Oleh Aliff Awan
13 Julai 2023, 12:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Jika sebuah pementasan teater perkauman hanya mengundang sinis dan ketawa penonton selepas bahagian penting, bukankah pementasan itu boleh dikatakan gagal?

Pada 7, 8 dan 9 Julai 2023 yang lalu, menerusi Bantera Production, Fakulti Teater Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) telah mempersembahkan sebuah teater Dua Tiga Kucing Berlari oleh Kala Dewata, bertempat di Blackbox ASWARA.

Pementasan ini diadakan untuk penilaian pelajar yang mengambil subjek Teater Moden.

Memetik sinopsis ringkas dalam edaran risalah dan medsos ASWARA, naskhah ini mengangkat tema perkauman apabila cinta antara Melayu dengan Cina yang dianggap komunis mendapat tentangan daripada keluarga. Cerita ini diangkat daripada pemikiran penulis selepas kejadian isu perkauman 13 Mei 1969.

Penulis sempat menonton teater ini pada hari pertama pementasan. Serba gelap. Memasuki Blackbox ASWARA saja, penonton dihidangkan dengan sebuah ruang tamu rumah kampung. Ada sebuah tingkap dan pintu, sebuah almari dan dua bingkai gambar tergantung di sebelahnya, tiga buah kerusi yang menghadap penonton dan sebuah meja kopi di antaranya. Di atas kabinet pula diletakkan radio lama dengan dua tombol.

Melihat pentas yang penuh dengan rekaan set serba hidup, hati penulis bersedia untuk menonton teater realistik ini. Namun demikian, seperti mana-mana persembahan lain, pastinya tidak sempurna.

Set realistik teater Dua Tiga Kucing Berlari yang menghidupkan suasana teater realisme.

Dalam pementasan ini, ketidaksempurnaan itu dilihat pada lakonan dan olahan naskhah. Masalah terbesar sebenarnya datang daripada respons penonton pada malam tersebut.

Sebaik sahaja Dahalan, lakonan Izzi berjaya meraih perhatian penonton dengan tutur spontannya, namun keadaan tersebut sebenarnya mengganggu persembahan (melainkan sewaktu dia gagal menggantung bingkai gambar semula ke dinding). Selain itu, Maridah lakonan Asyierin Anuar seperti keliru kerana tuturnya tidak jelas; mahu melafaz dialog secara baku atau biasa? Contohnya perkataan “saja” atau “saje”?

Masalah konsistensi pertuturan ini bukan sahaja berlaku kepada Asyierin, tetapi juga bertenggek di mulut Aida Rain yang memegang watak Rosdiah. Sementara pelakon lain lebih selesa meninggalkan lafaz baku dan kekeliruan bertutur secara seragam dalam kumpulan ahli lakon ini menimbulkan masalah untuk memahami latar masa dalam cerita ini.

Jika tidak mengetahui sinopsis teater ini, kesimpulan penulis ialah naskhah ini merupakan sebuah cerita yang menggunakan latar tahun 2000 yang berlaku di kampung. Cela persembahan ini bermula daripada masalah sekecil ini.

Barisan pelakon dan tenaga produksi.

Dalam naskhah ini, selain sebuah keluarga Melayu, ada juga dua watak Cina yang dihidupkan oleh Kala Dewata, iaitu Kuan lakonan Amy Bustamam dan Swee Lan lakonan Jing Jing. Penulis tiada masalah untuk Amy menjadi Kuan tanpa sebarang pelat dalam pertuturan seperti yang selalu kita dengar. Walau bagaimanapun, untuk memegang watak Cina, tidak ada apa-apa yang Amy selitkan dalam lakonannya untuk penonton percaya bahawa dia ialah seorang lelaki Cina. Sempurna dari setiap segi, Kuan dalam pementasan kali ini cuma lelaki daripada keluarga Melayu yang mana mak dan ayahnya mungkin tersilap memberikan nama Cina kepadanya.

Keraguan ini bukan sepenuhnya daripada penulis. Bahkan, ada sekumpulan penonton lelaki di belakang yang menyoal, “Mengapa dia tak macam Cina pun? Ni macam Melayu saja. Pelat pun tak ada.”

Bezanya kumpulan penonton itu mencari pelat, sedangkan penulis mencari tingkah atau sebenarnya kebijaksanaan Amy untuk menjadi seorang Cina. Bukankah itu tugas seorang pelakon?

Ragu menghidupkan watak bangsa lain ini akhirnya membawa masalah paling besar dalam pementasan. Ini berlaku sewaktu babak terakhir. Antaranya seperti olahan yang tidak kemas dan terlalu tiba-tiba. Sekarang, penonton perlu faham yang Kuan telah mati. Meratap pemergian lelaki yang akhirnya menjadi askar itu, Swee Lan muncul dahulu. Serba hitam, dia menangis kesal lalu melaungkan, “Wo ai ni, Kuan. Wo ai ni.”

Saya percaya biarpun kita bodoh, tapi hampir semua faham maksud ayat ini. Tidak perlu terjemahan langsung, tidak perlu penjelasan lanjut. Pada babak kematian yang sepatutnya serius, laungan ini sepatutnya memberikan kesedaran kepada penonton untuk meratap sama dengan pelakon.

Namun demikian, bukan untuk penonton pada malam itu. Dengan hanya dua baris di atas, Swee Lan menerima ejekan daripada penonton. Perlakuan tersebut merupakan respons sebenarnya daripada penonton.

Kumpulan penonton di belakang penulis memperlekehkan penggunaan bahasa Swee Lan. Mendengarkan itu, pak cik di hadapan penulis menyambut dengan tawa. Sebenarnya, seluruh blackbox ketawa. Ketika seseorang mati, ketika watak lain sedang bersedih dan menangis, ketika mesej sebenar dalam cerita dipertontonkan.

Mungkin kesilapan itu kepada pengarah atau pelakon sendiri. Namun jika segala promosi menjual pementasan sebagai “pemikiran penulis selepas kejadian 13 Mei 1969,” penulis percaya respons mencela ini tidak patut muncul daripada penonton. Dalam satu kata mudah, ini merupakan sebuah pementasan tanpa meninggalkan apa-apa kesan. Olahannya gagal memberikan tumbukann dan kesedaran.

Sekiranya pengarah memilih skrip ini kerana ingin memberikan respons terhadap isu perkauman, di mata penulis, skrip ini gagal. Hal ini dikatakan demikian kerana isu ini seakan-akan membiarkan api terus marak sedangkan api perlu dipadamkan.

Sekiranya naskhah ini dipentaskan hanya untuk menilai kebolehan pelajar teater berlakon, penulis memujinya kerana sekurang-kurangnya mereka boleh berlakon. Watak masih boleh hidup dan pelakon masih berjaya mencari cara yang berbeza untuk memanggil roh karakter. Belum kemas dan teliti, tapi tidak gagal. Cuma, belum sempurna!

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.