Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Satu acara bedah buku dua kumpulan cerpen terbitan Nusa Centre dengan kerjasama Riwayat berlangsung di kedai buku Riwayat, Jalan Tun HS Lee, pada 22 Julai 2023.
Dua kumpulan cerpen yang dimaksudkan ialah Monotaip karya Balqis Bakri dan Cantara Berkunang-kunang karya Nurin Amani merupakan karya yang masih segar berada di pasaran dan baru sahaja dilancarkan oleh Sasterawan Negara Dato’ Dr. Anwar Ridhwan pada Khamis lalu, di Pusat Penyiaran ASWARA (PPA), Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA).

Muziru Idham yang menjadi pengulas atau pengkritik untuk dua kumpulan cerpen ini berpendapat bahawa hasil karya dua orang penulis muda ini merupakan karya yang saling melengkapi.
Walaupun kedua-duanya membawa genre dan tema yang berbeza, namun kekuatan karya tersebut membawa pembacanya menyelami dua realiti, iaitu realiti kehidupan maya dan kehidupan fizikal.
Muziru yang pernah memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM) dan Hadiah Sastera Selangor (HSS) berpendapat bahawa kedua-dua kumpulan cerpen ini memperlihatkan objek realiti yang ditampilkan dalam kumpulan cerpen Monotaip. Jelasnya,
Dalam Monotaip, banyak menyentuh realiti kehidupan masyarakat dan perkara-perkara yang dialami oleh kebanyakan individu dalam kehidupan seharian seperti laman sosial dan perkhidmatan dalam talian yang lain.
Baginya, kumpulan cerpen ini tidak bergelut dengan idea yang sarat, namun realiti yang diperlihatkan dalam setiap sisi ceritanya. Penulisan yang santai dan bersahaja tanpa memperincikan keindahan bahasa sastera membawa gaya Balqis Bakri dalam membina imej dan stailnya kepada pembaca, sekali gus isu yang moden dan terkini mengikut peredaran zaman.

Dalam pada itu, Muziru berkata kumpulan cerpen Cantara Berkunang-kunang oleh Nurin Amani pula memperlihatkan subjek realiti melalui pembinaan ideanya yang banyak berhubung tentang isu dan masalah wanita serta penulisan yang bermain dengan metafora.
Wacana yang menarik dan bervariasi turut menjadi penguat kepada kumcernya. Nurin Amani juga dianggap berani kerana mengetengahkan isu tabu dan orang kurang upaya (OKU) serta penyakit ganjil yang dialami oleh wanita untuk membuka mata, sekali gus menyedarkan masyarakat tentang masalah yang jarang-jarang atau tidak pernah diketahui oleh kebanyakan orang.
Jelasnya ketika menerangkan keberhasilan karya Nurin dalam acara yang sama. Berbeza daripada Monotaip, Cantara Berkunang-kunang mempunyai kekuatan dari segi keindahan bahasanya yang turut dikaitkan seperti gaya penulisan Mawar Shafie.
Dua kumpulan cerpen ini menjadi manifestasi realiti yang segar untuk tatapan pembaca di luar sana.
Tidak lupa juga, juru acara majlis, Naim al-Kalantani menganggap bahawa acara bedah buku sebegini perlu dipergiatkan lagi wacananya.
Acara sebegini menjadi penting kerana hasil karya yang dibuat oleh setiap pengkarya atau penulis perlu diuji mutunya. Apabila ada orang yang sudi untuk memperkatakannya — walaupun sisi baik atau buruk karya itu – ketahuilah bahawa karya itu tidak akan mati.
Acara ini juga turut dihadiri oleh Pengarah Urusan Nusa Centre, Syed Mohd Zakir Syed Othman (S. M. Zakir); cerpenis terkenal tanah air, Roslan Jomel; penterjemah, Hani Jamal; peminat sastera dan juga penulis muda.