31 Oktober 2022, 22:23

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Pertandingan pantun secara dalam talian telah dianjurkan oleh Bigo Live Malaysia sebagai menyambut bulan Kesedaran Kesihatan Mental.

Kuala Lumpur – Sempena sambutan Kesedaran Kesihatan Mental pada Oktober, BIGO Live Malaysia iaitu sebuah platform penstriman langsung telah mengadakan pertandingan pantun dalam talian bermula 1 Oktober hingga 29 Oktober 2022. Dikenali dengan nama Temasya Budaya Kesihatan Mental, pertandingan pantun dalam talian ini telah mendapat jumlah penyertaan sebanyak enam kumpulan.

Peringkat saringan pertandingan pantun ini dijalankan pada 8 Oktober 2022 dan 15 Oktober 2022. Manakala peringkat separuh akhir berlangsung pada 22 Oktober 2022 sebelum 3 kumpulan terbaik mara ke peringkat akhir pada 29 Oktober 2022.

Antara kumpulan yang mara ke peringkat akhir ialah kumpulan Anjung Budaya yang terdiri daripada Najib, Batrisyia dan Fazry serta kumpulan Kesuma Jiwa yang dianggotai oleh Amirul, Asyiqin dan Hidayah. Mereka merupakan pemantun dari Universiti Sains Malaysia (USM). Kumpulan ketiga yang berjaya menempatkan diri ke peringkat akhir ialah kumpulan Wahyu yang terdiri daripada Syafeq, Ikhwan dan Azuan. Mereka ialah pemantun dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Pertandingan pantun ini dijalankan dalam format tiga penjuru. Sebanyak 18 daripada 24 tema dipilih oleh peserta secara spontan sewaktu perlawanan akhir. Antara tema yang diketengahkan ialah Psikologi, Kecelaruan Jantina, Pengaruh Layar Kaca dan banyak lagi.

Keputusan panel juri menyaksikan kumpulan Kesuma Jiwa menjuarai pertandingan pantun ini dengan membawa hadiah wang tunai sebanyak RM 1500. Naib johan dimenangi oleh kumpulan Wahyu dengan membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM 1000 dan tempat ketiga disandang oleh kumpulan Anjung Budaya yang memenangi hadiah wang tunai sebanyak RM 500.

Johan Kumpulan Kesuma Jiwa (USM).
Naib Johan Kumpulan Wahyu (UIAM).
Tempat Ketiga Kumpulan Anjung Budaya (USM).

Mendekati anak muda yang sememangnya terbukti secara statistik berisiko menghidap penyakit mental, pertandingan pantun Temasya Budaya Kesihatan Mental ini diharap dapat memupuk kesedaran tentang penjagaan emosi dan kawalan perasaan anak muda daripada terus dibelenggu tekanan hidup seperti faktor kemiskinan, harapan tinggi yang diletakkan oleh ibu bapa dalam pelajaran, sekali gus mendidik mereka untuk bebas meluahkan isi hati dan fikiran dengan berpantun.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.