Oleh Azrin Eddy
15 Mei 2023, 10:43

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sabah – Sayembara Deklamasi Sajak bersempena dengan Bazar Ilmu DBP 2023 berjaya dilaksanakan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah (DBPCS) di SK Pekan Telupid dan SK Pekan Beluran.

Satu daripada peserta Sayembara Deklamasi Sajak di SK Pekan Beluran.

Pertandingan ini diadakan adalah bertujuan untuk mencungkil bakat baharu dalam bidang deklamasi sajak, di samping memberikan peluang serta pendedahan kepada pelajar sekolah di kawasan pedalaman Sabah untuk menyertai kegiatan bahasa anjuran DBP.

Pada kali ini, DBP mendekati pelajar di kawasan luar bandar Sabah melalui pertandingan sebegini. Tema atau skop Sayembara Deklamasi Sajak ini ialah “Bahasa Jiwa Bangsa”.

Pertandingan ini dilaksanakan pada 9 Mei di SK Pekan Telupid dan 11 Mei di SK Pekan Beluran. Pertandingan ini terbuka kepada pelajar sekolah menengah di daerah Telupid dan Beluran.

Banyak sekolah yang menzahirkan minat dan sokongan terhadap kegiatan bahasa anjuran DBPCS ini. Terdapat 12 penyertaan yang diterima dari daerah Telupid dan 14 penyertaan dari daerah Beluran untuk pertandingan ini.

Antara sekolah yang terlibat di daerah Telupid ialah SMK Telupid, SMK Penangah dan SMK Entilibon. SMK Terusan Sugut, SMK Beluran II dan SMK Beluran merupakan wakil sekolah di daerah Beluran.

Juri Sayembara Deklamasi Sajak bersempena dengan Bazar Ilmu DBP 2023 di SK Pekan Beluran.

Di SK Pekan Telupid, Sayembara Deklamasi Sajak dimenangi oleh Tuan Nur Syuhadah. Naib johan dimenangi oleh Easter Angel dan Effyana menduduki tempat ketiga.

Seterusnya di SK Pekan Beluran, johan Sayembara Deklamasi Sajak ialah Nur Syahhierra Sanidari SMK Terusan Sugut. Norhafizahwati Reno dari SMK Beluran II telah membawa pulang hadiah naib johan, manakala Siti Nur Najwa Syhafielah Pudah telah memenangi tempat ketiga.

Timbalan Pengarah 1 DBPCS, Encik Rusdi Awang semasa Ucapan Perasmian Penangguhan Bazar Ilmu DBP 2023 di SK Pekan Beluran menzahirkan rasa syukur atas kesudian pihak PPD Telupid/Tongod dan PPD Beluran dalam menjalinkan sinergi untuk merealisasikan program ini. Beliau berasa terpegun atas iltizam yang ditunjukkan oleh pelajar serta guru pembimbing untuk menghantar penyertaan walaupun tinggal di kawasan terpencil Sabah. Misalnya, SMK Terusan Sugut yang dikategorikan sebagai sekolah pedalaman tahap tiga yang mengambil masa perjalanan selama tiga jam menaiki bot ke SK Pekan Beluran.

Pertandingan atau kegiatan bahasa seumpama ini perlu diteruskan agar tidak ada lagi anak-anak di Sabah yang tertinggal atau tersisih. Pelibatan pelajar khususnya di kawasan terpencil di Sabah dalam program anjuran DBP ini mencerminkan komitmen serta sokongan pelajar serta warga pendidik dalam membantu merealisasikan visi dan misi DBP.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.