17 November 2022, 11:20

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Keningau – Pelajar Kolej Vokasional Keningau, Sabah daripada jurusan pendidikan awal kanak-kanak, Siti Nur Hanisah Omar Hashim, menempa nama di persada antarabangsa apabila berjaya mendapat tempat pertama dalam pertandingan menulis haiku sempena festival seni “Argentine Gathering”.

Festival tersebut yang berpangkalan di Buenos Aires, Argentina merupakan anjuran Monolit Festivals, iaitu sebuah persatuan seni yang bermatlamat untuk menyemarakkan nilai kreatif yang dimiliki oleh para peserta dari seluruh pelusuk dunia. Dalam pertandingan yang berlangsung secara dalam talian pada 5 November 2022, Siti Nur Hanisah mendeklamasikan haiku melalui rakaman video yang ditayangkan semasa festival tersebut berlangsung.

Siti Nur Hanisah menulis 10 puisi haiku dengan menjadikan ibu bapa dan suasana sekolah sebagai sumber inspirasi.

Puisi haiku yang ditulis dalam bahasa Inggeris itu bertemakan alam persekitaran dan hubungan kasih sayang. Menurut guru Bahasa Inggeris Kolej Vokasional Keningau, Dr. Mohd Sirhajwan Idek, “Siti Nur Hanisah menulis 10 puisi haiku dengan menjadikan ibu bapa dan suasana sekolah sebagai sumber inspirasi.” Beliau turut menjelaskan haiku ialah satu bentuk puisi yang berasal dari Jepun dan memiliki format tersendiri.

“Haiku terdiri daripada tiga baris ayat dengan suku kata yang spesifik, iaitu lima suku kata bagi ayat pertama, tujuh suku kata bagi ayat kedua dan lima suku kata bagi ayat terakhir. Dua ayat pertama ialah pembayang bagi ayat ketiga yang menyampaikan maksud atau mesej sebenar puisi berkenaan,” demikian ulas Dr. Mohd Sirhajwan Idek yang cukup berbangga dengan kejayaan yang dicapai oleh Siti Nur Hanisah.

Puisi haiku dianggap sebagai salah satu warisan budaya sastera Jepun yang selalunya bertemakan alam semula jadi. Lantaran minatnya yang mendalam untuk menulis haiku, Siti Nur Hanisah pernah menghadiri beberapa bengkel menulis haiku melalui aplikasi Google Meet. Dalam bengkel tersebut, Siti Nur Hanisah mendapat bimbingan jurulatih dari Britain dan Amerika Syarikat.

Kongsi Siti Nur Hanisah ketika menceritakan minatnya mempelajari dan menulis haiku.

Saya belajar menulis haiku daripada beberapa siri bengkel yang saya hadiri sebelum ini. Saya berasa sangat terharu apabila guru Bahasa Inggeris, Dr. Sirhajwan Idek memberitahu haiku yang saya hasilkan itu akan dihantar untuk menyertai beberapa pertandingan menulis haiku, termasuklah pertandingan sempena festival seni “Argentine Gathering”. Melalui usaha beliau, haiku yang saya tulis berjaya memenangi tempat pertama, dan hal itu menunjukkan apa yang saya pelajari selama ini begitu memberikan kesan yang baik, terutama dalam usaha menonjolkan bakat saya dalam penulisan haiku.

Pengarah Kolej Vokasional Keningau, Encik Johari @ Jaibet Sabin turut mengucapkan tahniah kepada Siti Nur Hanisah atas pencapaiannya itu. “Diharap pelajar terus menghasilkan karya seni yang mampu meningkatkan kemampuan untuk memelihara warisan budaya, menguasai bahasa Inggeris serta mengasah bakat dalam bidang persembahan, penulisan dan visual,” demikian kata Encik Johari.

Selaku pemenang tempat pertama, Siti Nur Hanisah menerima sijil yang merekodkan kejayaan sulungnya dalam penulisan haiku. Video rakaman puisi haiku yang disampaikan oleh Siti Nur Hanisah boleh diakses melalui https://www.youtube.com/watch?v=DO37X1oHCrE&t=5s

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.