31 Oktober 2022, 12:31

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuching – Penulis muda, Fatin Aisyah Faizul Azhar yang berasal daripada Kuching, Sarawak tampil dalam program Sarawak Authors Highlight yang disiarkan melalui Facebook Pustaka Negeri Sarawak. Program anjuran Pustaka Negeri Sarawak ini bertujuan untuk memperkenalkan penulis dari Sarawak dan karya mereka kepada khalayak, di samping menggalakkan budaya kreativiti dan kualiti penulisan dalam kalangan penulis tempatan sendiri. Melalui program ini, Fatin Aisyah diajak berkongsi perihal proses pengkaryaannya dan perancangan beliau untuk menempa nama sebagai penulis.

Program Sarawak Authors Highlight menampilkan penulis muda Fatin Aisyah, dan Muhammad Haziq Zakaria, Perancang Bahasa dari Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak pula bertindak sebagai moderator.

Penulis berusia 20 tahun itu yang menggunakan nama pena FAFA telah menulis dan menerbitkan sebanyak 10 buah buku kanak-kanak di bawah Siri Variasi Moral Haiwan. Antara buku beliau seperti Merak & Bubut, Badak yang Tamak, Punai & Kerengga dan Sang Kancil & Si Monyet. Buku tersebut tergolong dalam kategori fiksyen Melayu kanak-kanak yang ditulis dalam dwibahasa, iaitu bahasa Melayu dan bahasa Inggeris.

Fatin Aisyah yang mula menulis sejak usianya 12 tahun lagi mengatakan bahawa

Pada masa itu banyak penulis yang menulis tentang fan-fiction di Facebook, dan ini menimbulkan minat kepada saya untuk membaca fiksyen sebegitu. Kemudiannya baru saya cuba menulis di portal Wattpad (portal perkongsian penulisan blog), dan saya menganggap bahawa itu merupakan proses saya mula belajar menulis.

Fan-fiction ialah cerita rekaan olahan peminat berdasarkan peristiwa, naratif atau figura dalam budaya popular, sama ada filem, televisyen mahupun muzik.

Menceritakan idea terhasilnya buku Merak & Bubut, Fatin Aisyah memberitahu bahawa ia berdasarkan kisah yang diceritakan oleh datuknya yang merupakan pesara guru. Bagi Fatin, datuknya seorang pencerita yang baik. Hal ini dikatakan demikian kerana setiap cerita yang disampaikan oleh datuknya terselit nilai dan pengajaran yang berharga.

Selain terinspirasi daripada cerita datuknya, idea penceritaan buku Merak & Bubut serta beberapa buah buku lain di bawah Siri Variasi Moral Haiwan banyak dipengaruhi oleh animasi bersiri Pada Zaman Dahulu yang pernah ditayangkan di Astro Ceria. Cerita ini banyak membantu imaginasi Fatin untuk menghasilkan buku genre kanak-kanak.

Apabila ditanyakan perihal perancangan masa hadapannya dalam bidang penulisan, Fatin mendedahkan bahawa beliau sudah ada sejumlah manuskrip lain, cuma sekarang menunggu untuk disunting dan diterbitkan sahaja.

Saya bersama-sama adik sudah menyiapkan beberapa manuskrip, cumanya, kami kekurangan sumber dan ruang untuk diterbitkan.

Namun demikian pada masa terdekat ini, novel romantis Fatin yang pertama berjudul Pasal Kau yang Aku Tunggu bakal diterbitkan. Fatin berharap agar karya penulis tempatan, khususnya karya beliau dapat dipasarkan di pasaran antarabangsa kelak.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.