Oleh Firdaus Mul
3 Januari 2023, 17:39

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Tradisi kesusasteraan Melayu berkembang melalui tiga fasa utama. Bermula dengan lisan, kemudian tulisan dan yang terbaharu ialah multimedia. Perkembangan ini berlaku demi memenuhi keperluan tuntutan zaman. Selain berfungsi sebagai medium hiburan, sastera juga bertindak sebagai wahana yang memberikan pengajaran misalnya, melalui cerita mitos.

‘Azimin Daud dalam Siri Rancangan Cakna Bahasa yang dianjurkan BERNAMA.

Sebuah cerita daripada sastera lisan kemudian berkembang dan dibukukan serta disampaikan daripada satu generasi kepada generasi lain. Menyentuh perihal cerita mitos sebagai genre yang terdapat dalam dunia sastera, siri Rancangan Cakna Bahasa yang dianjurkan BERNAMA telah menampilkan ‘Azimin Daud, Perancang Bahasa dari Bahagian Pengembangan Bahasa Kebangsaan Pelbagai Kaum, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) untuk berkongsi perihal mitos cerita kanak-kanak.

‘Azimin Daud memberikan penjelasan tentang cerita mitos. Ujar beliau,

Sebelum saya menerangkan apakah itu mitos, saya cuba mencerakinkan beberapa perkataan seperti legenda, mitos, mistik dan dongeng. Secara kebiasaannya, yang kita faham, legenda ialah cerita yang difokuskan, yang disandarkan kepada sejarah yang berkaitan dengan tokoh, seseorang dan nama. Contohnya seperti Puteri Gunung Ledang dan Hang Tuah. Nama ini wujud kerana tercatat dalam sejarah. Namun demikian, apabila melibatkan bukan manusia, seperti Naga Tasik Cini atau Sang Kelembai, ini dipanggil mitos. Hal ini dikatakan demikian kerana mitos merupakan perkara yang disandarkan, dijangka ataupun dianggap berlaku pada zaman dahulu kala tetapi bukan dalam kalangan manusia.

Sambungnya lagi,

Mistik pula tidak melibatkan binatang atau manusia. Namun, makhluk selain daripada itu. Berbeza daripada dongeng yang mungkin datang daripada manusia, binatang, atau apa-apa jua makhluk tetapi dongeng ini hanyalah rekaan semata-mata yang tidak didasarkan pada mana-mana. Lazimnya, direka-reka untuk memberikan teguran dan sindiran kepada yang masih hidup.

Walaupun keempat-empat perkara yang beliau jelaskan tampak sama, namun hakikatnya berbeza. Di samping itu, beliau turut menegaskan bahawa cerita mitos merupakan cabang daripada genre sastera rakyat. Katanya,

Dalam konteks pada masa ini, cerita mitos sudah menjadi keperluan. Mengapakah kita beranggapan sedemikian? Hal ini disebabkan, pada masa ini, generasi hari ini mereka sudah jauh dengan alam.

Dalam program ini juga, ‘Azimin Daud turut berkongsi pengalaman beliau menghasilkan buku Asal Usul Batu Badak Batu Kerbau, terbitan DBP.

Buku ini saya tulis kerana mahu anak-anak kita tahu tentang cerita lisan pada masa dahulu. Namun sekiranya kisah ini saya tulis dalam bentuk artikel, mungkin ada yang akan membacanya, tetapi bukan dalam kalangan kanak-kanak. Jadi saya mengambil pendekatan dengan menghasilkannya dalam bentuk penulisan kreatif.

Di samping itu, beliau turut mengatakan bahawa bahan bacaan seperti Asal Usul Batu Badak Batu Kerbau antara contoh bahan sokongan yang berkualiti untuk memberikan input pendidikan umum kepada generasi pada hari ini.

Sebagai penulis, ‘Azimin Daud berpesan agar ibu bapa ataupun kita sendiri sebagai pembaca buku harus memilih buku yang baik untuk menjana pemikiran anak-anak. Hal ini disebabkan apabila kita hanya menumpukan kepada teknologi maklumat semata-mata, nanti aktiviti psikomotor dalam kalangan anak-anak kita akan terencat.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.