Oleh Roslan Jomel
18 Julai 2023, 10:34

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Dalam buku Peribadi, Buya Hamka melalui tulisannya menjelaskan,

Supaya tercapai, kesempurnaan peribadi, haruslah jelas nyata pendapat akal kita tentang suatu soal, walaupun berbeza daripada pendapat orang lain. Itu bukan perkara kita. Maka orang yang menjadi pak turut, tidaklah jelas pandangan hidupnya. Orang yang tidak merdeka jiwanya daripada pengaruh orang lain, tidak jelas pandangan hidupnya.

Saya pernah mendengar kata-kata hikmah, tidak semua orang tua itu dewasa. Saya menggaru-garu kepala. Kebingungan. Tentu, saya belum mampu memahaminya. Kefahaman saya masih belum berdaya melepasi sempadan yang bersifat ambiguiti. Ungkapan itu mengandungi makna yang terpendam. Atas permukaannya, tampak biasa. Itulah ajaibnya bahasa.

Namun demikian, jika digali, pastinya mengundang suatu renungan khusus berkaitan dengan karakter dan keperibadian seseorang. Alangkah dahsyatnya mutiara bahasa di tangan pujangga berpengalaman. Bagaikan sajak yang ditulis dengan diksi harian, tetapi memiliki maksud berlapis-lapis. Maka itu, saya teringat dengan sajak misteri A. Latiff Mohidin.

Apakah perbezaan antara tua dengan dewasa? Padahal, kata-kata itu kedengarannya mudah. Bukankah setiap manusia bakal melalui proses kedewasaannya seiring dengan usia? Remaja akan melalui perubahan dalam fasa kehidupannya. Seorang warga senior yang berpendidikan tinggi serta mempunyai kedudukan, wajar sahaja menjadi rujukan masyarakat untuk memahami sebarang isu-isu kritikal.

Demikian seseorang yang dilihat kerap menelaah buku-buku serius yang tebal dan bijak pula apabila berdiskusi di depan khalayak ramai, tentu terpuji pula ketika berurusan dengan orang kebanyakan di mana-mana. Walau bagaimanapun, realiti di dunia tidak mengarah ke situ 100 peratus. Usia, pangkat, pendidikan bukan jaminan kedewasaan.

Beberapa tahun kemudian, sedikit demi sedikit saya mengerti maksudnya. Bukan teks yang dibaca, tetapi “isi” subteksnya. Ternyata, kematangan seseorang bukan diukur pada janggut atau saiz fizikal. Apatah lagi pada kekuatan otot. Namun pada tingkat pemikirannya. Itulah asasnya.

Banyak orang muda yang lebih cerdas dan rasional berbanding dengan sebahagian orang berusia. Adakah pemikiran tidak sejalan dengan penambahan usia? Banyak umur, tidak menentukan kekayaan fikirnya. Semakin dalam dan canggih pemikirannya, akan mengangkat darjah dan tahap kebijaksanaan seseorang mendepani sebarang isu. Tidak semestinya seorang profesor tahu semua hal yang bukan dalam skop pengajiannya.

Demikian juga dalam urusan penulisan seseorang. Adakah yang ditulis pada usia belasan tahun, sejajar dengan jangkauan emosi, intelek dan pengalaman pada tahap itu? Namun demikian, andai sudah berusia 30 tahun ke atas, apakah pengarang itu masih lagi bertahan dengan bentuk penulisan sedemikian? Asyik dan ghairah dengan eksperimen.

Jika seseorang penulis itu berjaya melepasi zon keselesaannya dalam tema pengkaryaan, apakah sebab-sebab yang merangsang penulis itu meneroka wilayah baharu? Pembacaan dan pengalaman? Andai penulis itu, walaupun sudah beruban rambut, tetapi ufuk pemikiran tetap sahaja tidak berganjak seperti anak muda, apakah pula penyakit yang dia alami? Persekitaran dan kecenderungan peribadi?

Dalam bidang penulisan karya kreatif, ada beberapa orang sasterawan besar yang menyarankan sekian petua dan motivasi kepada pengarang muda untuk kekal fokus dalam proses menajamkan penulisan. Ada yang mendorong pengarang muda untuk keluar mengembara. Bukan hanya melekat di daerah setempat. Dunia ini luas berbanding dengan skrin telefon pintar.

Selain itu, ada juga yang mencadangkan supaya pengarang muda mempelbagaikan jenis bacaan, tidak sekadar menumpukan pada tulisan kreatif sahaja. Dua pesanan itu amat bermanfaat dalam meninggikan daya kematangan dan tingkat kecanggihan dalam urusan penulisan. Namun untuk berubah, pastinya memerlukan kekuatan dan desakan dari dalam seseorang pengarang itu. Tidak semestinya digoda oleh hadiah dan sayembara.

Transisi bukan sekadar peralihan. Mana Sikana telah pun menyentuh aspek kedewasaan dalam bidang penulisan menerusi satu daripada eseinya yang bertajuk “Cinta dan Perjuangan Sebagai Jati Diri Keris Mas”.

Berdasarkan penelitian dalam esei itu, Mana menjelaskan,

Setiap pengarang haruslah berusaha untuk menemukan atau mencari peribadi masing-masing dalam berkarya. Untuk mencapainya, tidak ada jalan selain daripada menghasilkan karya-karya yang unggul. Pengarang seharusnya membersihkan diri daripada hasrat menulis yang hanya sekadar untuk melangsungkan apa-apa yang sudah dihasilkan. Begitu juga pengarang-pengarang yang dikatakan sudah berperibadi itu, mereka harus lebih berusaha untuk meneguhkannya dari sebuah teks ke sebuah teks yang dihasilkan.

Maknanya, transisi dalam penulisan juga menjurus pada usaha mempertingkatkan standard dan kepiawaian mutu penulisan seseorang. Bukan seerti dengan menulis dalam kesemua genre. Ada yang mahir dalam penulisan esei, tetapi gagal ketika menghasilkan karya kreatif. Demikianlah seterusnya.

Saya pernah terbaca suatu kenyataan, sepertinya nasihat; dianjurkan seseorang pengarang supaya mencapai kematangan terlebih dahulu dalam penulisan sajak. Hal ini disebabkan, aspek pemilihan dan meminimumkan kata-kata sangat mustahak dalam penulisan sajak. Setelah mantap dalam penulisan genre sajak, baharulah terasa lebih yakin untuk memasuki penulisannya dalam genre cerpen atau novel, misalnya.

Semasa bersembang dengan S.M. Zakir pada Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2013,  beliau ada menyebut tentang transisi dalam penulisan. Adakah kedengaran aneh? Tidak. Namun jika transisi menyerlahkan penurunan kualiti kerja penulisan, pasti sahaja mendukacitakan seseorang pengarang (yang tidak lagi muda).

Adakah kes penurunan kualiti karya berlaku dalam penulisan seseorang yang sudah lama bergelumang dalam bidang kreatif? Ternyata ada. Bahkan statik sejak awal penulisan. Inilah yang membimbangkan mana-mana pengarang yang kononnya berasa diri sudah berpengalaman dan kerap menerima hadiah dan anugerah. Yang ditulis oleh seseorang pengarang dalam karya awal, sudah tentu berubah pada fasa usia selanjutnya.

Terlebih dahulu, apakah maksud transisi? Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, transisi bermaksud – peralihan daripada suatu tempat kepada yang lain. Bagaimanakah pula konteksnya dalam urusan penulisan karya kreatif? Abizai mentakrifkan,

Transisi merupakan proses yang wajar dan penting dalam penulisan seseorang. Perubahan itu boleh sahaja berlaku dalam bentuk gaya pengucapan, sudut pemikiran, aliran, pegangan dan perkara yang diutamakan dalam penulisan. Transisi juga selalu bergerak seiring dengan kematangan, pengalaman dan cabaran serta tuntutan zaman. Menulis merupakan proses pembelajaran yang berterusan. Semakin banyak dan lama seseorang menulis bertambah perkara baharu yang ditemuinya.

Abizai meluaskan lagi takrifan transisi dalam penulisan yang mengatakan bahawa “Ada dalam kalangan penulis, terutama penulis muda melakukan pelbagai percubaan melalui karya-karya eksperimental. Sampai suatu tahap mereka telah menemui gaya atau aliran penulisan yang terasa akrab dan dekat dengan jiwa. Perlahan-lahan mereka berubah ke arah tersebut dan meninggalkan jejak sebelumnya. Mungkin juga seseorang penulis sudah sampai ke hujung sempadan kredo penulisannya. Menjadi jumud dan mengulangi pusingan klise. Lalu, dia memutuskan untuk keluar daripada sempadan yang menghalangnya dan mencari daerah yang lebih subur dan mekar. Atau penulis itu sendiri sudah jemu dan tepu serta tidak lagi ghairah dengan hasilan karya-karyanya dan ingin keluar daripada kepompong stereotaip ciptaannya sendiri. Barangkali juga telah wujud lencongan dalam cara berfikir dan menentukan hal yang sepatutnya lebih dipentingkan dalam penulisan menyebabkan transisi ini terjadi.”

Transisi dalam kerjaya kepengarangan seseorang merupakan aspek yang jarang-jarang dibicarakan. Hal ini bagaikan grafik perjalanan penulisan seseorang dalam urusan kepengarangannya. Lebih jauh daripada itu, transisi juga menjadi kunci untuk menyelongkar pintu masuk pemikiran seseorang karyawan itu. Sama ada berlaku atau tidak sebarang penyimpangan dalam arah penulisan mutakhirnya.

Apakah tema, gaya dan aliran penulisannya tetap sama seperti dahulu? Jika tiba-tiba pengarang itu menelusuri subjek alam metafizik, falsafah dan eskatologi, apakah penyebab hal itu meresap dalam karyanya? Bahkan, transisi dalam penulisan menyerlahkan kemajuan dan kemerosotan seseorang pengarang. Seseorang penulis yang bagus, tentu tidak mahu terus-menerus berada dalam wilayah yang statik.

Yang mustahak, seseorang penulis itu sedar dan bertanggungjawab dengan kerja penulisannya. Menulis bukan cuma urusan menghibur dan memandaikan akal sahaja. Namun demikian, menulis melangkaui takrifan fiksyen yang difahami oleh khalayak umum.

Di samping itu, menulis merupakan suatu ilmu dan kemahiran yang dianugerahkan oleh Tuhan. Andai yang dilonggokkan dalam karya merupakan sampah dan kebejatan, hal itulah yang akan menunggunya pada kemudian hari. Jika yang dihasilkannya bagaikan cahaya dan penunjuk jalan kebenaran, sebagaimana yang disyariatkan oleh agama, pandangan negatif masyarakat dunia, bukan lagi hal yang perlu dikhuatirkan. Genggamkan jari dan teruslah berkarya dengan jiwa merdeka.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.