15 Ogos 2023, 16:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sesebuah karya perlu dikritik untuk terus hidup. Walaupun karya tersebut perlu dibicarakan dalam konotasi yang positif atau negatif, selagi mana karya itu dibicarakan, maka sesebuah karya itu akan terus hidup.

Kritikus muda yang pernah memenangi Hadiah Sastera Selangor (HSS) dan Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM), Ahmad Muziru Idham dalam satu acara telah memperkatakan tentang dua kumpulan cerpen ialah Monotaip oleh Balqis Bakri dan Cantara Berkunang-kunang oleh Nurin Amani.

Kedua-dua karya ini telah dilancarkan oleh Sasterawan Negara Dato’ Dr. Anwar Ridhwan, bertempat di Pusat Penyiaran ASWARA (PPA), Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan.

Nurin Amani dan Balqis Bakri bersama-sama Naim Al-Kalantani (kiri), Ahmad Muziru Idham (kanan) bergambar kenangan dengan S.M. Zakir.

Sebagai seorang kritikus yang selalu bergulat dengan karya sastera yang hebat, Muziru berpendapat bahawa dua buah kumpulan cerpen ini merupakan karya yang saling melengkapi. Walaupun kedua-duanya membawa genre dan tema yang berbeza, namun kekuatan karya tersebut berjaya membawa pembacanya menyelami dua realiti, iaitu kehidupan maya dan fizikal.

Selain itu, beliau juga menyatakan bahawa kedua-dua kumpulan cerpen ini memperlihatkan objek realiti yang ditampilkan dalam kumpulan cerpen Monotaip. Karya tersebut banyak menyentuh realiti kehidupan masyarakat dan perkara-perkara yang dialami oleh individu dalam kehidupan seharian seperti laman sosial dan perkhidmatan dalam talian.

Bagi Muziru, kumpulan cerpen ini tidak bergelut dengan idea yang sarat, namun realiti yang dipersembahkan pada setiap sisi ceritanya. Penulisan yang santai dan bersahaja tanpa memerincikan keindahan bahasa sastera membawa gaya Balqis Bakri dalam membina imej dan stailnya kepada pembaca, sekali gus isu yang moden dan terkini mengikut peredaran zaman.

Kumpulan cerpen Cantara Berkunang-kunang oleh Nurin Amani pula memperlihatkan subjek realiti melalui pembinaan ideanya yang banyak berhubung dengan isu dan masalah wanita serta penulisan yang bermain dengan metafora. Wacana yang menarik dan bervariasi turut menjadi penguat dalam kumpulan cerpen ini.

Nurin Amani juga dianggap sebagai penulis yang berani apabila mengetengahkan isu tabu dan menyentuh isu orang kurang upaya (OKU) serta penyakit ganjil yang dialami oleh wanita untuk membuka mata sekali gus menyedarkan masyarakat tentang masalah yang jarang-jarang atau tidak pernah diketahui oleh kebanyakan orang.

Berbeza daripada Monotaip, Cantara Berkunang-kunang mempunyai kekuatan dari segi keindahan bahasanya yang turut dikaitkan seperti gaya penulisan Mawar Safei.

Walaupun begitu, kekurangan dalam sesebuah karya itu pasti wujud. Hal ini disentuh oleh Naim Al-Kalantani yang mengatakan bahawa plot peleraian dalam Monotaip dilihat berulang-ulang menyebabkan pembaca dapat menebak bagaimanakah penamatnya. Dalam hal ini, beliau melihat Balqis Bakri lemah dari segi penggunaan atau penguasaan bahasa.

Kritikan Naim untuk cerpen “Mawar Rumah” dalam kumpulan cerpen Cantara Berkunang-kunang. Naim cuba menyentuh dan mencari kelogikan perihal watak seorang ibu yang kehilangan anak, namun sempat memohon pekerjaan di sebuah restoran dalam tempoh pencarian anaknya. Akhirnya si ibu menemukan anaknya, iaitu Mawar di restoran tersebut. Baginya, tidak masuk kewarasan akal bagi ibu yang kehilangan anak untuk meminta kerja secara tidak sengaja di restoran itu.

Berbeza daripada Muziru, baginya mengkritik karya bukan hal yang sewenang-wenangnya boleh pengkritik lakukan. Sekurang-kurangnya, pengkritik harus membaca karya tersebut secara berulang-ulang tujuannya untuk mengenali karya tersebut, seterusnya memahami isi dalam karya dan yang terakhir menganalisis segala sudut, dan aspek serta tema dan pemikiran dalam karya tersebut.

Seorang pengkritik masih lagi seorang pembaca yang hanya mengambil sudut pandang terhadap sesebuah karya sebagai seorang pembaca. Untuk memahami dan menganalisis sesebuah karya bukan dengan keseluruhan dan setiap inci perkataan namun terhadap kunci-kuncinya dan isi yang tersirat untuk benar-benar memahami mana-mana karya.

Tidak adil sekiranya hanya puji-pujian tanpa menyentuh kekhilafan kecil di balik kumpulan cerpen oleh dua orang penulis baharu oleh Muziru terhadap karya mereka. Dalam kebernasan membuka mata pembaca menerima realiti fizikal dan maya dalam kumpulan cerpen Monotaip, Muziru berpendapat bahawa sebahagian watak yang muncul berkali-kali membina kesinambungan namun tidak berkait seiring dengan cerita.

Prolog dan epilog yang digambarkan oleh pengarang dalam bentuk certot (cerita kontot) juga tidak mempunyai kesinambungan antara satu sama lain. Hal tersebut menimbulkan tanda tanya dan kekeliruannya sebagai pembaca untuk memahami dengan lebih jelas tentang gaya dan penyampaian Balqis Bakri dalam Monotaip.

Cantara Berkunang-kunang juga tidak kalah dikritik dalam beberapa cerita dalam kumpulan cerpen ini. Misalnya, “Sekuntum Dahlia di Tangan Muhammad” yang menampilkan unsur-unsur romantis islamik. Selain itu, watak lelaki yang mengalami kekaburan sifat maskulin kerana kesempurnaan dan sifat yang sangat ideal serta ayat-ayat al-Quran yang digunakan pada setiap petikan ayat dalamnya membuatkan cerpen tersebut mengalami kelonggaran dalam kepaduan jalan cerita dan tidak sekuat cerpen-cerpen yang lain.

Sebaliknya, “Nisamu dalam Kitab Cinta” memaparkan kekuasaan dinamik masyarakat yang tidak kukuh sehingga menampakkan sisi seorang wanita hilang haknya dalam memilih jalan hidup seperti memilih pasangan misalnya. Bagi Muziru, tidak relevan untuk direalisasikan pada masa ini yang lebih moden dan lebih keterbukaan dari pelbagai aspek termasuklah hak-hak diri, terutama terhadap wanita, berbeza daripada zaman dahulu yang mana hampir semua keputusan hidup anak-anak diatur oleh ibu bapa.

Perkongsian, teguran dan kritikan oleh Muziru Idham dan Naim Al-Kalantani sedikit pun tidak melunturkan hati dan perasaan dua pengkarya muda ini. Setiap persoalan, pertanyaan dan sanggahan dijawab dengan tenang dan terbuka. Mirip dengan karyanya, Balqis Bakri sangat tenang dan bersahaja mempertahankan karya sulungnya dengan perspektif dari sudut pandangannya yang dikira logik dan relevan untuk diterbitkan dan dinikmati oleh pembaca sebagai sebuah kumpulan cerpen yang segar dan kontemporari.

Beliau juga berharap agar kritikan yang diterima menjadi panduan diri untuk menjadi penulis yang berilmu dan mampu memperbaiki kesalahannya. Katanya, lebih baik karyanya dikritik dan menjadi bualan supaya dia menjadi seorang penulis yang rendah diri dan tidak sombong.

Sama seperti Nurin Amani, baginya, karyanya akan terus dibedah dan dibincangkan dan menjadi pendorong dalam meningkatkan kualiti karyanya pada masa akan datang.

Realiti yang harus dipandang ialah kejayaan dua penulis muda yang berjaya menghasilkan karya sulung mereka. Naim Al-Kalantani turut menyedari kejayaan dua penulis ini. Menurutnya, beliau berasa kagum kerana Balqis Bakri dan Nurin Amani berjaya menyiapkan kumpulan cerpen mereka dalam tempoh 14 minggu sahaja untuk keperluan Penilaian Tahun Akhir (PeTA) dan telah berjaya menawan hati penerbit yang merupakan penilai untuk sesi viva voce tersebut, sekali gus melamar karya ini untuk diterbitkan pada masa itu juga.

Tidak jauh bezanya daripada pandangan Muziru, beliau berpendapat bahawa kedua-dua kumpulan cerpen ini berbaloi untuk dimiliki. Kedua-dua penulis ini mempunyai bakat dalam penulisan walaupun masih harus diasah supaya menjadi penulis yang lebih baik pada masa akan datang.

Beliau juga sempat memberikan pesanan dan saranan agar Balqis dan Nurin teruskan menulis dan tidak berhenti setakat ini sahaja kerana mereka mempunyai kekuatan dan bakat yang tidak seharusnya tersimpan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.