6 November 2022, 15:45

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Saban tahun Dewan Bahasa dan Pustaka akan mengadakan program Pembinaan Penulis Malaysia dan pada kali ini, program tersebut berlangsung di Institut Pendidikan Guru Kampus Bahasa Antarabangsa, Kuala Lumpur pada 5 November 2022.

Dr. Shafa’astussara selaku pembimbing Program Pembinaan Penulis Malaysia 2022.

Untuk tahun 2022, program yang berlangsung sehari ini mengangkat tema “Melestarikan Syair di Tinta dan Kata”. Bersesuaian dengan tema tersebut, peserta yang mengikuti program Pembinaan Penulis Malaysia dibimbing oleh Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya, yang juga penerima Anugerah Biduan Syair ASEAN 2022, Dr. Shafa’atussara Silahudin.

Dengan memfokuskan genre syair, para peserta bengkel didedahkan dengan bentuk, mesej, kosa kata, irama dan dendangan syair. Penjelasan yang menyeluruh tentang syair bertepatan dengan apa yang terkandung dalam subjek KOMSAS, yang satu daripadanya adalah mengkaji syair. Bagi memahamkan peserta tentang syair, Dr. Shafa’atussara menjelaskan format syair seperti empat baris serangkap, tiga hingga empat kata dasar atau  8 hingga 12 suku kata sebaris dan rima akhir a,a,a,a.

Para peserta program sedang menyenaraikan kosa kata mengikut suku kata dan rima yang sama.

Menurut Dr. Shafa’atussara, keseluruhan rangkap syair mempersembahkan satu cerita dan penyampaiannya menggunakan kosa kata yang indah dan sesuai dengan kedudukan syair sebagai puisi tradisional. Maka itu, penciptaan syair harus menggunakan kosa kata yang sesuai dan tepat, terutama dalam menghasilkan rima akhir yang sama.

Berkaitan dengan rima akhir yang senada, Dr. Shafa’atussara meminta peserta program menyenaraikan beberapa perkataan yang memiliki suku kata dan rima akhir yang sama. Beberapa pelajar tampil ke hadapan dan menyebut perkataan yang mereka senaraikan mengikut suku kata dan rima yang sama. Antaranya termasuklah rima yang berakhir dengan /ma/ seperti “irama”, “selama”, “terima”, “kelima”, dan “rama-rama” manakala yang berakhir dengan /lang/ seperti “lalang”, “hilang”, “belang”, “malang”, “gelang”, “balang”, “silang” dan “bilang”.

Berkaitan dengan irama dan dendangan syair, Dr. Shafa’atussara turut mendendangkan syair bertajuk “Syair Berbuat Jasa”, iaitu salah satu syair yang dipelajari dalam KOMSAS. Berpandukan teknik dan panduan yang diajarkan oleh Dr. Shafa’atussara, beberapa peserta cuba mendendangkan syair menggunakan irama hiasan.

Para peserta bengkel yang terdiri daripada golongan muda.

Penyertaan dalam program ini memperlihatkan pesertanya terdiri pelajar sekolah daripada pelbagai kaum. Hal ini bertepatan dengan matlamat program, iaitu membina penulis muda Malaysia  tanpa mengira kaum bagi mengasah bakat mereka dalam penulisan dan dendangan syair.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.