Oleh Nurull Ain’am
26 November 2022, 11:56

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Bengkel Penulis Muda Wilayah Utara yang berlangsung pada 25 November 2022.

Bukit Mertajam – Pada 25 November 2022, sejarah tercipta di Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara (DBPWU) kerana julung kalinya menghimpunkan penulis muda yang aktif berkarya dalam Bengkel Penulis Muda Wilayah Utara – Majalah Tunas Cipta. Bengkel yang diterajui oleh Pengarah DBPWU, Puan Nurul Julia Alani Henry ini dihadiri oleh penulis, penyair dan penggiat sastera dari wilayah utara seperti Nik Mohd Iznan Tuan Yakob atau nama penanya Nimoiz Ty, Syahidatul Munirah Badrul Munir, Muhammad Haniff Yusoff, Muhammad Saiful Ghazali dan Dr. Nazreen Shahul Hamid.

Selain itu, pelajar jurusan seni dari Universiti Sains Malaysia dan jurusan penulisan kreatif dari Universiti Utara Malaysia turut hadir dalam bengkel yang berlangsung di Sudut Penulis DBPWU. DBPWU turut mengundang Dr. Husairi Husin selaku penulis dari wilayah utara yang aktif berkarya untuk sama-sama memberikan idea dan cadangan dalam bengkel ini.

Selaras dengan matlamat utama untuk mengangkat penulis dari wilayah utara agar aktif berkarya, terutama dalam majalah Tunas Cipta, Siti Noorisa Abdul Khlil selaku editor majalah Tunas Cipta turut hadir memberikan penerangan tentang kandungan majalah berkenaan yang kini terbit dalam bentuk edisi bercetak dan digital.

Menurut beliau,

Sidang editor Tunas Cipta menyambut baik usaha DBPWU dan penggiat sastera di wilayah utara untuk mengumpulkan karyawan muda dalam bengkel ini. Usaha ini secara tidak langsung membantu sidang editor Tunas Cipta mendapatkan karya yang berkualiti untuk disiarkan dalam majalah Tunas Cipta. Pada masa yang sama, Tunas Cipta juga amat memerlukan bahan dalam bentuk rencana, cerpen, sajak dan puisi tradisional untuk disiarkan menerusi e-Tunas Cipta dalam JendelaDBP.

Bengkel ini menyasarkan dua objektif utama. Yang pertama, bengkel ini diadakan untuk merancang bengkel perolehan untuk mendapatkan karya berkualiti yang ditulis oleh kelompok penulis pemula dan muda dari wilayah utara. Selain itu, melalui bengkel ini juga DBPWU ingin mendapatkan idea, cadangan dan pandangan daripada penulis muda bagi merangka program yang dapat mempromosikan majalah Tunas Cipta, seterusnya mengangkat bakat penulis muda dengan menampilkan karya dan wajah mereka dalam majalah khusus untuk bacaan khalayak sastera yang berusia antara 18 hingga 40 tahun.

Editor Tunas Cipta juga menyasarkan karya yang berkualiti dan rencana yang bertepatan dengan isu penulis muda untuk pengisian dalam majalah Tunas Cipta pada masa akan datang.

Penulis muda dari wilayah utara yang turut menyertai Bengkel Penulis Muda Wilayah Utara.

Selaku penulis yang banyak menghasilkan novel dan cerpen, Dr. Husairi Husin amat bersetuju dengan cadangan untuk mengadakan bengkel penulisan karya kreatif dengan melibatkan penulis muda di wilayah utara. Melalui bengkel tersebut, pembimbing dapat mengenal pasti karya penulis muda yang berpotensi untuk diangkat ke tahap yang lebih tinggi, seperti mendapat pengiktirafan hadiah sastera. Secara tidak langsung, bakat penulis muda juga dapat diasah dan pemikiran mereka juga dapat diketengahkan melalui karya yang dihasilkan oleh mereka.

Selain bengkel penulisan karya kreatif, Dr. Nazreen Shahul Hamid menegaskan bahawa pelajar yang mengambil jurusan sastera harus tampil menghantar karya kepada Tunas Cipta untuk dinilai dan diterbitkan dalam majalah tersebut. Menurut beliau, sebahagian daripada tugasan pelajar sastera di universiti adalah menghasilkan karya kreatif dan esei kritikan. Karya yang dihasilkan itu sebahagiannya berpotensi untuk diterbitkan. Selain itu, karya yang dihasilkan itu boleh dikumpulkan dan ditambah baik dalam bengkel pemurnian manuskrip dengan bimbingan penulis mapan dan editor majalah.

Cadangan daripada Muhammad Haniff Yusoff pula lebih menumpukan usaha untuk melahirkan pengkritik sastera dalam kalangan penulis muda. Maka itu, DBPWU dan Tunas Cipta boleh mengadakan pertandingan menulis esei kritikan, dan seterusnya esei yang memenangi pertandingan tersebut boleh disiarkan dalam majalah Tunas Cipta.

Penulis turut menyumbangkan idea dan pandangan mereka dalam Bengkel Penulis Muda Wilayah Utara.

Syahidatul Munirah Badrul Munir yang cukup rapat hubungannya dengan DBPWU pula berkata,

Penulis muda perlu tampil ke hadapan untuk menyertai persatuan penulis, kerana persatuan penulis merupakan tapak yang baik untuk menempa nama dalam dunia penulisan dan aktiviti sastera.

Namun demikian, rata-rata penulis muda amat bersetuju agar e-Tunas Cipta menjadi tapak untuk mewujudkan sastera elektronik. Dengan adanya ruangan sastera elektronik, karya kreatif, terutama puisi sama ada moden atau tradisional, ditampilkan juga karya tersebut dalam bentuk video yang kandungannya dalam bentuk deklamasi atau lakonan bagi menyampaikan mesej yang terkandung dalam karya berkenaan.

Dalam sesi rumusan bengkel, Puan Nurul Julia Alani Henry berharap agar penulis muda dapat berkolaborasi dengan DBPWU dan majalah Tunas Cipta, terutama dalam usaha untuk menghimpunkan penulis muda dari wilayah utara untuk menyertai bengkel penulisan dan program yang berkaitan dengan pengkarya muda. Pada masa yang sama, beliau menyeru penulis yang sudah mempunyai nama dalam dunia pengkaryaan untuk membimbing penulis pemula agar bakat mereka terus bersinar dan tidak hanya menang dalam pertandingan tetapi selepas itu menyepikan diri tanpa berkarya.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.