Oleh Nurull Ain’am
20 Oktober 2022, 21:05

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

GEORGE TOWN – “Kerana sensitif, kita menulis untuk menceritakan, atau lebih kritikal, menyedarkan,” demikian antara yang disebut oleh Syahidatul Munirah Badrul Munir dalam Program Pembinaan Bakat Tunas Remaja Peringkat Kolej Tingkatan Enam, Negeri Pulau Pinang secara dalam talian yang telah diadakan semalam. Program ini dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara (DBPWU) dengan kerjasama Kolej Tingkatan Enam Haji Zainul Abidin, Pulau Pinang. Sebanyak 60 orang peserta telah menghadiri program ini yang terdiri daripada pelajar tingkatan enam di negeri Pulau Pinang. Penggiat sastera, Syahidatul Munirah yang tidak asing dalam dunia penulisan kreatif diundang untuk membimbing asas penulisan karya kreatif, iaitu penulisan cerpen.

Menurut Syahidatul,

Penulis merupakan pemula tamadun, seorang pencerah minda yang menyedarkan dan seorang bijak pandai.

Tambah beliau lagi,

Penulis menawarkan ilmu tentang pelbagai perkara termasuklah bidang bahasa, sejarah, adat resam, budaya, flora dan fauna, tingkah laku manusia yang menjadikan sastera itu sebagai cerminan kehidupan para manusiawi.

Syahidatul Munirah sedang memberikan taklimat berkaitan dengan teknik penulisan cerpen yang baik.

Dalam bengkel tersebut, peserta didedahkan dengan persediaan awal sebelum menulis antaranya termasuklah asas penulisan cerpen seperti tema dan persoalan, plot, watak, latar, sudut pandangan, gaya dan suasana cerita. Selain itu, beliau juga menyentuh tentang kaedah menghasilkan cerpen yang baik dan bermutu untuk meninggalkan kesan emosi kepada pembaca. Menurut beliau, sesebuah karya kreatif perlu ditulis dengan perasaan dan pengalaman sendiri, ataupun sumber inspirasi daripada bahan bacaan dengan memadukan fakta dan fiksi.

Syahidatul juga menegaskan bahawa penulis perlu mengeksperimenkan bahasa. Menurutnya, penulis tidak boleh beranggapan bahawa sastera melanggar hukum tatabahasa. Hakikatnya, sastera melahirkan eksperimen bahasa, bukan melanggar tatabahasa kerana diksi dipilih bersesuaian konteks naratif.

Program ini diakhiri dengan memberikan peluang kepada semua peserta untuk membacakan hasil penulisan yang dihasilkan sebelumnya untuk pembelajaran bersama-sama. Peluang yang diberikan ini dapat membakar semangat peserta untuk menyertai Pertandingan Menulis Cerpen antara Kolej Tingkatan Enam Negeri Pulau Pinang yang akan diadakan dari 19 hingga 26 Oktober 2022.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.