18 Oktober 2022, 19:02

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Kolaborasi yang terjalin sejak tahun 2019 antara majalah Remaja di bawah jenama Nu Ideaktiv dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) kekal berterusan melalui pelaksanaan program “Saya Remaja Malaysia”. Selain memaparkan kandungan tentang dunia remaja, majalah Remaja telah mencetuskan idea untuk melaksanakan program yang membina bakat dan peribadi golongan remaja. Dengan kedudukannya yang kukuh di platform digital dan berjaya meraih tiga juta bacaan dalam tempoh sebulan, majalah Remaja yakin pelibatan golongan remaja dalam program “Saya Remaja Malaysia” akan melahirkan remaja yang kreatif dan berketerampilan, dan pada masa yang sama cakna terhadap bahasa kebangsaan.

Pada tahun ini, majalah Remaja dan DBP sekali lagi berkolaborasi dalam program “Saya Remaja Malaysia”. Tumpuan utama program tersebut adalah membina bakat berkarya melalui pertandingan menulis esei dan keterampilan berhujah melalui pertandingan pengucapan awam. Dua pertandingan tersebut telah mendapat sambutan daripada golongan remaja, yang meliputi pelajar sekolah rendah, menengah dan universiti.

Kemuncak program “Saya Remaja Malaysia” berlangsung pada 18 Oktober 2022 di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP yang menampilkan enam peserta mempamerkan kepetahan mereka berhujah dalam Pertandingan Akhir Pengucapan Awam. Sebelum itu, Encik Mohd Fiezreen Ahmad selaku Editor Pengurusan majalah Remaja dalam ucapannya sempena Majlis Penutupan Program Saya Remaja Malaysia menyatakan “Kempen Saya Remaja Malaysia merupakan inisiatif yang dicetuskan oleh majalah Remaja bermula pada tahun 2019 yang bertujuan untuk memperkasakan penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan remaja di Malaysia, selain untuk menyerlahkan bakat remaja dalam pertandingan yang dianjurkan dengan kerjasama DBP.”

Tetamu kehormat Majlis Penutup Program Saya Remaja Malaysia, Tuan Haji Mohd Salahuddin bin Datuk Paduka Mohamed, Puan Ani Nadila Yusof (Timbalan Pengurus Besar Nu Ideaktif Sdn Bhd., dan Puan Ariza Che Ismail, Ketua Bahagian Pengembangan Kesusasteraan Remaja dan Kanak-kanak

Perasmian Majlis Penutupan Program Saya Remaja Malaysia telah disempurnakan oleh Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, DBP, Tuan Haji Mohd Salahuddin bin Datuk Paduka Mohamed. Dalam ucapannya, beliau menyatakan program kerjasama antara DBP dengan majalah Remaja yang bernaung di bawah media Nu Ideaktif Sdn. Bhd. adalah suatu usaha yang cukup baik untuk pembangunan bangsa kerana remaja merupakan aset yang cukup bernilai. Maka itu, remaja perlu dibekalkan dengan ilmu pengetahuan, akhlak yang baik dan ciri kepimpinan kerana di tangan merekalah negara akan dibentuk dan dibangunkan kelak.”

Pertandingan yang diadakan melalui kempen “Saya Remaja Malaysia” dilihat dapat mencungkil bakat yang ada pada remaja, seperti bakat berkarya dan berhujah. Bakat itu penting sebagai persediaan mereka untuk menjadi pemimpin pada masa hadapan. Melalui kempen tersebut juga, majalah Remaja menampilkan remaja yang namanya kini popular dalam bidang yang mereka ceburi seperti Khai Bahar (nyanyian), Hawa Rizwana (pengacaraan), Grace Wong (sukan) dan Doktor Lavanya Sivaji (perubatan) yang mewakili suara remaja di Malaysia.

Dalam usaha mendekati golongan pelajar, majalah Remaja telah mengadakan jerayawara ke Sekolah Menengah Kebangsaan Kg. Jawa  Klang. Dalam jerayawara tersebut, majalah Remaja turut membawa peserta pertandingan Dewi Remaja untuk berinteraksi dengan pelajar sekolah melalui slot Respons Remaja. Secara tidak langsung, jerayawara ini merapatkan hubungan remaja yang popular dengan pelajar sekolah, selain menggalakkan pelajar aktif beraktiviti dan berkreativiti serta petah berinteraksi dengan pihak lain.

Pertandingan Akhir Pengucapan Awam yang mengisi acara Majlis Penutupan Program Saya Remaja Malaysia menampilkan enam peserta yang telah disaring pada peringkat awal. Pertandingan tersebut diadili oleh editor majalah Remaja selaku Ketua Hakim, Encik Mohd Fiezreen Ahmad, pempengaruh media sosial juga selaku guru bahasa Melayu yang popular, Zack Kirana dan Ketua Editor Buku Sastera, Nurul Julia Alani Henry. Tiga peserta yang terpilih memenangi tempat pertama, kedua dan ketiga menerima hadiah wang tunai berserta sijil dan buku tajaan DBP.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.