25 Ogos 2023, 10:47

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Presiden Majlis Buku Kanak-kanak dan Remaja Malaysia (MBBY), Dato’ Ahmad Redza Ahmad Khairudin menyeru kepada penulis dan penerbit tanah air supaya mengangkat sastera kanak-kanak negara pada tahap yang lebih tinggi, dan membanggakan.

Hal ini dikatakan demikian kerana sastera kanak-kanak tempatan masih ‘tidak dipandang’ di negara sendiri. Jadi, agak sukar dan mustahil untuk sastera kanak-kanak kita tampil gah di pasaran antarabangsa jika di negara sendiri pun tidak ke mana-mana.

Dalam konteks penulis, mereka perlu membaca karya sastera kanak-kanak untuk membantu mereka membina kreativiti ketika berkarya.

Sebaliknya bagi penerbit pula, mereka perlu memainkan peranan dengan melakukan penyelidikan dari segi daya penarik di pasaran. “Penulis dan penerbit tempatan perlu belajar lebih banyak perkara,” ucap beliau sambil menegaskan bahawa tahap gemar membaca di Indonesia, Thailand, dan Nepal jauh mengatasi negara kita.

Dato’ Ahmad Redza Ahmad Khairudin (kiri) semasa menjadi ahli panel dalam “Sesi Bicara Sastera: Masa Depan Sastera Kanak-kanak di Malaysia”.

Ahmad Redza menyatakan sedemikian semasa menjadi ahli panel “Sesi Bicara Sastera: Masa Depan Sastera Kanak-kanak di Malaysia” bersempena dengan Festival Sastera Kanak-kanak (FSK) 2023, di Perpustakaan Negara Malaysia (PNM), pada 23 Ogos 2023.

Selain meminta masyarakat menyokong penulis dan penerbit buku sastera kanak-kanak, beliau menggesa supaya kerajaan menyediakan dana penerbitan yang munasabah agar penulis dan penerbit sama-sama dapat bertahan.

Turut terlibat sama sebagai ahli panel ialah Ketua Jabatan Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia, iaitu YBrs. Prof. Madya Dr. Nik Rafidah Nik Muhammad Affendi.

Menurut Prof. Madya Dr. Nik Rafidah, penulis dan penerbit buku sastera kanak-kanak perlu mengetahui pembaca sasaran untuk karya yang mereka hasilkan. Jika tidak, sia-sia sahaja segala penat lelah berkarya.

Selain itu, beliau juga membetulkan tanggapan umum berkaitan dengan cerita rakyat dan cerita kanak-kanak. Jelas beliau, cerita rakyat bukan cerita kanak-kanak, tetapi kanak-kanak yang tertarik pada beberapa buah cerita rakyat.

Selain dana yang munasabah, saya berharap sastera kanak-kanak dapat dipromosikan sebagai unsur penting membentuk masa depan negara.

Sesi Bicara tersebut merupakan satu daripada beberapa acara yang mengisi FSK 2023 yang diadakan bermula pada 23 hingga 24 Ogos 2023. Festival kelolaan PNM ini diadakan adalah bertujuan untuk menyokong kerangka Kembara Perpaduan Malaysia MADANI di bawah teras Ekosistem Perpaduan, iaitu Komuniti Rahmah.

Acara lain termasuklah “Bengkel Teknik Bercerita Interaktif”, “Sesi Bercerita”, “DIY Si Comel”, “Mewarna”, “Demonstrasi Dr. Buku”, “Promosi Perkhidmatan Digital u-Pustaka” dan jualan.

Pameran perkhidmatan daripada agensi/badan berkanun/NGO menerusi penyertaan Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional, Jabatan Muzium Negara, Perbadanan Kota Buku, MBBY, Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor, Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia, Pusat Sains Negara, Planetarium Negara, Yayasan Bank Rakyat, MY Digital Maker by MDEC, Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam, Jabatan Meteorologi Malaysia, dan Edutool Apps Sdn. Bhd. turut diadakan.

FSK 2023 yang melibatkan kerjasama daripada pelbagai agensi kerajaan, badan berkanun dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) ini selaras dengan usaha PNM meningkatkan amalan budaya membaca dan memupuk semangat perpaduan dalam kalangan generasi muda menerusi kegiatan penulisan, pembacaan dan penceritaan, serta menyemarakkan dunia sastera kanak-kanak di Malaysia.

Penganjurannya juga dilihat dapat membina kesedaran masyarakat terhadap pembangunan kesusasteraan kanak-kanak, dan awal remaja, menyokong pembelajaran sepanjang hayat, serta menghimpunkan karyawan seperti penulis, ilustrator, pencerita, dan penggiat sastera kanak-kanak dalam satu platform khas untuk memperkasa industri pembukuan kanak-kanak di Malaysia.

Perasmian FSK 2023 telah disempurnakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara, iaitu Dato’ Indera Noridah Abdul Rahim.

Dengan menyasarkan lebih 3000 orang pengunjung, KPN berharap FSK 2023 yang dibuka secara percuma seawal pukul 10.00 pagi hingga 5.00 petang ini, dapat memberikan ruang dan peluang yang luas kepada cendekiawan, karyawan, seniman, budayawan termasuklah pemain industri pembukuan kanak-kanak di Malaysia agar terus berkembang, serta mampu menjadi hab kesusasteraan kanak-kanak di rantau Asia Tenggara.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.