13 Februari 2023, 10:56

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Penulis buku Asal Usul Batu Badak dan Batu Kerbau (2022), iaitu Azimin Daud berasa perlunya kanak-kanak mengenal bunyi haiwan seperti kerbau, kucing, kambing atau lembu. Disebabkan alasan itu, Azimin tertarik untuk menghasilkan karya dengan kisah tersebut dan berhasrat mengajak pembaca mengenali bunyi haiwan, khususnya kerbau dan badak.

Penghasilan buku ini dianggap sebagai usaha Azimin untuk membiasakan kanak-kanak dengan unsur alam. Demikianlah bermulanya penerbitan buku Asal Usul Batu Badak dan Batu Kerbau yang dikongsi Azimin semasa program “Sembang Karya dan Karyawan”, yang diadakan di Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) baru-baru ini.

Azimin Daud berkongsi proses penerbitan buku Asal Usul Batu Badak dan Batu Kerbau.

Bercerita mengenai kisah tersebut, Azimin meluahkan rasa syukur kerana berjaya memperolehnya secara lisan daripada penduduk Kampung Buyau di Seri Menanti, Negeri Sembilan mengenai asal usul batu badak dan batu kerbau yang masih dapat dilihat artifaknya, sekali gus menjadi daya tarikan pelancongan di sana.

Motif cerita kerbau sawah dan badak hutan dalam buku setebal 40 halaman ini mempunyai keistimewaan tersendiri apabila konsep pengembangan plot disusun dengan mudah berserta teknik saspens, serta ilustrasi yang menarik hasil lukisan Mohd. Akbar Omar, sehingga menjentik pemikiran kanak-kanak untuk mencintai dan menghargai alam.

Sulaman penjodoh bilangan, peribahasa dan bahasa berirama yang kaya nilai estetika mampu mengajak pembaca mengembara dan menilai alam secara halus seperti “Kalah jadi abu, menang jadi arang” dan “biar putih tulang, jangan putih mata”.

Menurut Azimin lagi, melalui pembacaan buku ini, akan berlaku pengembangan perbendaharaan kata secara berfasa dengan baik seperti “menderam”, “menguak”, “meragut rumput” dan “mengunyah lalang”, selain nilai-nilai murni yang diketengahkan dalam karyanya ini.

Antara tetamu yang hadir dalam program anjuran Majlis Buku Kanak-kanak dan Remaja Malaysia.

Antara tetamu undangan yang hadir dalam program anjuran Majlis Buku Kanak-kanak dan Remaja Malaysia (MBBY) ialah Presiden MbBy, iaitu YBhg. Dato’ Ahmad Ridza Ahmad Khairuddin, Ketua Editor Bahagian Buku Kanak-Kanak dan Remaja, DBP, Encik Armin Azhari Salleh, ahli jawatankuasa yang terdiri daripada Daeng Filzah Ibrahim, Samsul Khamariah dan Sharif Apen serta penulis veteran Mohd. Isnin Tawaf.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.