Oleh Firdaus Mul
3 Mac 2023, 09:05

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Baru-baru ini menerusi rancangan Cakna Bahasa anjuran Bernama Radio telah menampilkan penulis dan pengarang tersohor dari Negeri di Bawah Bayu, Ruhaini Matdarin untuk membicarakan topik “Kepintaran Lokal dalam Penulisan Kreatif”. Beliau membuka tirai perkongsiannya dengan memberikan penjelasan ringkas berkenaan kepintaran lokal. Menurut beliau, kepintaran lokal ataupun dikenali sebagai kearifan tempatan dalam penulisan kreatif merujuk penerapan ilmu peribumi, budaya dan masyarakat tempatan. Misalnya ilmu berkaitan dengan teknologi pemburuan, pertanian dan cakerawala.

Ruhaini Matdarin turut berkongsi berkenaan beberapa penulis tempatan yang beliau rasakan gemar menerapkan kepintaran lokal dalam hasil penulisan karya kreatif mereka. Antaranya pengarang tersohor tempatan Nisah Haron melalui cerpen “Aset Istiqamah” dan “Lemang Nan Sebatang”.

Saya sangat menyukai gaya kemampuan beliau yang membangkitkan elemen intelektualiti dalam kalangan pembaca. Kepintaran lokal dapat kita kesan melalui undang-undang sivil, undang-undang syariah dan yang paling menarik adat pepatih. Beliau mematahkan persepsi negatif terhadap wanita Negeri Sembilan yang dilabel sebagai “queen control”. Perspektif ini dilihat sangat menarik. Kalau karya antarabangsa saya lebih senang memetik karya Gabriel Garcia Marquez, 100 years of Solitude. Dewan Bahasa dan Pustaka pernah menterjemahnya menjadi novel Sumpah 7 Keturunan.

Ruhaini Matdarin berkongsi tentang Kepintaran Lokal dalam Penulisan Kreatif melalui Cakna Bahasa di Bernama Radio.

Tegas beliau lagi, karya-karya yang diterapkan elemen kepintaran lokal akan menjadi sebuah karya yang kalis zaman dan “hidup lebih lama”. Sementara itu beliau juga menjelaskan bahawa penerapan elemen kepintaran lokal dalam penulisan kreatif tidak akan mengekang kreativiti seorang pengarang, hatta penerapan elemen tersebut adalah bersifat pilihan bagi pengarang. Tambahnya lagi,

Daripada segi pengarang rasanya tidak, sebab itu pilihan individu. Untuk pembaca juga hal ini merupakan pilihan. Sama ada kita ingin membaca karya yang ‘mengenyangkan’ minda dan jiwa kita atau sekadar kita membaca sebuah karya yang tidak menggalakkan kita berfikir.

Ujar beliau lagi.

 Bila kita semakin lama dalam dunia penulisan, kita semakin memilih penulisan yang kita ingin tulis. Sebab kita sudah tahu apa-apa yang dinamakan kualiti, kita tahu strategi masa panjang kita ingin menghasilkan karya yang ‘hidup lama’, segar dan memberikan impak yang besar. Tapi itu persoalan waktu, sebab sebuah karya yang baik diuji oleh waktu.

Pada akhir temu bual beliau sempat menitipkan beberapa panduan kepada penulis muda. Kongsi Ruhaini Matdarin, carilah bahan yang boleh mengenyangkan minda dan jiwa. Kalau ingin menulis menjadi pengarang cari tahulah macam mana menulis perkara yang baik, sebab hidup kita ini terlalu singkat untuk menulis perkara yang tidak baik. Paling penting, ini saranan Sasterawan Negara A. Samad Said, “Membaca, membaca, dan membaca”. Beliau juga sempat menyarankan kepada mereka yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai kepintaran lokal dalam penulisan kreatif boleh dapatkan majalah Tunas Cipta, Bil. 3 2023 berkenaan kepintaran Lokal dalam karya kreatif.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.