wujud. Yang menulis hanya berborak dengan yang menulis. Yang berlakon akan berborak dengan yang berlakon. Ketika inilah proses pembelajaran akan tergendala dan penerokaan akan menjadi lagi mencabar; untuk keluar atau untuk kekal di satu sudut selesa?