Oleh Saiful Ghazali
26 Januari 2023, 13:08

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Memetik tulisan Harlym Yeo dalam artikelnya berjudul “Jenama pada Nama Pena” yang tersiar dalam akhbar tempatan mengatakan, “Kepelbagaian nama pena ini didorong oleh pelbagai sebab antaranya seperti tuntutan penerbit, tidak mahu dikenali ramai, atau mahu bereksperimen dengan genre baharu tanpa membabitkan nama sedia ada. Setiap pengarang mempunyai nama pena tersendiri untuk digunakan pada karya.”

Secara lazimnya, pengarang mempunyai beberapa nama pena yang berbeza tamsilnya. Contohnya Sasterawan Negara Kamaluddin Muhammad yang menggunakan nama pena Keris Mas, Aku, K.M. Kamal, Kamaludin M. dan Mister X. Namun begitu, pembaca secara umumnya akan terbiasa mengaitkan pengarang dengan satu nama pena yang paling menyerlah. Tanpa disedari, nama pena sebenarnya berperanan dalam perjalanan menjadi pengarang.

Nama pena ini mewakili ketokohan pengarang dan menjadi taruhan di kulit buku yang dipasarkan kepada pembaca. Hal ini dikatakan demikian kerana pembaca bukan mudah mahu membelanjakan wang mereka untuk membeli bahan bacaan dan sering memilih buku daripada pengarang yang mereka yakin dapat menyajikan mutu penulisan yang memuaskan hati masing-masing. Keupayaan pengarang dalam membina nama sejak sekian lama pula tidak pernah dinafikan. Hal ini memerlukan masa dan keringat yang berpanjangan.

Kemampuan pengarang mencari identiti tersendiri juga bukanlah perkara yang mudah untuk dilakukannya. Namun demikian, peranan nama pena sebagai jenama dalam kelangsungan karier pengarang kini terutama dari aspek pemasaran amat penting lebih-lebih lagi apabila membicarakan dalam ruang digital yang beroperasi tanpa sempadan.

Jenama Pengarang dan Potensinya dalam Pemasaran

Setelah pengarang selesai melalui proses kreatif, mereka akan memikirkan rumah penerbitan yang sesuai untuk menerbitkan karya mereka. Pertimbangan yang serius ketika membuat keputusan untuk menghantar manuskrip amat penting supaya pengarang tidak melalui fasa penolakan secara berulang. Pertimbangan yang diambil oleh pengarang lazimnya merangkumi beberapa faktor seperti aspirasi dan dasar yang didukung oleh penerbit, sasaran khalayak pembaca serta pengaruh rumah penerbitan dalam industri perbukuan. Dalam konteks lain, pengarang boleh mencuba untuk menerbitkan naskhah mereka secara swaterbit dengan cabaran yang lebih besar.

Sebelum karya menjengah pasaran, pengarang sudah tentu mempunyai nama pena pilihan yang tersendiri untuk dipertaruhkan di kulit hadapan buku. Hal ini disebabkan nama pena menjadi antara faktor utama pembaca membeli buku. Pengarang merupakan jenama untuk naskhah mereka walaupun dengan judul yang berbeza.

Jenama pengarang yang sudah terkenal akan disertakan pula dengan label tertentu seperti “Novelis Paling Laris” atau “Pemenang Hadiah Sastera Perdana”. Pemilihan label oleh penerbit bukan dilakukan secara semberono melainkan untuk mendapatkan dukungan dan sokongan yang kuat daripada pembaca secara umum atau lebih tepat peminat tegar pengarang itu sendiri.

Saiful melalui tulisannya bertajuk “Hubungan Proses Kreatif Keterlibatan dengan Pemasaran dalam Talian: Satu Kajian Novel-novel Popular Melayu (2020)” menjelaskan,

Nama pengarang pada kulit buku berfungsi sebagai isyarat untuk sesetengah jenis bahan kesusasteraan. Jenama daripada nama pena ini berfungsi sebagai jaminan kepada pembaca yang mencari kepuasan membaca dengan mutu yang diharapkan berdasarkan pengalaman lampau membaca air tangan pengarang yang sudah diyakini oleh pembaca.

Apabila pembaca umum mula meminati pengarang tertentu, maka akan terbentuk sebuah komuniti peminat pengarang yang sama dalam skala yang lebih besar. Komuniti ini merupakan entiti berbeza daripada pengarang yang lazimnya mengusahakan proses kreatif. Dalam kajian pemasaran, komuniti peminat ini mirip kepada “brand community”.

“Brand community” menjalankan fungsi penting bagi pengarang seperti berkongsi maklumat, mengekalkan prestij sesebuah jenama, dan memberikan bantuan kepada pengguna yang lain. Selain itu, “brand community” juga menyediakan struktur sosial kepada hubungan antara pemasar dengan pengguna. Komuniti ini akan memberikan tekanan kepada ahli untuk kekal setia kepada kolektif dan pemasar.

Fungsi “brand community” ini seakan-akan sama dengan kelab peminat yang wujud dalam dunia perbukuan. Misalnya Ramlee Awang Murshid Fan Club (RAMFC), sebuah kelab peminat kepada penulis Ramlee Awang Mursyid yang telah wujud sejak tahun 2007. Kelab peminat ini telah dicetuskan oleh seorang pembaca secara dalam talian melalui pelantar Google Groups dengan nama Ramlee Awang Murshid Book Club (RAMFC).

Kumpulan RAMFC pada awalnya diwujudkan sebagai medan untuk para ahli berdiskusi dan memberikan maklumat berkenaan dengan karya Ramlee Awang Mursyid. Kelab ini semakin kekar dari masa ke masa setelah mendapat sokongan yang sewajarnya daripada Ramlee Awang Mursyid sendiri. Selain itu, kelab ini semakin mendapat sambutan apabila bergerak seiring dengan perkembangan bidang teknologi maklumat dan komunikasi yang beroperasi secara digital. Kini, RAMFC bukan sekadar membicarakan perihal karya penulis tetapi telah menganjurkan program sosial sesama ahli serta menguruskan pemasaran dan penjualan novel Ramlee Awang Mursyid.

Situasi ini mengambarkan betapa nama pena amat penting dalam pemasaran karya kreatif sebagai sebuah jenama. Dengan nama pena yang gah, pembaca boleh bersatu dalam sebuah komuniti yang mempunyai organisasi yang tersusun. Walaupun terdapat sejumlah besar judul karya yang membawa aspirasi dan minda kreatif pengarang, namun nama pena juga yang terkedepan serta dekat di hati pembaca. Meskipun begitu, proses membina nama sebagai sebuah jenama yang kukuh mengambil masa yang lama jika dijalankan secara konvensional. Bahkan, menjadi hampir mustahil sekiranya tidak mendapat kerjasama dua hala antara pengarang dengan pembaca. Usaha ini memerlukan pengarang keluar daripada kepompong ekslusif yang begitu sebati dengan kesusasteraan.

Pengaruh Eksklusif dan Inklusif

Dalam buku India of My Dreams (1947), Mahatma Gandhi menjelaskan,

Tiada budaya yang dapat bertahan sekiranya ia cuba menjadi eksklusif.

Sifat eksklusif dalam dunia kesusasteraan akhirnya akan mewujudkan kelompok pembaca yang bertaraf-taraf. Sedangkan pengarang ialah wakil kepada pemikiran dan budaya masyarakat pada zamannya. Pemikiran merentas zaman yang dimiliki oleh pengarang seharusnya mencorakkan pemikiran pembaca secara umum. Namun proses mencorakkan pemikiran pembaca akan terbantut dan menjadi sukar sekiranya sifat ekslusif ini masih berterusan.

Pada masa yang sama, sudah tentu proses pemasaran jenama pengarang kepada khalayak yang lebih umum akan menjadi sukar. Secara umumnya, pembaca secara sedikit sebanyak mempunyai tanggapan bahawa produk keluaran kelompok pengarang ini sukar untuk difahami kerana sifat eksklusif pengarang sedangkan pembaca pada asasnya ialah pembaca dengan tujuan yang pelbagai.

Kini, pengarang boleh membiarkan pembaca untuk terlibat secara inklusif dalam proses kreatif yang sedang atau selesai dijalankan secara lebih terbuka. Pelibatan pembaca dalam proses ini bukanlah sesuatu yang luar biasa dan boleh direalisasikan dengan penerapan budaya keterlibatan

Dalam buku yang diselenggarakan oleh Sohaimi Abdul Aziz dan Muhammad Nur Saiful Ghazali yang berjudul Proses Kreatif Keterlibatan dan Pemasaran Digital (2018), Sohaimi Abdul Aziz melalui tulisannya menjelaskan bahawa pendekatan budaya keterlibatan yang diambil oleh pengarang akan memberikan ruang kepada pembaca untuk melibatkan diri dalam mengekspresi sesebuah karya. Pendekatan ini juga akan mewujudkan sebuah sistem sokongan yang kuat untuk mencipta dan berkongsi hasil karya. Situasi ini akan mewujudkan hubungan sosial antara pembaca dengan pengarang apatah lagi operasinya dijalankan secara dalam talian menerusi pelantar media sosial.

Sasterawan Negara Datuk Dr. Zurinah Hassan dilihat antara tokoh pengarang mapan yang terbuka serta bersifat inklusif dalam berkarya belakangan ini. Beliau memilih untuk mendedahkan hasil penulisannya seperti pantun dengan tema kemanusiaan yang berkaitan dengan isu semasa menggunkan pelantar media sosial yang lebih mesra pembaca. Melalui pelantar media sosial seperti Facebook, pembaca bukan sahaja boleh membaca pantun yang dinukilkan oleh Zurinah Hassan, namun mereka juga boleh memberikan reaksi terhadap pantun tersebut serta meninggalkan komen pada ruangan yang disediakan.

Kebebasan yang diberi oleh Zurinah Hassan kepada pembacanya secara langsung dapat melonjakkan jenama beliau sebagai Sasterawan Negara yang mesra dengan pembaca. Proses pemasaran jenama beliau akan disuburkan lagi apabila pengguna media sosial yang terdiri dalam kalangan pembaca berkongsi hantaran yang telah dibuat menerusi laman media sosial masing-masing. Pastinya pantun yang pada asalnya hanya dikongsikan oleh Zurinah Hassan di laman media sosialnya akan tersebar secara meluas dan dibaca oleh lebih banyak pengguna media sosial yang terdiri daripada latar belakang masyarakat yang rencam.

Jenama pengarang didapati mempunyai peranan besar dalam pemasaran hasil penulisan mereka yang terdorong oleh perkembangan pesat bidang teknologi maklumat dan komunikasi pada hari ini. Tidak dinafikan bahawa pengarang perlu turut serta dalam ledakan media digital supaya industri kreatif di negara kita tidak lesu dan seiring dengan peredaran kemajuan.

Penulis muda seharusnya menggunakan kelebihan ini secara optimum kerana kelompok ini merupakan generasi terdekat dengan arus perubahan yang sedang berlaku. Banyak dalam kalangan pengarang novel popular terdiri daripada penulis muda yang menggunakan kesempatan ini untuk membina jenama dalam tempoh masa yang singkat.

Kepentingan membina jenama oleh pengarang sebenarnya dapat memudahkan urusan pihak penerbit untuk memasarkan karya. Dalam keghairahan membina jenama yang kukuh, pengarang muda harus sabar dan berhati-hati dalam memastikan menjaga mutu penulisan mereka lebih baik dari masa ke masa. Hal ini dikatakan demikian kerana pengarang harus sedar bahawa peningkatan jenama dan mutu penulisan haruslah bergerak seiring agar mereka dapat bertahan lama dalam bidang ini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.