Oleh Nurul Ain Ilias
15 Jun 2023, 15:07

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Oleh: Nurul Ain Ilias

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, pesta bermaksud kegiatan berupa kempen (promosi, pertandingan, dan lain-lain) secara bersiri, biasanya secara tahunan, dengan konsep dan tujuan tersendiri. Secara kebiasaannya, pesta juga disebut sebagai festival.

Contoh pesta terbesar di Malaysia ialah Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL). Kini, PBAKL memasuki 40 tahun penganjurannya.

Oleh sebab PBAKL merupakan satu daripada pesta buku tahunan, maka pesta ini diadakan dalam skala yang besar. PBAKL 2023 telah diadakan pada 26 Mei hingga 4 Jun 2023, bertempat di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur yang mempunyai empat bahagian utama, iaitu Acara Pentas Utama (APU); Acara Pentas Rehat dan Baca (APRB); Mendiri di PBAKL dan Cosplay@PBAKL.

Tapak atau reruai untuk pempamer pula terdiri daripada lapan bahagian, iaitu di aras 2 terdapat Pelantaran Putra, Legar Putra, Bilik Mawar Pulang Pinang, Kelantan, Johor dan Kedah, Dewan Tun Dr Ismail. Manakala di aras 3 pula ada Dewan Tun Razak 3 dan aras 4 terdapat Dewan Tun Razak 4.

Fungsi APRB adalah menyediakan ruang aktiviti kepada penerbit, penulis swaterbit, penulis/pelukis ilustrasi, pelukis komik, editor dan kumpulan atau individu kreatiff yang bergiat dalam iindustri buku.

Pada edisi ke-40 ini, PBAKL telah membawa banyak penerbit buku yang terdapat di Malaysia. Moto “Bangsa Membaca, Bangsa Berjaya” yang menjadi trend dalam kalangan masyarakat madani menjadi pemangkin kepada masyarakat khususnya golongan muda untuk mencari bahan bacaan yang berkualiti sebagai santapan minda dan rohani.

Lantaran itu, ibu bapa digalakkan membiasakan anak-anak mereka ke PBAKL bagi memesrakan anak-anak dengan amalan membaca sejak kecil lagi. Pepatah Melayu mengatakan, “melentur buluh biarlah dari rebungnya”. Hal ini amat bersesuaian dengan hasrat negara untuk melahirkan generasi yang cinta akan ilmu. Jika anak-anak ini tidak dilenturkan sejak awal lagi agak sukar untuk mengubah sikap golongan ini pada kemudian hari.

Saban tahun, bukan hanya anak-anak dan peminat buku, malah golongan pelajar di institut pengajian tinggi juga tidak lepaskan peluang untuk mengghadirkan diri mereka di pesta buku terbesar ini, khususnya pelajar yang mengambil kursus Kesusasteraan Melayu. Inilah peluang mereka untuk mendapatkan karya yang bermutu, terutama koleksi sasterawan negara.

Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) merupakan antara penerbit yang tidak pernah ketinggalan menyertai PBAKL. DBP ialah institusi berpengaruh dalam memacu perkembangan bahasa dan sastera negara merupakan lubuk emas kepada pelajar sastera untuk mendapatkan karya yang berkualiti.

Selain DBP, penerbit lain turut menawarkan buku dengan potongan harga yang tidak masuk akal dan mampu milik. Penawaran diskaun sebegini perlu diigunakan sebaik-baiknya oleh pembeli lebih-lebih lagi pelajar yang tidak mempunyai pendapatan tetap untuk menyimpan koleksi buku daripada penulis yang mereka kagum.

Selain mempromosikan buku, pelbagai aktiviti lain turut diadakan untuk memeriahkan PBAKL kali ini. Antara yang menjadi keutamaan ialah aktiviti bual bicara karya bersama dengan penulis untuk memperkenalkan pelbagai genre yang telah diterbitkan oleh syarikat penerbitan itu.

Yang tersemat dalam memori penulis sewaktu berkunjung ke PBAKL ialah bual bicara bersama dengan bonda Profesor Madya Dr. Salmah Jan Noor Muhammad yang membicarakan perihal karya terbaharu bertajuk Warkah Diplomatik Melayu.

Pelaksanaan aktiviti ini akan memberikan ruang kepada pembaca untuk mengetahui lebih lanjut tentang dunia sastera di Malaysia. Selain itu, pembaca juga akan mendapat manfaat dengan mengetahui isi kandungan utama sesebuah karya itu daripada penulis sendiri.

Hal ini dapat dijadikan panduan bagi penulis muda yang ingin menerbitkan karya yang berkualiti untuk menandingi keluaran novel picisan yang tumbuh seperti cendawan selepas hujan pada hari ini.

Oleh itu,  PBAKL inilah yang menjadi nadi kepada pelajar sastera untuk mendapatkan karya sebagai panduan kepada mereka untuk menghasilkan karya yang berkualiiti. Tanpa pelajar sastera, bidang kesusasteraan di negara kita mungkin akan mundur.

Penulis berpandangan sedemikian kerana walaupun banyak penulis muda telah berkecimpung dalam dunia penulisan, khususnya dalam bidang penulisan novel, namun gaya penulisan dan pemilihan perkataan oleh mereka tidak puitis dan tidak memberikan makna seperti apa-apa yang penulis lama lakukan dalam penulisan mereka.

Maka itu, pelajar yang mendapatkan pendidikan khas di universiti dalam bidang sastera diberikan tanggungjawab untuk bersaing dalam bidang penulisan ini supaya novel picisan dan novel sastera ini dapat berdiri sama tinggi.

Pemilihan kata daripada pelajar sastera diyakini lebih puitis dan tersirat dan mampu meninggalkan kesan emosi kepada pembaca.

Bukan penulis ingin merendahkan martabat penulis novel picisan ini, tetapi menurut pemerhatian dan pembacaan penulis, novel picisan ini tidak mampu meninggalkan kesan emosi kepada pembaca seperti penulis yang merupakan pelajar sastera.

Hal ini disebabkan novel picisan kini banyak berkaitan dengan percintaan yang pengakhirannya sudah dapat dijangka oleh pembaca, berbeza daripada novel daripada sasterawan negara seperti Anwar Ridhwan, Arena Wati dan sebagainya yang telah mengangkat tema peperangan dan realiti kehidupan masyarakat.

Walau bagaimanapun, tidak semua novel picisan ini dikatakan tidak berkualiti. Di sini jugalah terlihat peranan pelajar bidang Sastera Melayu untuk melakukan kritikan secara bermoral terhadap novel yang tidak berkualiti ini. Oleh itu, pengkritik ini mestilah banyak membaca karya daripada pelbagai genre agar pemahaman mereka tentang bidang penulisan dapat dipertingkatkan lagi.

Namun begitu, masih banyak karya penulis lama tidak dicetak semula menyebabkannya sukar dicari seperti karya daripada Pak Sako. Oleh itu, penulis berharap agar penerbit buku untuk PBAKL yang  akan datang dapat mencetak ulang karya sastera untuk dijadikan bahan bacaan kepada peminat buku dan peminat sastera sebagai koleksi mereka.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.